Beberapa artis Singapura bersatu hati memberi sokongan kepada pelakon kelahiran negara ini, Aaron Aziz yang dikatakan telah dilempar fitnah akibat satu video yang dimuat naik seorang wanita.
Terbaru, Aaron Aziz, 49 tahun, dan keluarganya yang bermastautin di Kuala Lumpur telah mengambil tindakan undang-undang ke atas wanita itu.
Video oleh pempengaruh Sharina Richie itu dikatakan telah mengundang kecaman daripada netizen.
Video itu didakwa beranggapan bahawa Aaron seolah-olah tidak menyokong isu kemanusiaan di Gaza dan menyatakan bahawa “adalah hipokrit untuk hanya bercakap tentang krisis kemanusiaan di Palestin tanpa mengambil sebarang tindakan konkrit.”
Video itu dikatakan telah dipadamkan.
Aaron telah pun menjelaskan bahawa video itu disunting daripada rakaman asalnya pada 19 September, mencantumkan beberapa bahagian berbeza untuk menghasilkan satu video lain. Aaron kemudian menggesa orang ramai supaya menonton videonya yang penuh.
Dalam video asal, Aaron mengatakan: “Saya menjawab pertanyaan ‘Apakah pandangan anda terhadap artis yang tidak memuat naik atau bersuara tentang genosid di Gaza?’”
“Tidak mungkin saya tidak menyokong Gaza, saya seorang Muslim,” terang bapa tiga anak itu.
Video yang disunting itu dikatakan telah pun dipadamkan oleh Sharina dari akaun Instagramnya dan beliau kemudian memohon maaf kepada Aaron serta keluarganya, namun permohonan maaf itu dianggap tidak ‘ikhlas’ dan terlambat oleh netizen yang menyokong Aaron.
Berikutan berita itu pada 7 Oktober, penyanyi rap dan usahawan Singapura, Sheikh Haikel memuat naik videonya yang mempertahankan Aaron.
“Saya biasanya tidak campur tangan dalam hal media sosial.
“Tetapi saya perlu beritahu semua di luar sana. Lelaki yang kamu serang sekarang, atau sedang diserang - Aaron Aziz, beliau seorang lelaki sejati, seorang suami yang baik, seorang ayah yang baik, seorang saudara yang baik… Percayalah, beliau seorang yang menepati kata-katanya, beliau tidak akan melakukan perkara seperti ini. Jangan lakukan ini kepadanya, jangan lakukan ini kepada keluarganya, mereka hanya berusaha melakukan yang terbaik untuk dunia dan akhirat,” kata Sheikh Haikel dalam muatannya di Instagram.
Bekas penyanyi, penerbit, pelakon, dan usahawan Syarif Sleeq pula berkata dalam ruangan komen video yang dimuat naik Sharina:
“Kesan buruknya sudah terjadi, dan kamu telah mendapat publisiti yang kamu inginkan. Kamu sedar sepenuhnya tentang tindakan kamu ketika mengedit video itu.”
Seorang lagi penyanyi Singapura, Farhan Shah, juga meninggalkan komen.
“Berhenti mengalih perhatian orang daripada isu sebenar dengan cuba mencipta perpecahan di dunia yang sudah pun berpecah. Kali berikutnya jika kamu ingin memuat naik sesuatu yang tidak bijak dan tiada tujuan lain selain untuk mendapat perhatian, pergilah berjalan-jalan.
“Kita semua tahu itu dilakukan dengan sengaja untuk publisiti.... Fokuslah untuk menentang kejahatan sebenar,” kata Farhan Shah.
Bimbang akan keselamatannya, Sharina memuat naik satu lagi video menunjukkan beliau telah membuat laporan polis mengenai ancaman yang diterimanya, termasuk ancaman dirogol, dibunuh, dipukul dan pelbagai lagi yang memberi tekanan ke atas dirinya serta keluarga.
Dalam satu muatan isteri Aaron, Cik Diyana Halik, di Instagram pada 5 Oktober yang mendapat 41.2 ribu tanda suka, beliau berkongsi gambarnya bersama suami dan seorang lagi yang dipercayai peguam di depan syarikat guaman Emir Mahmud & Co.
“Dua hari yang lalu sangat menekan bagi saya. Biasanya saya akan minta suami supaya membiarkan saja, tetapi memandangkan anak-anak dan suami saya sangat terkesan dengan hal ini, saya rasa inilah pilihan yang terbaik,” terangnya dalam kapsyen muatan itu.
Gambar-gambar lain yang dimuat naik juga menunjukkan Aaron dan anak-anaknya sedang dalam tekanan sehingga rebah.
Anak perempuan mereka, Dwi Ariana, pula meluahkan perasaan sedihnya di wadah Threads pada 5 Oktober setelah melihat bapanya dibuli dan dalam keadaan tertekan.
“Dalam 19 tahun hidup saya, saya hanya melihat bapa saya menangis dua kali. Sekali semasa ibunya meninggal dunia, dan semalam.
“Ini belum termasuk tangisan ibu saya, dan apabila kedua ibu bapa saya menitiskan air mata, satu keputusan harus ditetapkan,” kata gadis itu yang sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom (UK).
Terbaru, Sharina membuat kenyataan media rasmi bersama peguamnya menyatakan beliau sudah pun menghantarkan surat guaman terhadap puteri Aaron, Dwi Ariana kerana membuat beberapa kenyataan dan komen di wadah @Thread.
Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati akaun instagram Aaron Aziz telah disekat dan tidak dapat diakses dari Singapura. Di Facebooknya, Aaron berkata:
“Bismillah Ya Allah. Berikan saya kekekuatan. Biarlah segala kesakitan dan penderitaan ditimpakan kepada saya, dan bukan kepada isteri atau anak-anak saya. Amin.”
Keluarga itu telah dihubungi wartawan pada 9 Oktober tetapi tidak dapat memberikan keterangan lanjut selepas dinasihatkan oleh peguam mereka agar tidak berbicara dengan pihak media pada waktu ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg