Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

‘Rapper’ dan pelakon ‘Anak Metropolitan 4.0’ jelajah dunia penyiaran

Qis Maraj tidak gentar cuba sesuatu
yang dapat perkasa cinta seni
Sep 16, 2023 | 05:30 AM



Bagaikan bermimpi di siang hari mengenang segala pencapaian yang diraih dan pintu rezeki yang dibuka buatnya dalam bidang seni, setapak demi setapak.

Jika pada 2022 penyanyi rap, Qis Maraj atau nama sebenarnya, Nurbalqis Mohamed Muzamil, 22 tahun, ditawarkan peranan utama dalam drama sensasi di Suria, Anak Metropolitan 4.0, kini beliau pula antara lima peserta terpilih bagi program realiti mencari deejay penyiaran radio, Suara Juara – The Star Voice 2023, yang mengikut jejak program versi Cinanya yang berjaya pada Ogos 2022.


Program itu membolehkan bakat tempatan mengejar cita-cita dan nyala rasa mereka dalam dunia penyiaran dan mengacara.

Rancangan itu menampilkan dua deejay Ria 897, Azura Goh dan Fadli Kamsani, sebagai pengacara.

Selain Qis, empat lagi peserta ‘Top 5’ Suara Juara adalah Ezam Ernady, Farihin Anwar, Raihan Yacob dan Rarah Haermie.


Ketika dihubungi Berita Harian, Qis, lulusan Diploma Teknologi Muzik dan Audio dari Politeknik Singapura (SP), berkata: “Saya memang suka cuba sesuatu yang baru untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang seni.


“Tahun lalu, saya macam bidan terjun masuk dunia lakonan dan diberi watak yang memerlukan saya tampil kasar didesak situasi dan tunjukkan banyak emosi dalam Anak Metropolitan 4.0.


“Setelah terlibat dalam bidang penerbitan muzik dan mengadun lagu sendiri, saya kepingin cuba bidang penyiaran. Selalu tengok deejay tekan butang sana sini. Rupanya, penyelarasannya tidak semudah mana. Ia lebih sukar. Banyak sangat butang nak tekan. Banyak nak diselaraskan. Saya sendiri jadi pening sampaikan kata, bikin muzik lagi lebih senang.

“Selepas menyertai Suara Juara, saya lebih menghargai tugas dan amanah seorang deejay. Ia tidak semudah berbual dan melayan pendengar dan memutarkan muzik untuk menghiburkan mereka. Deejay sekarang kena pandai siapkan kandungan digital untuk pancing peminat dalam talian. Ini juga memerlukan persiapan rapi.”


Menurut Qis, tuntutan sesebuah program realiti bukan sesuatu yang asing buatnya. Beliau bertuah kerana didedahkan kepada rancangan realiti sejak kecil lagi menerusi peraduan pencarian bakat Okto Ambassador.


“Saya juga pernah masuk peraduan menyanyi dan mencipta lagu Hari Raya, Ilham: Menjelang Syawal, anjuran Wisma Geylang Serai (WGS). Apa yang diperlukan dalam sesebuah peraduan dan debaran yang dirasakan adalah perkara biasa buat saya. Saya sentiasa teruja berada dalam mode peraduan.


“Kalau diberi peluang siapkan rancangan radio, saya mewakili generasi muda yang ingin dengar tentang trend, produk dandanan dan hiburan. Saya fikirkan konsep di mana program itu juga boleh mengajar teman lelaki atau suami untuk ketahui dan pilih produk dandanan sesuai untuk temanita atau isteri mereka,” tambah Qis.

Cabaran yang dihadapi adalah dalam merancang kandungan digital serentak dengan mengemudi bicara di radio.

“Orang ingat saya anak muda. Jadi isi Instagram dan TikTok dengan kandungan menarik bukan masalah utama. Tapi kerana terbiasa bergaul dengan generasi lebih mapan, saya mula abaikan kandungan dalam talian dan jarang memuatnaikkan bahan baru untuk tempoh masa yang lama.

“Saya rasa selepas ini, saya harus tangkas mengisi kandungan menarik sebab dalam konteks sekarang, bidang penyiaran juga harus beri tumpuan pada interaksi di Instagram dan TikTok,” katanya lagi.

Dalam arena muzik, Qis berkata pastinya beliau dan pasukannya akan menjana lagu baru khususnya untuk tahun depan selepas semua anggota tidak lagi dibelenggu tugas harian dan urusan peribadi.

Qis bekerja rapat dengan rapper legenda Mawar Berduri, penulis lirik dan artis hip hop 2KangKata dan penerbit muzik, Sazery Suhady.

“Setelah penat lelah bekerja, saya pun suka mengembara dan bercuti. Saya pergi ke Filipina dua kali bersama rakan-rakan yang saya temui di set Anak Metropolitan 4.0. Saya ingin kumpulkan bermacam pengalaman seni, seberapa banyak yang saya mampu untuk bekalan hari depan,” tambah Qis yang lebih dikenali dalam lagu duet KakakAdik bersama Mawar Berduri.


Anak muda sepertinya tidak akan lelah berkarya dan belajar erti kerja keras dan disiplin hasil pergaulan dengan mereka yang sudah lama makan garam dalam industri seni.

Sepanjang peraduan Suara Juara, lima peserta terbaik akan dinilai dari segi kreativiti, personaliti serta keupayaan berbual dan menulis dalam bahasa Melayu dengan fasih.


Mereka akan dinilai panel veteran industri termasuk Penolong Pengarah Program Ria 897, Cik Azlin Ali, dan Pengarah Program Warna 942, Cik Morniyati Tukimin serta juri jemputan, Adi Rahman, Khairudin Samsudin, Najip Ali dan Suhaimi Yusof.

Pemenang akan membawa pulang wang tunai $10,000 dan peluang bergelar deejay Mediacorp.

Suara Juara – The Star Voice 2023 akan disiarkan di aplikasi mewatch, saluran Suria dan YouTube Mediacorp Entertainment serta aplikasi melisten pada 17 September, antara 8.30 malam dengan 9 malam. Episod dua hingga lima akan disiarkan secara langsung setiap Ahad, dari 8.30 malam hingga 9.30 malam mulai 24 September.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >