Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

RISA 'STEPHEN KING INDONESIA'

NOVEL SERAM jadi drama bersiri

Jan 09, 2023 | 05:30 AM



SEJAK kecil lagi, penulis dan penyanyi kelahiran Bandung di Indonesia Risa Saraswati sudah mengamati kisah seram dan daya tarikannya pada masyarakat sekeliling.



Kerja seni dalam bentuk muzik dan karya tulisannya banyak berlegar di sekitar dunia hantu yang mengganggu gugat manusia.



Risa, 33 tahun, pernah menghasilkan album Story of Peter yang banyak bercerita tentang dunia makhluk ghaib ini.



Salah sebuah lagu berjudul Bilu pula berasal dari kejadian misteri. Lirik lagu yang diiringi bunyian mistik gamelan pula mengenai makhluk halus bernama Mae.



Mae adalah seorang penyanyi yang menikahi seorang jejaka tetapi tidak dipersetujui ibu bapanya.



Kehidupan seharian Mae selepas itu pula sentiasa diseksa suami sendiri dan dia meninggal selepas itu dengan satu penyesalan tidak menuruti kata-kata orang tuanya yang dapat berasakan betapa kejamnya jejaka berkenaan.



Penglibatan Risa dalam bidang muzik berjalan agak panjang antara 2002 hingga kini meskipun beliau yang sudah berhijab berasa tidak begitu selesa untuk tampil lebih agresif di pentas, apa lagi menyanyikan tentang hantu.



Bermula dari menjadi vokalis kumpulan Homogenic (selama tujuh tahun), beliau kemudian beralih sebagai vokalis kumpulan indie Sarasvati selama tujuh tahun juga.



Pada 2018, Risa menghasilkan album solo berjudul Sandekala yang bermaksud senja kala atau waktu pergantian siang dan malam yang kebiasaannya merupakan tempoh maghrib di mana makhluk halus mula berkeliaran.



Kini, Risa lebih fokus pada projek menulis buku dan menghasilkan filem yang kadangkala memerlukannya menyiapkan runut bunyi bagi filem tersebut, sebagaimana yang dikongsinya dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH) di Marina Bay Sands (MBS) baru-baru ini.



Risa hadir di Singapura sempena karyanya Jurnal Risa yang asalnya merupakan novel dan bahan kandungan YouTube tentang kisah seram yang kini dialihkan sebagai siri drama dengan judul serupa di aplikasi Disney+.



Naskhah drama ini ditulis Baskoro Adi dan diarah Awi Suryadi.



Menjelaskan lebih lanjut tentang perasaannya apabila Jurnal Risa ini diterima untuk menjadi bahan wadah penstriman, Risa berkata:



"Jurnal Risa merupakan karya tulisan saya yang saya padankan daripada pengalaman saya sewaktu kecil bersama sepupu saya. Judulnya Jurnal Risa: Teror Liburan Sekolah.



"Bagi saya, apabila naskhah novel dapat dialihkan kepada kandungan YouTube dan kemudian jadi drama bersiri, ia merupakan sesuatu proses yang luar biasa.



"Saya cukup teruja dapat bekerjasama dengan pihak Disney+ dan tembusi pasaran antarabangsa."



Beliau menyatakan cabaran yang dihadapi lebih pada mencari barisan pelakon yang semirip mungkin dengan dirinya dan sepupunya sewaktu kecil.



"Seberapa boleh, kami mahukan pelakon cilik yang benar-benar memiliki perwatakan yang sama dengan diri saya dan sepupu-sepupu saya sewaktu kecil.



"Kami pula bekerjasama dengan anak-anak kecil. Antara pengalaman aneh yang menakutkan termasuklah ketika berurusan dengan salah seorang pelakon yang kerasukan sewaktu penggambaran.



"Tidak sangka anak ini sensitif dan dapat mendalami peranannya sehingga wujud perkara-perkara seperti kerasukan yang terjadi padanya," jelasnya.



Risa menceritakan bahawa kejadian seram pernah dialami seawal usia tiga tahun.



"Saya merupakan cucu pertama. Selepas pengalaman saya itu, ternyata ia merupakan sesuatu yang turut dirasakan cucu-cucu lain iaitu sepupu saya juga terikut dapat mengesan makhluk ghaib di sekitaran kalau ada yang mengganggu.



"Teras daripada jalan cerita Jurnal Risa ini ialah bagaimana kami mengharungi kejadian seram sewaktu kecil dan jadi persis 'ghostbusters' untuk menghindari makhluk ghaib dari mengganggu kami. Kisah yang disampaikan adalah yang memaparkan semangat kerjasama kami sebagai sepupu yang akan hadapi segalanya bersama. Ia satu kisah perjuangan dan petualangan," ujarnya.



Sekitar 11 tahun lalu, Risa yang suka membaca karya Enid Blyton dan R.L Stine ketika remaja mula menghasilkan bukunya sendiri.



Ia adalah lanjutan daripada perihal persahabatan dan dunia misteri yang beliau catatkan dalam sebuah blog.



Buku setebal 214 halaman, Danur, dihasilkannya pada 2012. Kedekatan Risa dengan pengetahuan tentang dunia misteri juga banyak dikongsi dalam buku yang diterbitkan oleh penerbit Bukune ini.



Pada 2017, ia dialihkan menjadi filem Danur 1: I Can See Ghosts.



Susulan filem ini termasuk Danur 2: Maddah dan Danur 3: Sunyaruri.



Ada beberapa lagi filem yang dihasilkan berdasarkan novel Risa seperti Ananta, Rasuk, Asih, Silam, Asih 2, Rasuk 2, dan Ivanna.



Tidak keterlaluan kalau Risa boleh disamakan seperti Stephen King, 'Raja Cerita Seram' dan dipanggil 'Ratu Cerita Seram Indonesia'.



Mengapa buku cerita seram atau filem seram masih dinanti-nanti orang ramai yang sebilangannya takut tetapi nak juga mengamatinya?



Kata Risa:



"Rasa suka pada cerita seram ini berkaitan erat dengan budaya yang percaya sangat dengan kehadiran hantu dan mitos yang menyelubunginya seperti di Indonesia.



"Saya secara peribadi tahu ada sesuatu yang orang ramai ingin tahu dan mahu fahami apa yang wujud dalam sesebuah cerita seram itu.



"Saya paling suka filem seram Danur kerana ia karya asli dari pengalaman saya sendiri," kongsinya.



Jurnal Risa turut disiarkan sebagai siaran podcast di Spotify, Podcastery Jurnalrisa, yang menyiarkan kisah seram Risa dan rakan-rakan serta tetamu undangan.



Pada awal 2020, Risa dan pasukannya turut membuka kafe bertema JurnalRisa Coffee di Jalan Brago, Nombor 45 di Bandung, yang menyajikan minuman khas dengan nama yang unik serta dekat di hati pencinta novel Jurnal Risa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >