Kali pertama menyambut ketibaan Ramadan tanpa suami tersayang di sisi memberi satu perasaan berbeza buat balu komposer legenda, Allahyarham Datuk S Atan iaitu Datin Norizan Yeob.
Datin Norizan mengakui, hatinya tersentuh apabila mengenangkan keterujaan arwah setiap kali kehadiran bulan paling mulia dalam kalendar Islam itu.
“Setiap kali selepas menunaikan solat tahajud, dalam jam 2 atau 3 pagi, arwah akan kejutkan saya dan ingatkan untuk bangun sahur.
“Arwah juga akan telefon atau kirim pesanan kepada anak-anak yang tinggal berjauhan untuk ingatkan mereka bersahur.
“Malam tadi kami bersahur tiga beranak sahaja. Saya dan dua anak perempuan. Bila arwah tiada, lain sangat suasananya.
“Tak tahu nak cakap macam mana. Kami sekeluarga memang sangat terkesan dengan kehilangannya,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Berkongsi menu kegemaran penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 (2024) itu, setiap kali berbuka, Datin Norizan memaklumkan arwah tidak cerewet dalam soal makanan dan lebih gemar membeli juadah di bazar.
“Arwah memang tak cerewet soal makanan. Cuma, arwah suka lauk yang berkuah contohnya kari kepala ikan.
“Selalunya kalau bulan puasa, arwah jarang suruh saya masak kerana dia suka pergi bazar Ramadan untuk beli juadah.
“Arwah cakap itu adalah salah satu cara untuk bantu golongan peniaga kecil,” kongsinya.
Sementara itu, Datin Norizan memaklumkan bukan mudah untuknya memujuk hati menerima hakikat pemergian arwah suami.
“Perasaan sedih dan rindu, semuanya bercampur baur. Ada juga kawan-kawan yang menyangkakan saya sangat tabah selepas melihat saya tenang berdepan kehilangan.
“Dalam hati ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sampai bila saya nak kena meratap atau merintih? Nak atau tidak, saya kena lawan perasaan.
“Saya tak mahu disebabkan terlalu sedih, akibatnya saya jatuh sakit. Nanti anak-anak susah, itu saya cuba elak,” luahnya.
Pada November 2024, Allahyarham S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, 75 tahun, meninggal dunia di kediamannya di Kajang, akibat komplikasi jantung.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan enam anak dan 10 cucu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg