Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PESTA PERDANA

Piala ‘Pelakon Lelaki Terbaik’ hadiah istimewa Hari Bapa

Fir Rahman julang anugerah Pesta Perdana untuk telefilem ‘Papa Pilot’
Jun 19, 2023 | 02:43 PM



KEMENANGAN pelakon Fir Rahman sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Drama Khas/Antologi) pada Pesta Perdana 2023, Sabtu lalu, ibarat Hadiah Hari Bapa paling istimewa yang pernah diraihnya.

Tambahan pula, peranan yang digalas dalam telefilem khas Hari Bapa, Papa Pilot, merupakan sebagai ayah yang kehilangan tugas berprestij sebagai juruterbang sewaktu pandemik Covid-19 melanda.


Penulis naskhah telefilem itu, penggiat teater Adib Kosnan, pula mengarang jalan cerita telefilem tersebut khusus buat Fir, 42 tahun, yang sudah dikenali lama.

Fir diketahui berwibawa membawa watak seorang ayah yang tiba-tiba diragut kerjaya berprestij dan perlu menjalankan tugas sebagai pekerja barisan hadapan tatkala krisis kesihatan sedunia menguji setiap orang.

Kisah pengorbanan sang ayah juga itu menjadi teras Papa Pilot, terbitan The Moving Visuals Co.


Fir merupakan juruterbang pesawat komersial antarabangsa Dubai Air bernama Ashraf. Sepanjang lebih lima tahun, dia yang ‘terbang tinggi’ dalam kerjayanya. Ashraf sentiasa terpisah berbulan lamanya daripada isterinya Hariani, seorang jururawat dan dua anak mereka.

Ashraf kemudian mengambil keputusan berpindah ke syarikat penerbangan swasta yang menawarkan khidmat penerbangan serantau termasuk China agar lebih dekat dengan keluarga.

Namun sayangnya, dalam keterujaan menyahut cabaran kerjaya baru, pandemik pula melanda dunia dengan beliau terbiar tanpa pekerjaan kerana tiada penerbangan beroperasi.

Ashraf terpaksa menerima tugas sebagai duta jarak selamat di Singapura bagi menyara hidup keluarga tetapi menyoroknya daripada pengetahuan isteri dan anak-anak. Ini kerana beliau berasa malu dan enggan membebani isteri yang sibuk dan tertekan dengan tugas sebagai pekerja barisan hadapan.

Bagi pencalonan Pesta Perdana 2023, Fir ditempatkan dalam kategori yang sama dengan Izzat Yusoff, Mazlan Amat, Norman Ishak dan Zulkarnain Mohamed.

Ketika ditemui Berita Harian selepas diumumkan sebagai pemenang, Fir, bapa empat anak berkata:


“Telefilem ini bermakna kerana ia menjalani penggambaran di kala semua orang berdepan dengan usaha menyesuaikan diri dalam keadaan Covid-19.

“Kita tahu pada waktu itu, ada yang terpaksa bertukar kerja dan menjadi pemandu Grab atau duta jarak selamat kerana sektor tugas mereka menerima tamparan hebat daripada kesan wabak ini.

“Saya pula terharu Adib menulis Papa Pilot dengan ingatan saya dapat membawakan watak ini dan beliau juga mengusulkannya kepada pihak penerbitan.


“Walaupun watak Ashraf ini nampak santai, tetapi kita dapat menyelami pasang surut emosinya, keadaannya berada dalam situasi tidak dapat menceritakan perkara sebenar bahawa dia bukan lagi juruterbang kerana latar belakangnya sering dibanding-bandingkan dengan sepupunya yang tidak memegang jawatan sebaik dirinya.

“Jadi timbul rasa malu dan resah jika bapa, isteri dan anak-anak akan kecewa dengan hakikat kehidupannya.

“Membanding-bandingkan anak dalam kalangan saudara-mara dari segi pendidikan dan kerjaya adalah situasi yang benar-benar berlaku dan perkara ini yang saya anggap realistik dan boleh dikaitkan dalam kehidupan sesiapa.”

Dalam Papa Pilot, beliau juga berlakon di bawah arahan sutradara Mahfuz Mazlan yang dianggap kreatif dan memberi ruang buat pelakon meneroka lebih mendalam watak mereka.


Sebelum ini, Fir yang sudah dua dekad berada dalam dunia seni, pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu. Beliau menghargai setiap detik dirinya diberi peluang keemasan melibatkan diri dalam penerbitan saluran atau wadah penstriman antarabangsa seperti HBO Asia dan Netflix.

Penglibatannya dalam filem Apprentice juga membawanya terbang jauh ke Pesta Filem Antarabangsa Cannes kerana respons yang diterima buat karya seni Boo Junfeng itu luar biasa.


Fir kini tidak sabar membawa penonton menyaksikan projek terkininya yang merupakan karya berlatarbelakangkan era 1950-an. Projek itu dijayakan dengan pelakon seberang Kamal Adli dan beberapa pelakon setempat seperti Cassandra Spykerman dan Fatin Amira.

“Penggambaran dibuat di Batam sebab di sana terdapat studio yang memiliki set yang sesuai dengan kereta-kereta lama dan prop seperti rambut palsu dan busana yang menggambarkan era 1950-an.

“Ia drama Melayu tetapi ada ramai juga pelakon bukan Melayu dan kacukan yang terlibat dalam kerja seni ini,” ujarnya.

Ditanya bagaimana sambutan Hari Bapanya bersama anak-anak, Fir berkata beliau sempat meluangkan masa dengan dua anak kecilnya yang masih di peringkat prasekolah dengan bersiar-siar di Pantai East Coast. Ia merupakan kegiatan yang dianjurkan pusat prasekolah Sparkletots untuk pelajar dan bapa mereka.

“Saya adalah bapa yang gila-gila tetapi tegas. Kadangkala anak tidak tahu sama ada saya berlakon atau benar-benar serius. Bagaimanapun, saya hargai setiap peluang bersama mereka dan akur apabila terlalu lama berjauhan, saya akan rasa rindu untuk berbual dan menjalankan aktiviti seharian dengan mereka.

“Semasa anak-anak yang lebih dewasa tidak begitu faham tuntutan lakonan saya, anak kedua pernah rasa cemburu apabila menyaksikan saya mesra atau memeluk pelakon kanak-kanak lain. Katanya, dia satu-satunya anak perempuan saya. Mengapa ada budak lain yang panggil saya ayah? Saya perlu menjelaskan kepadanya bahawa ini hanya lakonan sahaja,” kata Fir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >