Pengendali prasekolah swasta yang menawarkan program Islam hari ini menghadapi keadaan yang boleh diibaratkan ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Mereka menghadapi pelbagai cabaran – daripada sewa dan kos operasi yang meningkat kepada pendaftaran yang berkurangan dan cabaran tenaga kerja – yang telah menyebabkan beberapa pengendali prasekolah Islam swasta terpaksa menutup cawangan atau menyerahkan pengurusan dan operasi kepada pengendali lebih besar.

Kini, pengendali bersiap sedia pula untuk berhadapan dengan persaingan yuran jauh lebih rendah yang akan ditawarkan prasekolah yang disokong pemerintah dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pengendali yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkata sedang mereka mengalu-alukan yuran prasekolah lebih rendah untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa, dengan pelbagai cabaran yang dihadapi, mereka bukan sahaja tidak dapat menurunkan yuran ke paras yang dimampui lebih ramai ibu bapa, malah perlu terus meningkatkan yuran seiring kos operasi.

Hal ini dijangka akan mendorong lebih ramai ibu bapa untuk memasukkan anak-anak mereka ke prasekolah yang disokong pemerintah yang lebih dimampui, walaupun terpaksa melepaskan hasrat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan awal berteraskan Islam.

Pengendali turut meluahkan keprihatinan bilangan murid semakin merosot walaupun minat kekal tinggi, dengan kemungkinan prasekolah Islam swasta menjadi satu ‘kemewahan’ yang hanya dimampui keluarga berpendapatan lebih tinggi.

Landskap prasekolah Islam di Singapura

Di Singapura, prasekolah boleh dikendalikan di bawah skim Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) iaitu Pengendali Utama (AOP) dan Pengendali Rakan Kongsi (POP) yang meletakkan syarat termasuk memastikan yuran kekal dimampui ibu bapa.

Semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 pada 23 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa yuran penjagaan kanak-kanak sehari penuh di prasekolah yang disokong pemerintah akan dikurangkan secara berperingkat menjelang 2030 kepada $150 sebulan (daripada $365 hingga $709), manakala penjagaan bayi kepada $300 sebulan (daripada $746 hingga $1,406).

Ini bagi memastikan setiap anak mempunyai akses kepada pendidikan awal yang berkualiti dan mampu dimiliki, tanpa mengira pendapatan keluarga.

Prasekolah juga boleh dikendalikan secara swasta, dengan yuran lebih tinggi dan lebih ruang untuk menjalankan program mengikut pendekatan sendiri.

Seperti di AOP dan POP, kanak-kanak warga Singapura di prasekolah swasta juga layak mendapat subsidi Ecda hingga $600 sebulan untuk penjagaan bayi dan hingga $300 sebulan untuk penjagaan kanak-kanak.

Prasekolah yang tidak layak menyertai skim AOP atau POP juga masih boleh mendapat manfaat daripada inisiatif lain yang disediakan oleh Ecda untuk seluruh sektor.

Sebagai contoh, melalui Program Pembangunan Profesional dan geran, prasekolah disokong untuk meningkatkan kemahiran pendidik mereka serta meningkatkan produktiviti melalui penggunaan huraian teknologi.

Prasekolah Islam di sini termasuk yang diuruskan pengendali swasta.

Secara purata, 70 prasekolah di Singapura ditutup setiap tahun antara 2023 dengan 2025, dengan kebanyakan penutupan melibatkan pusat yang tidak disokong pemerintah.

Prasekolah Islam antara yang terjejas. Dalam tempoh kurang enam bulan lalu, beberapa prasekolah menutup cawangan atau bertukar tangan atas pelbagai sebab.

Pada 6 Ogos, Ilham Global, yang mengendalikan prasekolah Ilham Child Care, menutup cawangannya di Woodlands Close, disebabkan cabaran operasi yang dihadapi termasuk peningkatan kos sewa. Ia kini mempunyai dua cawangan, di Ubi dan Jurong.

Sementara itu, Ideal Kidz menutup dua cawangannya pada Jun. Operasi pusatnya di Yishun masih diteruskan.

Geran baru

“Ini akan membolehkan lebih ramai pengendali prasekolah, termasuk pengendali yang lebih kecil, mendapat manfaat daripada sokongan pemerintah sambil terus menawarkan pelbagai program dan pilihan kepada keluarga,” kata Ecda sambil menambah maklumat lanjut akan dikongsi pada hujung 2026.

Mencari kesimbangan yuran dan perbelanjaan

Pengasas Hanis Montessori, Cik Jamelah Sulaiman, berkata pengendali prasekolah Islam memikul tanggungjawab menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang bermutu sambil menerapkan nilai Islam, pembentukan sahsiah dan jati diri dalam persekitaran pembelajaran.

Usaha itu memerlukan sumber yang mencukupi serta tenaga pendidik yang berpengalaman dan berkemahiran.

Namun banyak prasekolah Islam beroperasi sebagai entiti swasta dengan subsidi yang terhad atau tanpa geran pemerintah, kata Cik Jamelah, 57 tahun.

Keadaan itu menjadikan semakin sukar untuk mereka menyerap peningkatan kos sambil mengekalkan yuran yang berpatutan serta mutu program yang ditawarkan.

“Saya amat bimbang tentang kelangsungan sektor swasta, khususnya pengendali Muslim yang lebih kecil. Saya benar-benar risau tentang berapa lama lagi ramai antara kami mampu mengekalkan operasi pusat masing-masing dan terus kekal dalam sektor ini.

“Keupayaan kami untuk memindahkan sepenuhnya kenaikan kos ini kepada ibu bapa adalah terhad kerana keluarga juga berdepan peningkatan kos sara hidup.

“Pada masa sama, penurunan jumlah pendaftaran boleh menjejaskan pendapatan, sedangkan banyak kos operasi kekal perlu ditanggung,” tambah Cik Jamelah yang meletakkan yuran $1,200 sebulan di tiga tajaka Hanis Montessori.

Hanis Montessori berpengalaman 28 tahun sebagai pengendali prasekolah Islam di Singapura.
Hanis Montessori berpengalaman 28 tahun sebagai pengendali prasekolah Islam di Singapura. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Pengasas Kidya Childcare, Cik Nur Azwani Abdullah, berkata pengumuman menjadikan yuran lebih dimampui itu dialu-alukan tetapi telah menjadikan prasekolah Islam di Singapura satu ‘kemewahan’, sedangkan prasekolah sedemikian sepatutnya memberi pilihan kepada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka meneruskan pengajian sekolah rendah dalam sistem madrasah.

“Seperti prasekolah aliran biasa, kami menyediakan asas pendidikan bagi kanak-kanak sebelum mereka memasuki sekolah rendah. Bezanya, kami juga mempersiapkan mereka yang memilih laluan madrasah,” katanya.

Buat masa ini, Cik Nur Azwani sedang bergelut dengan cabaran menjadikan prasekolahnya mudah diakses dan dimampui ibu bapa.

Selain itu, sebagai pengendali kecil yang mempunyai dua pusat di Telok Kurau dan Bukit Batok Crescent, Cik Nur Azwani berkata prasekolahnya bergantung kepada kemasukan kanak-kanak untuk kekal mampan.

Namun sedang minat ibu bapa Melayu/Islam Singapura terhadap prasekolahnya kekal tinggi, ramai mendapati yuran yang ditawarkan tidak begitu dimampui berbanding prasekolah yang disokong pemerintah.

Ini lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang mempunyai lebih daripada satu anak.

“Sewa kami naik tahun demi tahun, begitu juga kos tenaga kerja. Ini meningkatkan kos operasi kami. Kos operasi yang meningkat bermakna yuran pun perlu dinaikkan.

“Kami berusaha menampung dan menyerap sebanyak mungkin peningkatan kos, namun dalam jangka panjang, kenaikan yuran sekolah mungkin tidak dapat dielakkan.

“Kami perlu melihat kemungkinan yang ada untuk memastikan kami terus kekal dimampui,” katanya yang meletakkan yuran $1,188 sebulan bagi khidmat penjagaan sehari untuk kanak-kanak berumur 18 bulan hingga enam tahun.

Sebagai pengendali kecil yang mempunyai dua pusat tajaka, Kidya Childcare bergantung kepada kemasukan kanak-kanak untuk kekal mampan.
Sebagai pengendali kecil yang mempunyai dua pusat tajaka, Kidya Childcare bergantung kepada kemasukan kanak-kanak untuk kekal mampan. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Pengendali Brainy Bunch International Montessori di Singapura, Ustazah Murni Abdul Hamid, 42 tahun, pula tiada pilihan kecuali terpaksa menaikkan yuran satu-satu tajakanya di Woodlands Close.

Prasekolah itu kali terakhir menaikkan yuran pada 2025 kepada $1,350 sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pada 2027, ia akan menaikkan yuran sekali lagi, sekitar 7 peratus, kepada $1,420 sebelum GST.

“Kami telah memberitahu ibu bapa yang yuran akan dinaikkan setiap dua tahun.

“Setiap kali kami umumkan kenaikan yuran, ada beberapa ibu bapa yang akan mengeluarkan anak mereka,” kongsi Ustazah Murni yang berkata yuran perlu dinaikkan bagi menampung kos operasi seperti gaji guru dan sewa premis meningkat.

Akibatnya, tajaka yang mempunyai kapasiti penuh 123 murid pada 2024 itu kini mempunyai 110 kanak-kanak. Ia berjaya mendapatkan 106 pendaftaran bagi 2027 setakat ini.

Ustazah Murni menerangkan jika bilangan murid turun, prasekolah akan mula menghadapi masalah kewangan kerana tidak dapat mengimbangi kos sewa dan perbelanjaan yang kekal sama.

Mencari cara untuk bertahan

Walaupun mempunyai perniagaan sampingan untuk menjamin kemampanan Brainy Bunch, Ustazah Murni tidak menafikan yang beliau pernah memikirkan untuk mengendalikan tajakanya di bawah skim POP, dan menurutnya, ini bermakna beliau perlu menggugurkan kurikulum Islamik yang ditawarkan.

“Ini yang membuat kami berbelah bagi. Pendorong bagi kami untuk kekal sebagai prasekolah Islam adalah kerana kami memang mahu menawarkan mata pelajaran dan persekitaran Islamik. Kesemua ibu bapa yang memasukkan anak mereka ke tajaka kami mahukan pendidikan Islamik,” jelasnya.

“Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang mahu memasukkan anak-anak ke dalam sistem pendidikan madrasah.

“Mereka mahukan prasekolah yang dapat melengkapi anak-anak mereka dengan kurikulum Islam dan bahasa Arab,” tambahnya yang turut mempertimbangkan kemungkinan mengendalikan Brainy Bunch di bawah badan bukan mencari untung (NPO).

Justeru, Ustazah Murni berkata prasekolahnya kini menyasarkan ibu bapa yang berpendapatan pertengahan hingga tinggi.

“Kami dapat merasakan mereka yang berpendapatan pertengahan pun sudah terasa beratnya yuran kami, jadi mungkin pada masa akan datang, kami hanya dapat menyasarkan mereka yang berpendapatan tinggi jika tiada bantuan geran dari pemerintah,” katanya.

Selain Brainy Bunch, Ilham Child Care juga berkata ia sedang mempertimbangkan untuk memohon bagi skim POP dalam pusingan permohonan akan datang.

Menurut jurucakap Ecda, prasekolah yang menyertai skim AOP dan POP mesti terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira kaum, bahasa atau agama.

“Sebagai sebahagian daripada syarat ini, bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan dalam kurikulum teras prasekolah tidak boleh mengandungi unsur berasaskan agama.

“Walau bagaimanapun, di luar kurikulum teras, unsur berasaskan agama boleh ditawarkan sebagai pilihan kepada ibu bapa,” kata jurucakap itu.

Usaha himpunkan pengendali

Dalam persekitaran suram itu, pendatang baru dalam sektor prasekolah Islam swasta setempat, Pengurus Besar OPL, Encik Bakar Alsagoff, berkongsi aspirasi pengendali itu membangunkan satu wadah pendidikan prasekolah Islam yang bermutu dan mampan di Singapura.

“Kami percaya terdapat nilai dalam menghimpunkan pengendali yang sehaluan dan berkongsi komitmen terhadap pendidikan awal kanak-kanak Islam yang berkualiti.

“Dari segi pelaksanaan, ini bermakna meneroka cara untuk membolehkan pengendali mendapat manfaat daripada perkongsian sumber, pembangunan profesional dan kecekapan operasi, sambil mengekalkan identiti serta kekuatan unik setiap prasekolah,” kata Encik Bakar.

Dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar bagi pengendali prasekolah Islam swasta, ditambah pula pengumuman tentang yuran lebih rendah di prasekolah, Encik Bakar berkata beliau percaya kerjasama yang lebih erat dan operasi pada skala yang lebih besar dapat membantu meningkatkan kemampanan jangka panjang.

“Pada masa sama, ia membolehkan keluarga terus menikmati pilihan prasekolah berkualiti yang selaras dengan nilai dan pegangan mereka,” katanya.

Encik Bakar berkata OPL telah didekati dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pengendali yang menyatakan minat untuk bekerjasama.

“Kami terus mengalu-alukan prasekolah yang sehaluan serta berkongsi aspirasi yang sama dengan kami,” katanya.