Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta buku tawar sesi kraf, tayangan filem, pupuk usahawan cilik

Acara ‘Kids BookFest’ pada 6 Sep di Common Ground @ Bedok ketengah kandungan bahasa Inggeris, Melayu dan Arab
Aug 7, 2025 | 5:30 AM
kids bookfest, pesta buku, arab, bahasa melayu, inggeris
Acara pesta buku, ‘Kids BookFest’ pertama pada Jun 2024 berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung. - Foto THE SAFAA SAFIYYAH PUBLICATION

Satu pesta buku yang disasarkan kepada keluarga Melayu/Islam dengan anak kecil akan diadakan pada September, menawarkan kandungan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Arab termasuk yang bertema Islam.

Selain menampilkan pelbagai pilihan buku dan permainan pendidikan, acara Kids BookFest itu juga membolehkan kanak-kanak mengikuti kegiatan kraf, sesi penceritaan dan tayangan filem khas.

Ibu bapa pula berpeluang mengikuti beberapa sesi keibubapaan Islam termasuk yang berjudul, ‘Membesarkan Penganut Cilik dalam Dunia Moden’ (Raising Little Believers in a Modern World).

Ini kali ketiga acara anjuran, The Safaa Safiyyah Publication itu diadakan.

Acara pertama pada Jun 2024 menarik lebih 1,000 pengunjung, dan yang kedua pada Januari 2025.

Acara kali ini akan diadakan pada 6 September di Common Ground @ Bedok.

Acara, ‘Kids BookFest’ ketiga akan diadakan pada 6 September di Common Ground @ Bedok.
Acara, ‘Kids BookFest’ ketiga akan diadakan pada 6 September di Common Ground @ Bedok. - Foto THE SAFAA SAFIYYAH PUBLICATION

Berkongsi tujuan menganjurkan, Kids BookFest, pengasas The Safaa Safiyyah Publication, Cik Maria Rahim, berkata pesta buku itu mahu menghimpunkan penerbit dan penjual buku bebas, terutama yang menghasilkan atau menjual kandungan dalam bahasa Arab atau bertema Islam.

Ini kerana kandungan sedemikian biasanya sukar mendapat tempat di pesta buku kebangsaan.

Kandungan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris juga akan ditawarkan.

“Pada masa sama, ramai ibu bapa telah berkongsi kesukaran mendapatkan buku kanak-kanak dalam bahasa Melayu, buku bertema Islam atau buku dalam bahasa Arab di Singapura.

“Mungkin ada pun yang tidak tahu di mana untuk mencari buku-buku itu.

Kids BookFest dianjurkan khas untuk memenuhi keperluan ini dengan menghimpunkan pelbagai jenis buku unik dan bermakna di satu tempat,” kata Cik Maria.

Di acara itu, pengunjung boleh menjangkakan pilihan buku daripada lebih 20 penerbit dan penjual termasuk Ungu Pen, Poppet’s World dan The English Islamic Bookstore (Darul Arqam).

Penjual seperti Qissoh Bookstore, Cinnamon Art Stories, Helang Books dan Homely Hammock juga akan menyertai pesta buku itu buat kali pertama.

Bahan bacaan yang boleh dijangkakan termasuk hasil penerbitan tempatan, atau yang diimport dari luar negara.

Terdapat juga mainan untuk memupuk pembelajaran tentang Islam.

“The Safaa Safiyyah Publication misalnya akan melancarkan lebih lima produk baru termasuk kad imbas bahasa Arab dan kamus bergambar tiga bahasa,” kata Cik Maria.

Acara, ‘Kids BookFest’, juga membolehkan kanak-kanak mengikuti kegiatan kraf, sesi penceritaan dan tayangan filem khas. 
Acara, ‘Kids BookFest’, juga membolehkan kanak-kanak mengikuti kegiatan kraf, sesi penceritaan dan tayangan filem khas.  - Foto THE SAFAA SAFIYYAH PUBLICATION

Sementara itu, sebanyak lapan reruai di acara, Kids BookFest, kali ini dikhususkan untuk usahawan cilik menjual buku terpakai, mainan, kraf tangan buatan sendiri serta pelbagai barangan lain.

Peluang mengendalikan reruai itu disediakan untuk menggalakkan kanak-kanak menjual barang dan juga membina keyakinan diri mereka dalam berkomunikasi dan berniaga serta memupuk rasa tanggungjawab dan kreativiti, tambah Cik Maria.

“Jika inisiatif ini berjaya, kami berharap untuk meneruskan dan memperluaskan peluang ini agar lebih ramai kanak-kanak dapat mengambil bahagian pada masa akan datang.

“Ia boleh menjadi satu wadah masyarakat untuk keluarga dan kanak-kanak berkumpul, berkongsi minat dan belajar bersama.

“Kami berharap mereka dapat mempelajari selok-belok berniaga seperti untung rugi dan cara penjualan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg