HARARE: Menyusuli kritikan yang timbul, penguasa kehidupan liar Zimbabwe pada 18 September mempertahankan rancangannya mematikan 200 gajah yang bertujuan meredakan tekanan ke atas sumber yang terjejas akibat kemarau.
Badan itu berkata langkahnya mematikan gajah merupakan yang pertama kali dalam sekitar 35 tahun, dan adalah satu keperluan memandangkan Zimbabwe berdepan kesukaran menangani jumlah haiwan besar yang terlampau banyak di samping kemarau yang menyebabkan ribuan orang mengalami kekurangan makanan.
Ini setelah negara kejiranan Namibia berkata ia merancang mematikan lebih 700 haiwan liar, termasuk 83 gajah, bagi mengurangkan tekanan ke atas bekalan air dan padang rumput yang terjejas oleh kemarau, dan untuk menyediakan daging bagi program bantuan makanan.
Kedua-dua tindakan untuk mematikan haiwan menerima kritikan daripada kumpulan hak haiwan dan pejuang pemuliharaan.
Namun dengan jumlah gajah Zimbabwe dianggarkan 84,000, tindakan mematikan itu adalah “setitik air dalam lautan”, kata jurucakap Penguasa Taman dan Kehidupan Liar Zimbabwe (ZimParks) Tinashe Farawo.
ZimParks sebelum ini menganggarkan terdapat kira-kira 100,000 gajah dalam negara itu.
“Jika anda lakukan perkiraan, ia sedikit sahaja,” kata Encik Farawo.
Beliau menambah bahawa walaupun tindakan mematikan telah terbukti berkesan, “orang ramai tidak mahu menerima fakta” tentang isu berhubung emosi itu.
Daging gajah itu akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan bantuan makanan dan gading akan disertakan dalam simpanan 130 tan barang yang diperbuat daripada gading (ivory), kata jurucakap itu.
Langkah untuk memburu gajah bagi makanan telah dikritik sebahagian orang, apatah lagi haiwan itu merupakan tarikan besar bagi pelancong.
“Pemerintah mesti mempunyai kaedah mesra alam yang lebih mampan untuk menangani kemarau tanpa menjejas pelancongan,” kata pengarah Pusat Tadbir Urus Sumber Semula Jadi yang tidak mengaup untung, Encik Farai Maguwu.
“Mereka berdepan risiko mencegah pelancong atas dasar etika. Gajah lebih menguntungkan dalam keadaan hidup daripada mati.”
Encik Farawo berkata Zimbabwe, yang dianggarkan mempunyai jumlah gajah kedua terbesar dalam dunia selepas Botswana, sedang “berperang dengan jumlah gajah yang terlampau banyak.”
Beliau menambah: “Ia menumbangkan pokok, ia menghancurkan segala-galanya, kerana bilangannya tidak mampan. Sistem eko kita tidak boleh menanggung apa yang kita kini ada.”
Encik Farawo berkata kemarau ini menyebabkan gajah dan kehidupan liar lain memasuki kawasan penempatan manusia bagi mencari makanan dan air, dan pertemuan ini kadangkala membawa maut.
Pada suku pertama 2024, seramai 30 orang terkorban setelah bersemuka dengan kehidupan liar, dengan gajah dikaitkan dengan 60 peratus kematian itu, tambahnya.
Pada 2023, ZimParks menerima 3,000 panggilan kecemasan berkaitan haiwan liar.
Sementara itu, Zimbabwe tidak dapat menjual simpanan gadingnya disebabkan larangan global ke atas perdagangan barang yang diperbuat daripada gading (ivory).
Ia juga tidak mempunyai cara untuk membahagikan gajah ke bahagian lain negara itu yang kurang sesak, dengan langkah terakhir seumpama itu pada 2019.
Namibia dan Zimbabwe merupakan antara sebilangan besar negara di Afrika Selatan yang telah mengisytiharkan keadaan darurat disebabkan kemarau. – AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg