Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PESTA MALAM SINGAPURA

'Mambo Girl' kembali lagi dengan suara baru

Pelakon Munah Bagharib ingin warisan filem lama S'pura dihargai kerana papar jerih payah anak watan
Aug 04, 2022 | 05:30 AM



TERPAHAT dalam ingatan pelakon dan pengacara Munah Bagharib akan filem klasik Cathay dan Shaw Brothers yang pernah ditontonnya daripada kecil hingga dewasa.



Namun, Munah, 34 tahun, tidak pernah membayangkan dirinya akan bergelar 'Mambo Girl, watak gadis penghibur yang menaikkan nama pelakon veteran Grace Chang pada 1957 dalam filem dengan judul sama.



Mambo Girl bersama dengan beberapa watak ikonik filem klasik Cathay seperti Mat Bond, Pontianak dan Orang Minyak disisipkan dalam persembahan Cathay Hotel: The Curse of the Missing Red Shoe yang disajikan kolektif seni setempat, Vertical Submarine, sempena Pesta Malam Singapura (SNF) tahun ini.



Dipersembahkan di lelapang berumput berhadapan bangunan The Cathay yang dikenali sebagai Cathay Green, anda selaku penonton akan diajak menghurai kes kehilangan kasut merah dengan watak-watak ikonik ini dihidupkan dalam konteks masa kini.



Kisah detektif ini bermula di hotel yang terkena sumpahan misteri sejak lebih 60 tahun lalu yang membawa kepada perpisahan dua kekasih serta mengubah pula kesudahan filem Cathay, Lion City (1960), yang mencetus inspirasi bagi persembahan ini.



Sajian seni dalam ruang hotel yang diwujudkan sebagai satu seni pemasangan ini diarah Jeremiah Choy dan turut dibintangi Rizman Putra, Andrew Marko dan Rebekah Sangeetha Dorai.



Ia merupakan hasil tulisan naskhah Justin Loke, pengasas Vertical Submarine, yang juga pengarah kreatif penerbitan ini.



SNF pula merupakan pesta seni dan budaya Lembaga Warisan Negara (NHB) di kawasan Bras Basah Bugis (BBB) yang diperkenal sebagai acara tahunan sejak 2008.



Ia kembali selepas direhatkan selama dua tahun kerana pandemik Covid-19.



Saban tahun, pelbagai kerja seni dan persembahan silang disiplin daripada aktivis seni tempatan dan antarabangsa diketengahkan untuk memeriahkan suasana pada waktu malam.



Tahun ini, SNF kembali dengan skala besar, bertemakan 'Kelahiran Semula' dan lebih tertumpu pada kerja seni bakat Singapura.



Cathay Hotel: The Curse of the Missing Red Shoe akan berlangsung pada 19 dan 20 Ogos serta 25 hingga 27 Ogos dengan jualan tiket $33 seorang sudah mula dijual.



Ketika ditemui pada sidang media SNF di Muzium Negara kelmarin, Munah melahirkan rasa terujanya terlibat dalam persembahan ini.



"Saya tentunya tidak sabar menjayakan acara ini bersama beberapa rakan pelakon dari Singapura.



"Watak-watak dalam filem klasik Cathay ini 'lahir semula' dalam konteks berbeza dalam kisah adaptasi ini.



"Bayangkan saya dahulu seronok menonton filem klasik Cathay dan Shaw. Tentunya banyak yang diperlukan untuk menghadam watak Mambo Girl.



"Saya perlu banyak mengkaji. Saya tak pernah tonton filem asal Mambo Girl sebelum ini walaupun pernah dengar tentang filem lama tersebut.



"Memandangkan ia filem Mandarin, saya perlu baca betul-betul sarikata yang tertera dan fahamkan watak Mambo Girl ini bagaimana," jelasnya lagi.



Bagi Munah, penting untuk warga Singapura menghargai jerih payah karyawan filem lama dalam menghasilkan filem yang malar segar.



"Saya harap selepas menyaksikan persembahan kami, penonton akan didorong menonton filem klasik Singapura. Ada banyak khazanah filem bermutu yang perlu kita uar-uarkan selepas sebilangan daripada kita terdedah pada filem Hollywood. Ini kisah orang Singapura. Ini kisah susah payah orang kita.



"Pendek kata, dari dulu sampai sekarang, kita ada kelompok pelakon berbakat dan masih mampu menjana karya kreatif yang membina minda lagi bermutu untuk dijadikan iktibar hidup," katanya.



Ditanya mengenai cabaran membawa watak Mambo Girl, beliau berkata ia lebih pada membayangkan ruang pemasangan Cathay Hotel yang bakal dibina di Cathay Green.



"Saya belum melihat ruangnya lagi. Jadi, saya fikirkan bagaimana watak berbeza dapat berhubung dan dikaitkan dalam persembahan ini," jelasnya yang bakal muncul sebagai pengacara rancangan Channel News Asia (CNA) mengenai kesihatan dan kesejahteraan minda, To Achieve Happiness, sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Oktober.



Apabila ditanya daya tarikan watak seperti pontianak dan orang minyak buatnya, Loke berkata:



"Saya dapati watak-watak pontianak dan orang minyak juga diketahui masyarakat bukan Melayu.



"Apabila saya menyentuh tentang orang minyak, orang Singapura tanpa mengira kaum, secara am, tahu ini watak legenda. Sama juga dengan pontianak... seperti yang bapa saya ceritakan, orang kampung pasti tahu tentang kewujudannya.



"Lantaran itu, ia adalah watak yang boleh kita kaitkan dalam kehidupan orang Singapura."



Choy pula menambah, watak-watak ikonik ini yang sering disalahfahamkan akan diberi suara alternatif dalam persembahan seni ini.



Pengarah SNF, Encik David Chew, pula menambah bahawa pesta kali ini dijuruskan lebih pada kisah yang menimbulkan tanda tanya serta dekat di hati penduduk Singapura mengenai kawasan Bras Basah Bugis ini.



"Kami menyajikan kerja seni 'komisen' yang baru oleh seniman setempat dan memberi mereka peluang memaparkan karya mereka, membangun keupayaan mereka dan menyahut cabaran baru.



"Pada masa yang sama, seniman dan rakan kerjasama BBB kami yang sudah menetap di kawasan ini buat sekian lama meminjamkan tenaga dinamis mereka pada pesta ini untuk memberi pengunjung pesta pengalaman segar dan inovatif," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >