Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Realiti membeli flat idaman

Aug 10, 2025 | 5:30 AM
Tapak pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Macpherson Weave, yang akan siap pada Mac 2026.
Tapak pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Macpherson Weave, yang akan siap pada Mac 2026. - Foto fail

“Rumahku syurgaku” sering diungkap. Tetapi syurga idamanku adalah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang bernilai $970,000.

Setelah berumah tangga pada Jun 2025, keutamaan saya dan isteri adalah memiliki rumah sendiri untuk mula berkeluarga.

Buat sementara waktu, isteri saya pindah ke estet Macpherson untuk duduk bersama keluarga saya dan tidak ambil masa lama untuk almari dan ruang kabinet penuh dengan kain baju dan harta benda kami.

Pada mulanya kami bercadang membeli flat BTO melalui skim jualan flat baki (SBF) di seberang jalan rumah ibu bapa saya, iaitu estet Macpherson Blossoms sewaktu baki flat HDB ditawarkan pada Julai 2025.

Namun, kami terkejut setelah mendapati flat lima bilik ditawarkan pada harga $970,000; menyebabkan harapan kami hancur.

Menurut laman web Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), harga flat lima bilik BTO di Macpherson Blossoms antara $931,000 hingga $970,000.

Harga tinggi flat BTO dan flat jualan semula antara topik utama yang pihak pemerintah sentuh sewaktu Pilihan Raya Umum 2025 setelah ramai bakal pemilik flat menyuarakan keprihatinan tentang harga flat, meskipun beberapa inisiatif mengurangkan kos perumahan telah dilancarkan.

Dalam kenyataan media HDB pada Ogos 2024, HDB mengumumkan bahawa Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG) untuk pembeli flat BTO kali pertama di bawah kategori keluarga dan pasangan - yang diberi berdasarkan pendapatan isi keluarga - dinaikkan daripada $80,000 kepada $120,000. 

Pembeli flat jualan semula di bawah kategori yang sama turut menerima Geran Perumahan CPF untuk membeli flat jualan semula sebanyak $80,000 untuk flat dua hingga empat bilik dan $50,000 untuk flat lima bilik.

Pemerintah juga memperkenalkan inisiatif penilaian flat baru berdasarkan lokasi mengikuti kategori Standard, Plus dan Prime.

Melalui skim itu, pembeli flat baru di lokasi yang mempunyai lebih banyak kemudahan dan lebih dekat dengan bandar - seperti Plus dan Prime - akan menerima lebih banyak geran dan subsidi.

Namun, ramai masih rasa flat baru dan jualan semula tetap mahal dan sukar dicapai, menurut laporan The Straits Times (ST) pada April 2025.

Dengan penilaian hampir $1 juta untuk flat ‘idaman’ saya, saya rasa berbelah bahagi dan berasa saya dan isteri harus memikirkan semula ciri-ciri yang sepatutnya ada bila memilih flat idaman.

Pada mulanya, kami teruja ketika memikirkan kebaikan mendapat flat di Macpherson, kerana ia berdekatan dengan keluarga kami dan beberapa kemudahan seperti stesen MRT, pusat beli-belah Paya Lebar dan tempat kerja kami.

Ia akan memudahkan kami untuk menziarahi keluarga ataupun menghantar anak-anak ke rumah mereka sambil bekerja.

Saiznya juga sesuai untuk menampung anak-anak dan ibu bapa kami pada masa depan.

Realitinya, flat di Macpherson berada di kawasan kejiranan yang lebih matang, di mana harga flat sememangnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan flat di kejiranan baru.

Trend ini turut berlaku di estet matang lain seperti di Bishan dan Toa Payoh.

Realiti ini memaksa kami mempertimbangkan beberapa pilihan lain demi mendapatkan flat.

Ternyata, pasangan seperti kami boleh membeli flat pada harga yang lebih berpatutan yang terletak di kejiranan baru yang jauh dari daerah bandar Singapura, seperti di estet baru Tengah.

Di seluruh 18 projek BTO di Tengah, harga median flat empat bilik berharga antara $322,500 hingga $354,500, manakala flat lima bilik berharga antara $438,500 hingga $482,000

Namun, berpindah ke estet yang baru tentu datang dengan beberapa pengorbanan.

Menurut laporan Channel News Asia (CNA) pada Januari 2024, kumpulan pertama penduduk estet perumahan Tengah mengadu tentang kekurangan kemudahan dan pilihan pengangkutan awam.

Penduduk tersebut juga mengeluh bila terpaksa mengambil lebih banyak masa untuk pergi ke tempat kerja.

Ramai menasihati kami untuk mencuba beli rumah jualan semula, tetapi ia bukan pilihan yang sesuai disebabkan harga yang terus meningkat.

Buat saya dan isteri, kami tidak pasti sama ada kami sanggup menerima pilihan alternatif, terutama jika perlu duduk berjauhan iaitu lebih daripada satu jam daripada kededua ibu bapa kami di Macpherson dan Bedok Reservoir.

Namun, selagi harga flat tidak menurun, ramai pasangan muda dan keluarga harus memilih antara flat idaman yang siap dengan kemudahan atau flat yang harganya berpatutan tetapi mengorbankan ciri-ciri menarik, seperti duduk berdekatan dengan keluarga dan prasarana penting.

Dengan harga flat yang kekal tinggi, nampaknya pasangan muda seperti saya mungkin tidak memiliki kemewahan untuk memenuhi semua kriteria bila memilih flat ‘idaman’ kami.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg