Pelakon, Puteri Sarah Liyana, enggan masuk campur dalam urusan rumah tangga membabitkan bekas suaminya, Syamsul Yusof yang dilaporkan bakal bercerai dengan isterinya, Ira Kazar.
Puteri Sarah berkata beliau enggan mengeruhkan keadaan dengan kenyataan yang bakal diberikan.
“Saya sedar ramai yang mahu saya bersuara mengenai perkara ini sejak semalam, tapi saya mohon maaf kerana tidak dapat memberikan jawapan yang anda inginkan.
“Saya tidak mahu kenyataan saya memberi impak negatif atas kesulitan orang lain.
“Saya percaya apa sahaja keputusan yang dibuat Syamsul adalah atas kerelaan hatinya dan tiada paksaan daripada sesiapa,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Puteri Sarah, 39 tahun, beliau kini bahagia melayari kehidupan sebagai ibu tunggal kepada dua anak.
“Saya bahagia dengan cara saya sendiri. Saya tiada masa nak fikir mengenai masalah orang lain kerana fokus saya adalah pada anak-anak,” katanya.
Pada 19 Ogos, Harian Metro melaporkan Syamsul sudah memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Ia adalah pernikahan kedua Syamsul selepas berpisah dengan Puteri Sarah pada 14 Jun 2023.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, enam tahun, dan Sumayyah, empat tahun.
Pada 6 Januari 2023, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk meletak titik noktah pada teka-teki perhubungannya dengan Ira apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg