Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesona fesyen ‘Superstar Barbie’, aksesori lindung muka cedera

Jan 8, 2024 | 5:36 PM
CANTIK MENAWAN: Margot Robbie bekerjasama dengan jenama Armani untuk menggayakan busana satu-satunya boneka ‘Superstar Barbie’ yang dihasilkan pada 1977.
CANTIK MENAWAN: Margot Robbie bekerjasama dengan jenama Armani untuk menggayakan busana satu-satunya boneka ‘Superstar Barbie’ yang dihasilkan pada 1977. - Foto REUTERS

Setiap kali ada majlis penyampaian Anugerah Golden Globe, setiap kali itu bak satu pesta fesyen penuh warna-warni yang dapat anda saksikan pada segmen ‘Permaidani Merah’.

Pada 2024, dua pelakon menarik perhatian media kerana penampilan mereka yang simbolik dan paparan aksesori berfungsi.

Penerbit bersama dan pelakon utama filem pencetus fenomena, Barbie, Margot Robbie, 33 tahun, muncul seperti watak boneka Barbie yang benar-benar hidup di depan mata ramai.

Laman Variety melaporkan Robbie bekerjasama dengan jenama Armani untuk menghasilkan kembali busana satu-satunya boneka Superstar Barbie yang dihasilkan pada 1977.

Filem tersebut dicalonkan bagi sembilan kategori Anugerah Golden Globe termasuk Filem (Komedi/Muzikal) Terbaik.

Robbie turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Komedi/Muzikal).

Bagaimanapun, filem yang meraih kutipan ‘box-office’ sebanyak AS$1.4 bilion ($1.86 bilion) itu hanya memenangi dua kategori iaitu Lagu Ciptaan Asli Terbaik bagi lagu Billie Eilish, What Was I Made For?, dan kategori baru, Pencapaian Panggung dan Pecah Panggung ‘Box Office’.

Ia adalah filem paling laris 2023 dan yang meraih kutipan terbanyak dalam sejarah syarikat penerbitan dan edaran filem Warner Bros.

“Saya bukan setakat bangga dengan angka kutipan ‘box-office’ Barbie. Apa yang membuatkan saya terharu ialah apabila pergi ke pawagam pada hujung minggu pertama filem ini dibuka.

“Saya lihat ramai yang pakai baju merah jambu manakala penonton lelaki pula datang bergaya macam Ken. Sukar digambarkan perasaan sebegini sebab ia pengalaman yang jarang-jarang kelihatan sejak saya kecil lagi,” katanya.

Sementara itu, pelakon Rosamund Pike, 44 tahun, pula mengubah satu kemalangan yang tidak diduga berlaku sehingga menjejas paras rupanya menjadi satu penampilan istimewa.

Pelakon Gone Girl itu menyerlah dengan baju serba hitam dan aksesori seperti topi berenda yang menutupi wajahnya.

Sewaktu ditanya wartawan Variety, beliau berkata ada sebab aksesori itu digunakan.

“Ia seperti tudung muka yang melindungi wajah saya yang sedang pulih daripada kesan kemalangan ski pada Krismas lalu (2023).

“Memang ia musibah yang saya tidak mahu terjadi, apatah pula saya bakal menghadiri Anugerah Golden Globe ini.

“Muka saya sebenarnya teruk tersembam ke bumi bersalji dua minggu lalu. Mujurlah, ia sudah beransur pulih. Tapi saya teruskan sahaja memakai aksesori berenda ini sebab ia nampak cantik,” kata Pike, yang dicalonkan bagi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bagi filem Saltburn.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg