Projek rintis umrah ‘hanya untuk wanita’ tawar bantuan psikologi di tanah suci
Projek rintis umrah ‘hanya untuk wanita’ tawar bantuan psikologi di tanah suci
Perjalanan menunaikan ibadah umrah adalah impian yang didambakan ramai.
Namun, bagi mereka yang pernah bergelut dengan trauma atau derita penderaan domestik, perjalanan suci ini boleh membangkitkan badai emosi yang sukar ditenangkan.
Justeru, satu projek rintis bakal dilancarkan, bertujuan memastikan wanita-wanita ini tidak perlu memikul beban itu bersendirian di Tanah Suci.
Umrah ‘hanya untuk wanita’ ini akan berlangsung dari 20 hingga 28 Jun, khas buat mereka yang menetap di rumah sewa.
Usaha murni ini dianjurkan bersama inisiatif kemasyarakatan Project Hills dan agensi pelancongan Al Ubudiyyah Travels.
Dihubungi Berita Harian (BH), pengasas bersama Project Hills, Cik Zulayqha Zulkifli, mendedahkan cetusan idea ini berpunca daripada pengalaman peribadinya sendiri ketika menunaikan umrah tiga tahun lalu.
Cik Zulayqha, 32 tahun, turut melalui liku hidup mencabar, termasuk pernah hidup gelandangan sebelum menumpang di rumah sewa akibat perceraian ibu bapanya.
“Saya sedar, selalunya apabila emosi kita terhambur di sana, tiada siapa yang sedia membantu merungkainya. Tiada siapa yang dapat menguruskan emosi yang berat itu.
“Sebab itu, kami menyediakan bantuan kecemasan psikologi. Jika jemaah terasa terlalu terbeban, kaunseling serta-merta akan ditawarkan.
“Perasaan yang mungkin timbul termasuk keresahan, trauma lama, dan pencarian jalan untuk benar-benar bangkit dari luka tersebut.
“Ada di antara mereka adalah mangsa penderaan atau datang dari keluarga yang musnah. Oleh itu, perjalanan ini tidak akan mudah, malah boleh jadi sangat menyakitkan,” katanya.
Menggabungkan pengalaman hidup lalu dengan kerjayanya kini sebagai pekerja sosial, Cik Zulayqha bekerjasama dengan ustaz tempatan, Ustaz Bukhari Aziz dan Ustaz Khairul Zaman, untuk memastikan kursus umrah ini disesuaikan khusus buat golongan wanita ini.
Beliau berharap jurang ini dapat diisi pada masa hadapan.
“Golongan ini datang daripada latar belakang keluarga bermasalah. Selalunya, apabila anda menunaikan umrah, anda dikelilingi oleh jemaah lain yang bersama keluarga mereka.
“Keadaan ini sendiri boleh menjadi pencetus emosi atau ‘trigger’ yang menggoyahkan kestabilan mereka. Mereka akan cenderung merenung nasib sendiri,” jelasnya.
Buat masa ini, Cik Zulayqha menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya 27 jemaah, namun semuanya bergantung kepada dana sumbangan yang diterima.
Usaha ini hanya akan berhasil melalui sokongan masyarakat, dengan tajaan sejumlah $3,599 mampu membiayai seorang jemaah.
Program padanan penderma secara satu-ke-satu membolehkan penderma menyumbang terus kepada agensi pelancongan, dengan syarat penerima adalah dalam kalangan lapan asnaf.
Ini bermakna penderma boleh menetapkan kriteria penerima yang diinginkan, dan pihak penganjur akan mengenal pasti wanita yang sesuai.
Menurut Cik Zulayqha, projek ini terbuka kepada semua dan mereka yang ingin mendaftarkan diri sebagai penerima boleh lungsuri Instagram Al Ubudiyyah atau Project Hills bagi maklumat lanjut.
Turut mendampingi rombongan umrah itu ialah Cik Nur Hidayah Amaliah Mahmod, yang juga dikenali sebagai Mrstehtarik di ruangan media sosial.
Dalam nada positif, Cik Zulayqha berkata:
“Kami cuma mahu pastikan yang ibadah umrah ini dimampui dan boleh dijalani oleh sesiapa sahaja.
“Tidak kira siapa pun anda, dari mana asal-usul anda, atau apa pun masa lalu anda, kita semua tetap berhak untuk ke sana.
“Umrah bukan hanya untuk orang kaya, orang berada, atau golongan yang dianggap alim. Saya rasa ia perjalanan yang boleh dilalui semua orang.”

