Saat menempuh alam remaja pada usia 16 tahun, kehidupan Cik Zulayqha Zulkifli berubah sekelip mata setelah perkahwinan ibu bapanya berakhir dengan perceraian.
Akibat keretakan rumah tangga itu, flat empat bilik yang didiami beliau sekeluarga dijual dan Cik Zulayqha bersama tiga adik-beradiknya menjadi gelandangan.
Sewaktu tempoh sukar itu, kolong blok menjadi tempat mereka berteduh, tidur, makan dan belajar, sebelum mereka sekeluarga berpindah ke rumah sewa dua bilik di Mei Ling Street.
Cabaran hidup seolah-olah tidak berhenti menimpanya apabila ibunya meninggalkan beliau dan adik-beradiknya, memaksa Cik Zulayqha mengambil alih tanggungjawab menjadi ‘ibu’ pada usia 22 tahun, sambil bergelut dengan kesempitan kewangan.
Sungguhpun banyak beban yang perlu dipikul sejak umurnya masih muda lagi, kematangan dan daya tahan anak kedua dalam empat adik-beradik itu jelas terserlah.
Kini pada usia 30 tahun, lulusan sarjana muda Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu ialah pekerja sosial sepenuh masa, yang ketika masa lapangnya, mengendalikan inisiatif Project Hills – satu daya utama yang membantu mereka yang kurang bernasib baik dan keluarga yang tinggal di rumah sewa.
“Hidup merempat di kolong blok adalah antara kenangan pahit sewaktu saya membesar.
“Kami tidak ada ruang peribadi dan semua yang kami lakukan adalah dalam keadaan terbuka.
“Ini yang mendorong saya membantu belia dan anak yang berdepan dengan isu serupa atau mungkin hampir sama dengan apa yang telah saya lalui, supaya mereka boleh keluar daripada cengkaman masalah itu,” ujarnya dengan nada bersemangat.
Menerusi Project Hills, yang ditubuhkan bersama abangnya, Encik Zulhaqem Zulkifli, 32 tahun, pada April 2020, mereka telah membantu lebih 2,000 keluarga daripada 11 blok sewa dan menggembleng tenaga 150 relawan.
Antara usaha inisiatif itu termasuk mengagihkan makanan, memberi sokongan emosi dan memperjuang advokasi bagi keluarga yang tinggal di flat rumah sewa supaya mereka tidak rasa terpinggir oleh masyarakat.
Atas sumbangannya memperjuangkan pemerkasaan masyarakat dan komitmen menghulurkan bantuan kepada keluarga memerlukan, Cik Zulayqha menerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian pada 25 Oktober.
Anugerah Jauhari Harapan bertujuan mengiktiraf individu berusia 30 tahun dan ke bawah, yang mempunyai semangat kental dalam mencapai kejayaan dan memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Terharu diberi pengiktirafan tersebut, Cik Zulayqha berkata:
“Sebenarnya saya tidak jangka bahawa saya akan terima anugerah ini kerana selama ini, sumbangan saya kepada masyarakat adalah atas keikhlasan dan kemahuan saya untuk membantu.
“Justeru apabila saya diberikan anugerah ini, saya rasa ia satu penghormatan untuk diri saya dan bentuk pengesahan terhadap potensi diri saya.”
Menukil beberapa individu yang menjadi sumber inspirasinya, Cik Zulayqha mengaitkan pencapaiannya kepada ‘ibu angkat’ yang membimbing beliau dalam kerja kemasyarakatan, Cik Riza Malawad; abangnya, Encik Zulhaqem; dan juga bapanya, Encik Zulkifli Atnawi.
Bapanya, yang mencari nafkah sebagai pekerja pembersihan bagi menampung kehidupan Cik Zulayqha dan adik-beradiknya, telah meninggalkan kesan dalam membentuk perwatakan anak perempuannya itu.
“Walaupun bapa saya bukan seorang yang berpelajaran tinggi, beliau sentiasa mendorong saya berbuat baik.
“Beliau juga penasihat terdekat saya, tidak kira dalam kehidupan peribadi atau dalam kerja kebajikan saya.
“Bapa saya sering berpesan bahawa sungguhpun kita tidak ada harta atau kita bukan kaya raya, kita perlu tetap ada sikap memberi walaupun nilai benda itu dipandang rendah,” katanya, yang menjelaskan bahawa tenaga yang diberi ketika menghulurkan bantuan sesuatu yang sudah cukup berharga.
Pengalaman sememangnya mendewasakan, dan Cik Zulayqha yang tidak kenal erti penat berharap dapat terus membantu golongan memerlukan selagi beliau mampu.
“Saya dan adik-beradik saya sering berpegang kepada pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.
“Jadi, apa pun yang kita buat dalam kehidupan kita, sepertimana kita akan bersungguh-sungguh buat sesuatu yang kita mahu, kita juga akan sungguh-sungguh jika kita tak nak perkara itu.
“Justeru, apa pun kesukaran atau kesulitan yang kita alami, yakin bahawa ada jalan keluar asalkan diri kita bersemangat untuk keluar daripada masalah dan isu tersebut,” katanya.
“
“Sebenarnya saya tidak jangka bahawa saya akan terima anugerah ini kerana selama ini, sumbangan saya kepada masyarakat adalah atas keikhlasan dan kemahuan saya untuk membantu. Justeru apabila saya diberikan anugerah ini, saya rasa ia satu penghormatan untuk diri saya dan bentuk pengesahan terhadap potensi diri saya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg