Baju tradisional yang tersusun rapi di Bazar Ramadan Kampong Gelam menarik perhatian kerana potongannya yang klasik dan ‘longgar’ bak pakaian ‘orang lama’.
Di sebalik rekaan itu ialah seorang pemuda berusia 21 tahun yang ingin menempa nama mengembalikan pesona pakaian tradisional Melayu.
Di kala orang muda lain sibuk berjalan di bazar pada bulan puasa, Danish Anaqi Aaron Mustapha, satu-satunya anak lelaki kepada pasangan selebriti Aaron Aziz dan Diyana Halik lebih cenderung berniaga.
“Saya telah menyaksikan ibu saya memulakan perniagaan dan mengembangkan jenamanya, Diyana Halik Tudung, dan ayah saya sentiasa terlibat dalam perniagaan dan keusahawanan... jadi tidak hairanlah untuk saya mencubanya juga,” katanya.
Selama 35 hari, Danish akan berada di reruainya di Bazar Ramadan Kampong Gelam dan mempromosikan busananya, menahan lapar dan dahaga sepanjang bulan puasa ini.
“Pasti mencabar semasa mengimbangi masa bekerja di reruai saya dengan kehidupan peribadi saya sepanjang Ramadan tetapi ia adalah sesuatu yang saya sudah biasa memandangkan ibu bapa saya telah berada di bazar Ramadan selama beberapa tahun.
“Pada siang hari saya cuba dan fokus pada perniagaan saya dan memastikan saya menunaikan solat manakala pada masa lapang saya boleh berhubung dengan rakan dan keluarga saya,” kata Danish kepada Berita Minggu (BM).
Beliau, yang sudah selesai menjalani perkhidmatan negara, merancang menyambung pelajarannya ke peringkat sarjana muda di luar negara pada Ogos ini.
Untuk bertahan semasa berpuasa, Danish memastikan beliau akan memilih makanan yang mengenyangkan dan memberinya tenaga sepanjang hari sewaktu bersahur. Beliau juga akan minum air sebanyak mungkin untuk kekal hidrasi.
“Lagipun saya akan tertumpu kepada tugas saya dan tidak terasa lapar dan dahaga. Saya anggap berpuasa sebagai kewajipan yang mesti saya tunaikan, jadi mudah untuk saya berfungsi semasa berpuasa,” katanya lagi.
Menurut Danish, beliau memulakan jenama Gangsa.co kerana ia cerminan cinta dan semangatnya untuk belajar, melindungi dan memelihara budaya Melayu. Rekaannya terserlah menonjolkan potongan pakaian ala-ala Melayu tradisional lama yang lebih longgar, berkekek dan berpesak.
“Ini seperti baju kurung dalam filem lama zaman P. Ramlee,” katanya.
Cintanya kepada tradisi berputik semasa beliau belajar di asrama antarabangsa di Jepun selama tiga tahun dari 2020 hingga 2023. Sebagai satu-satunya pelajar Melayu di sana, beliau terpaksa menjawab soalan dari orang luar tentang latar belakangnya.
“Saya mula merenung lebih dalam tentang apa itu Melayu, dan ingin tahu lebih mendalam tentang budaya dan sejarah Melayu.
“Salah satu wadah yang menonjolkan kebudayaan Melayu ialah pakaian, jadi saya terus memberi perhatian tentang perbezaan dan perincian yang lebih halus antara pakaian Melayu tradisional dan penampilan moden yang kita lihat hari ini.
“Saya memulakan Gangsa.Co untuk melestarikan pakaian tradisional kami dan memastikan ia relevan dan terus hidup dalam dunia yang sentiasa berubah ini,” ujarnya.
Ibunya, Cik Diyana, berbangga dengan kesungguhan anaknya, dan sentiasa memberi nasihat memandangkan si anak baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
“Danish melakukan semuanya sendiri... dari proses pemilihan kain, membuat tempahan, dan kadang-kadang beliau merasa stres bila barangnya tak sampai, atau lambat.
“Saya beritahu Danish, itu perkara biasa! Kalau tidak lalui masalah, itu tidak normal... dalam perniagaan kita harus sentiasa bersedia menghadapi masalah,” kata usahawan dan ibu kepada tiga orang anak.
Menariknya, Danish juga mengetengahkan pemuda-pemudi ‘biasa’ dalam bahan-bahan promosinya, dan bukanlah model-model profesional.
“Saya ingin menunjukkan bahawa Gangsa.Co adalah pakaian untuk semua orang, ia lebih bersifat inklusif,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg