Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raja sehari, tapi jangan ‘pokai’ nanti

Aug 24, 2025 | 5:30 AM
wedding
Bagi ramai, perkahwinan merupakan antara detik paling penting dalam kehidupan. Namun, penulis ingatkan supaya jangan berbelanja keterlaluan untuk majlis perkahwinan hingga menjejas kehidupan bersama pasangan. - Foto IRMAYA WEDDING GALLERY

Nak kahwin pun boleh pening kepala.

Merancang perkahwinan terasa lebih rumit kerana terpaksa cuba mengurus emosi dan jangkaan semua pihak.

Kita terlalu sibuk cuba menggembirakan keluarga, kawan-kawan, malah saudara yang jarang jumpa – sampai terlupa siapa sebenarnya yang paling penting dalam majlis itu: pasangan yang akan berkahwin.

Semasa perancangan perkahwinan saya, matlamat saya dan pasangan jelas: buat majlis yang sederhana dan bermakna, jimatkan wang untuk kehidupan selepas kahwin, dan fokus kepada apa yang benar-benar penting, membina kehidupan bersama.

Tapi untuk mencapai keseimbangan ini bukannya mudah.

Perkara tersebut perlukan niat yang jelas, ketegasan serta keberanian untuk katakan ‘tidak’.

Sepanjang proses merancang perkahwinan saya sendiri, saya banyak belajar.

Yang paling penting adalah anda dan pasangan perlu jelas tentang apa yang anda mahukan.

Sejak awal, kami sepakat , kami mahu hari yang istimewa dan bermakna, tapi yang lebih penting ialah kehidupan selepas hari itu.

Menurut laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Singapura (DOS), hanya 5.8 peratus perceraian berlaku akibat masalah kewangan.

Tapi pada saya, lebih baik berjaga-jaga daripada menyesal kemudian hari.

Kami duduk berbincang, tetapkan apa yang penting untuk kami, dan tentukan di mana kami sanggup berkompromi, dan kami berpegang pada keputusan itu.

Saya juga sentiasa mengingatkan diri: saya tak mahu membazir untuk satu hari sahaja, tetapi pada masa yang sama, ini juga pengalaman sekali seumur hidup.

Saya mahu kami berdua kenang hari perkahwinan kami dengan rasa gembira, bukan dengan rasa menyesal kerana terlalu berjimat sehingga tiada langsung apa yang kami mahukan.

Jadi ya, penting untuk berkompromi, terutamanya jika sesuatu itu terlalu mahal.

Tapi ambil masa untuk cari alternatif yang lebih mampu milik dan masih kena dengan cita rasa kita.

Satu lagi perkara yang saya pelajari adalah untuk jangan bandingkan diri dan pengalaman kita dengan orang lain.

Kadang-kadang rasa rendah diri bila tengok rakan-rakan buat majlis besar dan mewah.

Tapi hakikatnya, setiap orang punya kemampuan yang berbeza.

Ada yang memang mampu berbelanja lebih, tetapi tidak mengapa.

Bagi kami, yang paling penting ialah masa depan keluarga kami.

Saya tidak akan berhutang atau membazir semata-mata untuk memenuhi jangkaan orang lain.

Dan bila difikirkan semula – perkara ini bukan hanya berkaitan dengan perkahwinan, tapi untuk banyak situasi dalam hidup.

Ramai sebenarnya tidak ambil kisah sangat pun seperti yang kita sangka.

Ya, akan ada yang mengata – sama ada kita buat majlis besar atau kecil.

Tapi akhirnya, yang menanggung kehidupan ini ialah kita sendiri, bukan mereka.

Saya juga bersyukur kerana ibu bapa dan bakal mentua saya sangat memahami dan menyokong keputusan saya dan bakal isteri saya.

Kami boleh berbincang secara terbuka tentang apa yang kami mahukan dan apa yang tidak diinginkan.

Kami cuba mencari jalan tengah supaya semua orang rasa dihargai dan didengari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg