Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Que Haidar pilih tinggal di luar KL, mahu hidup tenang

Jan 2, 2026 | 6:08 PM
Malaysia, Que Haidar
Persekitaran rumah kakaknya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, sangat menambat hati pelakon Que Haidar. - Foto NST

KAJANG (Selangor): Pelakon Que Haidar, atau nama sebenar, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46 tahun, kini memilih menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bersama keluarga kakaknya.

Keputusan itu diambil bagi memberikan tumpuan terhadap penggambaran drama bersiri Pak Su Ammara, yang menuntut komitmen penuh.

Menurutnya, setiap hari beliau bekerja dan jika tiada penggambaran, terbabit dengan sesi latihan drama serta projek lain seperti menjadi duta produk.

“Tempat tinggal saya bukan di Kuala Lumpur, jadi saya rindu rumah dan katil. Saya sudah lama tak balik (sebab) tidak ada cuti sudah lebih tiga bulan.

“Tapi bukan merungut kerana ini adalah rezeki dari Allah. Alhamdulillah... cuma saya macam fikir bila saya hendak dan bercuti?

“Bila boleh balik? Dapat satu, dua malam tidur dalam ilik saya pun sudah okay, saya gembira. Saya pilih tinggal jauh dari ibu kota kerana mahukan ketenangan.

“Mulanya terfikir hendak tinggal dalam empat hingga enam bulan (di Kuala Pilah) untuk berehat. Tetapi, selepas itu, saya suka.

“Macam ‘best’ pula di mana pagi-pagi saya ditemani bunyi seekor burung di luar bilik,” katanya ketika ditemui BH Online di lokasi penggambaran drama tersebut di sini pada 31 Disember 2025.

Que berkata persekitaran rumah kakaknya sangat menambat hati.

“Kenapa Kuala Pilah? Sebabnya hendak ke Kuala Lumpur hanya sejam setengah (memandu). Hendak ke Melaka sejam setengah juga. Saya ada kilang sambal di Melaka.

“Jadi, hendak ke Kuala Lumpur, hanya satu jam setengah. Ada urusan di kilang (Melaka), sejam setengah. Kiranya saya berada tengah-tengah. Tetapi, sekarang memang tak sempat nak balik langsung.

“Saya tidak tahu sama ada hendak balik semula ke Kuala Lumpur sebab saya sedang rancang buat rumah di belakang rumah arwah emak di Kulai, Johor,” katanya.

Que berkata tanah di belakang rumah ibu agak luas dan adiknya sedang menguruskan kolam ikan sebagai projek keluarga.

“Jadi, di kolam itu hendak buat ‘tiny house’ (rumah bersaiz kecil) untuk saya ‘healing’ (berehat). Saya suka ‘camping’ (berkhemah). Saya hendak bela ayam dan itik untuk keluarga.

“Saya juga suka melukis. Jadi, di situ sangat tenang dan saya boleh melukis. Saya boleh luangkan masa dengan lukisan dan bawa anak-anak balik serta lari daripada kesibukan bandar,” katanya.

Que berkahwin dengan Linda Jasmine pada 14 Februari 2009, namun bercerai talak satu pada 2 Julai 2024.

Mereka mempunyai dua anak menerusi perkahwinan ini iaitu Tengku Ratu Haidar, 16 tahun, dan Tengku Cleopatra Haidar, 13 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg