Mencari baju Melayu lelaki yang paling sesuai dan mengikuti cita rasa kadangkala boleh menjadi cabaran.
Berbanding busana Raya wanita yang tersedia dengan pelbagai rekaan dan variasi, pilihan untuk lelaki selalunya lebih terhad.
Kebanyakan rekaan yang tersedia bagi pakaian Raya lelaki masih berpegang pada gaya tradisional, dengan tidak banyak inovasi, menjadikan pilihan lebih terbatas bagi mereka yang mencari kelainan.
Namun, arus perubahan dalam industri fesyen tempatan dan serantau telah menyaksikan kemunculan jenama baru yang memperkenalkan konsep segar, memberi suntikan baru ke dalam dunia baju Melayu.
Jenama ini bukan sahaja mengekalkan ciri tradisional bahkan turut menggabungkan rekaan moden yang lebih berani dan segar.
Daripada rekaan yang menampilkan gabungan unsur tradisional dan kontemporari hinggalah kepada gaya lebih ‘edgy’ dan eksperimental, pereka tempatan kini memberikan lebih banyak pilihan untuk kaum Adam yang ingin tampil segak pada pagi Aidilfitri.
Sama ada anda mencari sesuatu yang terkini dan kontemporari atau lebih klasik dengan potongan kemas, pasti ada jenama tempatan yang sesuai dengan gaya dan kemampuan anda.
Gangsa diasaskan oleh Danish Anaqi Aaron, anak sulung pelakon terkenal, Aaron Aziz, dan usahawan Diyana Halik.
Nama jenama ini, yang merupakan gabungan perkataan ‘gaya’ dan ‘bangsa’, mencerminkan matlamatnya untuk meraikan warisan budaya melalui fesyen.
Koleksi pertama mereka, Mukaddimah, memberi penghormatan kepada potongan tradisional baju Melayu dan baju kurung.
Koleksi pertama ini mendapat inspirasi daripada filem Melayu klasik era 1950-an dan 1960-an, dengan pengaruh besar karya legenda seperti Tan Sri P. Ramlee.
Potongan klasik yang digabungkan dengan ciri moden memberi dimensi baru kepada rekaan tradisional, mencipta keseimbangan antara gaya fesyen warisan dengan kontemporari.
Dalam koleksi lelaki mereka, Gangsa memperkenalkan Baju Kurung Lelaki Cekak Musang ($75), yang diperbuat daripada campuran poliester dan rayon.
Rekaan ini menonjol dengan perincian pesak dan kekek yang khas serta potongan longgar yang diinspirasikan daripada gaya era 50-an dan 60-an.
Kolar Cekak Musang yang klasik melengkapkan keseluruhan rekaan, menjadikannya pilihan sempurna bagi mereka yang menghargai keselesaan tanpa mengabaikan unsur tradisional.
Jika anda mencari baju Melayu yang mengekalkan ciri warisan sambil menggabungkan gaya moden, Gangsa adalah pilihan tepat.
Diasaskan oleh pereka fesyen lelaki dan penata gaya pengantin lelaki berpengalaman, Surani Parjan, atau lebih dikenali sebagai Rai Parjan, jenama ini membawa pendekatan inovatif terhadap pakaian tradisional Melayu.
Mengambil inspirasi daripada perjalanannya ke Afrika Selatan, koleksi 2025 menampilkan warna berani dan corak ekspresif yang mencabar norma konservatif fesyen lelaki untuk Hari Raya.
Koleksi 2025 menampilkan siluet klasik baju Melayu yang diberi sentuhan moden.
Berbeza dengan koleksi sebelumnya yang lebih minimalis, Rai Parjan menerapkan pengaruh budaya Afrika Selatan dalam pemilihan warna terang dan fabrik unik seperti broked India, twil Jepun, kapas Swiss, dan linen Pakistan.
Potongan Teluk Belanga yang menjadi pilihan utama mengekalkan ciri tradisional.
Koleksi lelaki ini menampilkan baju Melayu dan kurta labuh yang menggabungkan fabrik bercorak dengan potongan longgar yang memberikan keselesaan.
Bagi mereka yang ingin tampil lebih berani di Hari Raya tanpa meninggalkan identiti budaya, Rai Parjan, menawarkan pilihan segar dan unik.
Koleksi ini bukan sekadar pakaian, malah satu bentuk ekspresi diri yang membuktikan bahawa warna dan corak menarik boleh menjadi sebahagian daripada identiti lelaki moden.
Memberi tumpuan pada keselesaan dan pakaian dengan harga mampu milik, Simply Rays, menawarkan pilihan lelaki yang praktikal tetapi tetap bergaya.
Jenama ini menawarkan pelbagai rekaan, daripada kurta hingga baju Melayu cekak musang dan baju Melayu teluk belanga, pilihan yang sesuai untuk pelbagai cita rasa.
Salah satu ciri utama Simply Rays ialah inovasi dalam reka bentuk pakaian Raya mereka, seperti yang dilihat dalam koleksi, RaysRaya 2025: The Men’s Petra Collection.
Koleksi ini menawarkan baju Melayu teluk belanga dengan samping siap dipakai bercorak unik yang menawarkan kelainan berbanding samping tradisional yang biasanya menggunakan kain songket.
Gabungan unsur tradisional dengan sentuhan kontemporari ini adalah ciri khas yang dapat ditemui dalam semua koleksi Simply Rays.
Dengan inovasi seperti samping siap dipakai dan bercorak, jenama ini memenuhi keperluan mereka yang ingin tampil bergaya namun ringkas.
Kurta Boys menawarkan pendekatan segar kepada pakaian lelaki tradisional dengan rekaan yang diinspirasikan daripada kurta klasik. Jenama ini menampilkan koleksi moden yang lebih santai dan fleksibel.
Rekaan Kurta Boys sederhana dengan praktikal, menjadikannya versatil – sesuai untuk pelbagai majlis selain Raya. Dengan fabrik ringan dan potongan moden, setiap koleksi direka untuk memberi keseimbangan antara tradisi dengan keselesaan.
Bagi mereka yang mencari baju Melayu atau kurta yang lebih santai tetapi tetap bergaya, jenama ini adalah pilihan tepat.
Dikenali dengan jahitan dan penggunaan bahan bermutu tinggi, Adrianna Yariqa menjadi antara pilihan mewah bagi pakaian tradisional lelaki.
Setiap koleksi mengutamakan keseimbangan antara tradisi dengan gaya kontemporari, seiring fabrik lembut seperti kapas dan poliester tahan lama.
Jika anda menginginkan sesuatu yang lebih eksklusif untuk Hari Raya, koleksi daripada jenama ini pasti akan memenuhi cita rasa.
Dengan pelbagai inovasi dalam rekaan, fabrik dan potongan, jenama-jenama ini membolehkan anda meraikan Hari Raya dengan penuh keyakinan dan gaya tersendiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg