Ibarat bulan jatuh ke riba dan bagai bermimpi di siang hari.
Anak muda mana yang tidak teruja jika lagu rok ciptaannya, Orang Kota, tiba-tiba mendapat perhatian Papa Rok, Datuk Ramli Sarip, sehingga dimuatkan dalam album solo ketiga biduan terkenal itu.
Begitulah pengalaman awal penyanyi dan penggubah lagu Singapura, Art Fazil, 57 tahun, pada tahun 1980-an, di saat beliau berusaha untuk bertapak dalam persada muzik Singapura.
Di saat Art dipanah rasa kecewa pita demo yang diberi pada beberapa label rakaman mapan di Singapura ditolak, Ramli yang pada ketika itu dikenali kerana lagu Bukan Kerana Nama, memberi penawar dan membawa harapan baginya meneruskan impian dalam bidang seni.
Peristiwa ini berlaku beberapa tahun sebelum Art atau nama sebenarnya, Fazil Sultan, menubuhkan kumpulan ikonik, Rausyanfikir bersama dua temannya, Mohd Khair Mohd Yasin, 58 tahun, dan Allahyarham Mohd Esham Jamil.
Sejurus mendapat berita baik lagunya diterima Ramli, Art tidak melupakan sahabat karibnya, Khair, yang turut menyumbang lagu Doa buat album Ramli.
Art dan Khair berkongsi kisah pahit manis mereka menubuhkan Rausyanfikir dan memperjuangkan lagu puitis yang mengajak pendengar berfikir tentang isu kehidupan dan ehwal sosial yang hangat diperkatakan pada masa itu.
Perkongsian bersama Berita Harian (BH) itu dibuat menerusi Zoom di ambang penyatuan semula Rausyanfikir pada acara ulang tahun keenam Wisma Geylang Serai (WGS), Budaya Yang Disulam, di Persada Budaya, WGS pada 25 Januari.
Acara itu turut dijayakan penggiat seni setempat, Nadiputra, Anis Qurratu’ Aini, Sarah Syazlina, Rico Setiabudi, Rifaah Ridzuwanulhakim, Suryana Norddin, Syafiqah ’Adha, Gendang Akustika, Faridah Jamal, Mohamed Faizal Salim, Ulfah Irwan, Cikgu Wandi, Genbano, Sri Warisan, Wahana Deksu, Dea Nusaybah dan Panglima Hitam.
Kali terakhir Rausyanfikir membuat persembahan ialah sekitar 10 tahun lalu.
“Lagu solo saya sudah beberapa kali ditolak label rakaman. Kebanyakan masanya, bos syarikat rakaman ini akan kata, lagu awak bagus tetapi suara awak belum sampai pada mutu yang kami inginkan. Ia perlu diperbaiki.
“Tapi bak kata penggubah lagu dan penyanyi Jamaica, Bob Marley, ‘Kalau satu pintu tertutup, satu lagi akan terbuka’.
“Baru sahaja pita demo saya dikembalikan, saya jumpa Abang Ramli Sarip tepat pada masanya. Beliau berdiri di belakang saya. Saya tahu beliau artis besar Warner Music tapi terfikir nak bual apa dengannya.
“Kata kunci untuk dijadikan topik perbualan adalah rok sebab beliau penyanyi rok. Maka saya pun dengan bersahaja memberitahunya, saya ada lagu rok yang sudah dicipta.
“Alhamdulillah, Abang Ramli bersikap terbuka dan minta saya siapkan lagu Melayu. Saya pun bereskan dan dua minggu selepas itu, saya dapat panggilan telefon daripada beliau.
“Umur saya baru 18 tahun ketika itu. Apabila Abang Ramli terima lagu saya, saya terasa ibarat lulus dapat semua gred A dalam Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’. Tak pernah terfikir lagu saya akan dirakam nama besar seperti Abang Ramli,” ceritanya.
Sebelum menubuhkan Rausyanfikir, Art dan Khair, merebut peluang keemasan mengamati cara Papa Rok bekerja dan menjana kerja seninya di studio rakaman.
“Saya anggap ini pementoran ‘cara kampung’. Ia dilakukan bukan secara langsung tapi kami lebih memerhatikan bagaimana Abang Ramli bikin kerja.
“Kami sibuk-sibuk tengok Abang Ramli rakam lagu. Tak kisah kalau kami sambil-sambil diminta bantu belikan kopi dan perata untuknya dan rakan-rakan pemuzik yang lain.
“Sebabnya, kami nak belajar. Ada masanya, Abang Ramli akan tanya, ‘Siapa boleh bantu bikin lirik?’ Kami muda remaja lagi. Fikiran masih segar bugar. Dalam masa sejam sahaja, boleh siapkan lirik.
“Otai ni izinkan kita lepak, asal sahaja kita tak masuk campur perbualan mereka dan sungguh-sungguh nak belajar,” jelas Art yang menyifatkan mentornya juga adalah Datuk Dr M. Nasir, Eddie Marzuki dan Dr Wan Zawawi.
Khair menganggap Art sebagai ‘genius’ yang merealisasikan misi dan visi Rausyanfikir.
Mereka berdua dan Esham duduk berbincang pada musim Lebaran di Pasar Tekka untuk bergabung tenaga.
“Pada masa itu, kami menentang arus sebab industri muzik Melayu di Singapura dan Malaysia sedang sarat dengan irama rok ‘kapak’ dan balada ‘cengeng’.
“Konsep kami pula lebih pada irama dendang rakyat dan muzik yang kedengaran mentah bunyinya. Sederhana dan spontan.
“Ia memberi dimensi baru pada industri muzik Nusantara,” kata Khair.
Menurut Art, hasil mereka mengumpul duit sendiri selepas bekerja sambilan menyusuli tamatnya Perkhidmatan Negara (NS), Rausyanfikir berpeluang mengusahakan album sulung mereka, Rausyanfikir, terbitan Pony Canyon, pada Julai 1991.
Ini disusuli dengan album kedua, Rusuhan Fikiran, pada Oktober 1993.
Lagu mereka yang dikenali termasuk Ghazal 2020, Kaum Kanggaru, Tawanan, Blues Generasi Baru, Dikir Fikir Fikir, Pesta Perut dan Skrunya Dah Longgar.
“Tapi awal sebelum Rausyanfikir muncul, kami memperkenalkan konsep tiga artis yang mempunyai aliran muzik berbeza dan membawa lagu masing-masing.
“Cuma apabila saya dengar kembali lagu kami, terasa kami patut digabungkan sebagai sebuah band.
“Saya memiliki buku nota hitam yang kecil, di mana saya catat semua idea saya. Ternampak pula perkataan ‘rausyanfikir’ yang bermaksud ahli fikir. Ia adalah perkataan yang saya nampak dalam rencana kesusasteraan di Berita Harian.
“Dah macam-macam nama band muncul tetapi ‘Rausyanfikir’ yang melekat kerana perkataan dalam bahasa Parsi ini sesuai dengan konsep lagu kami,” ujar Art.
Semua proses menyiapkan lagu diusahakan tiga anggotanya sendiri, dengan Eddie Marzuki dari kumpulan Flybaits menjadi penerbit album percubaan.
Apabila bernaung di bawah Pony Canyon, kerja pemasaran dan acara promosi dapat juga dilaksanakan di Kuala Lumpur.
“Muzik bukan masalahnya tetapi memasarkannya dan memahami tuntutan perniagaan muzik adalah cabaran utama.
“Bagaimana nak pasarkan lagu kita apabila kami tiada pengalaman langsung mengenai jualan muzik? Ini juga masalah generasi masa kini walaupun ada wadah TikTok dan platform penstriman.
“Sebabnya, di Spotify sahaja, saya diberitahu 200,000 lagu baru dimuatnaikkan setiap hari. Ada banyak saingan dan pemain industri. Jadi bagaimana anda nak majukan lagu anda agar nampak menyerlah?” kata Art.
Walau bagaimanapun, secara berseloroh, karyawan muzik yang juga baru mengusahakan bahan bacaan dwibahasa buat pelajar prasekolah menyatakan keberanian Rausyanfikir dalam mengetengahkan lagu ‘banyak fikiran’ ini berbaloi.
“Mungkin kita masih muda lagi dan memiliki ‘semangat bodoh’ itu bagus. Bodoh, dalam erti kata, tak fikir apa-apa dan ‘buat sahajalah’ apa-apa kerja seni tanpa memikirkan apa yang akan kita hadapi selepas itu. Kita teruskan berangan,’ katanya.
Mereka bercadang mengadun rakaman suara Allahyarham Esham yang sudah lama disimpan bagi lagu baru pada 2025.
“Mungkin acara di WGS ini akan membakar semangat kami untuk gerakkan kembali enjin Rausyanfikir.
“Lagi pun, saya dulu sebahagian daripada jawatankuasa yang memikirkan pelbagai sudut penubuhan WGS, dari segi seni bina dan acara yang boleh menyatukan pelbagai generasi dan kaum di hab budaya dan seni itu.
“Sudah semestinya WGS ini penting dalam kita menarik orang ramai dan lokasi itu boleh dijadikan platform kita memperkenalkan budaya, warisan dan kesenian Melayu kepada orang ramai tanpa mengira kaum,” jelas Art.
Nantikan persembahan empat lagu rancak Rausyanfikir, Pesta Perut, Temasya Desa Gemalai, Dikir Fikir Fikir dan Rentak Hati pada acara Budaya Yang Disulam pada 25 Januari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg