Royal Brunei Airlines promosi pakej lawatan Ramadan khusus untuk warga S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Royal Brunei Airlines promosi pakej lawatan Ramadan khusus untuk warga S’pura

Feb 19, 2026 | 4:04 PM

Royal Brunei Airlines promosi pakej lawatan Ramadan khusus untuk warga S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kampong Ayer di Bandar Seri Begawan, Brunei.
Kampong Ayer di Bandar Seri Begawan, Brunei. - ISTOCKPHOTO

Syarikat penerbangan Royal Brunei Airlines, melancarkan pakej khas buat rakyat Singapura, menawarkan pelbagai pengalaman untuk menghayati suasana Ramadan di Brunei sambil meneroka budaya negara tersebut.

Pakej yang baru dilancarkan itu memenuhi pelbagai cita rasa, daripada percutian santai singkat dan santai hingga ke pengalaman budaya yang lebih mendalam.

Jurucakap Royal Brunei Airlines memberitahu Berita Harian (BH) bahawa inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan minat melancong ke luar negara ketika Ramadan, dengan harapan meraih pengalaman bermakna di samping mengisi kerohanian.

“Pada masa yang sama, pengunjung boleh menikmati aspek kebudayaan musim ini, termasuk peluang untuk membeli-belah bagi persiapan Hari Raya seperti kuih raya, baju kurung dan barangan bermusim.

“Kami berharap tetamu akan pulang dengan rasa kesegaran dari segi rohani sambil menikmati pengalaman budaya unik yang hanya dapat dirasai semasa Ramadan,” ujarnya.

Pakej khas musim Ramadan ini ditawarkan selama tiga hari dua malam, dengan harga serendah $508 seorang untuk bilik dua orang.

Ini merangkumi kunjungan ke Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah dan Masjid Omar Ali Saifuddien untuk solat tarawih selain pengalaman teroka bandar dan tarikan seperti Muzium Alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Maritim.

Pengunjung juga berpeluang di menjelajah bazar Ramadan di Brunei atau mendalami cara hidup warga tempatan di Kampong Ayer.

Bagi yang mahu merasai warisan yang lebih mendalam di luar musim Ramadan, terdapat pilihan pakej selama empat hari tiga malam, bermula dari $694 seorang untuk bilik berdua.

Kelainan pakej ini ialah tambahan sehari untuk meneroka bahagian dalam daerah Tutong dan industri kecilnya seperti penghasilan madu kelulut, pengeluaran sagu, kilang teh herba 3MPK (Majlis Perundingan Mukim Kiudang), serta mempelajari tentang warisan sejarah Tutong di Rumah Lamin Warisan.

Jurucakap Royal Brunei Airlines berkata, menyambut Ramadan di Brunei menawarkan pengalaman unik, dengan suasana yang tenang yang menyuburkan kerohanian.

“Pengunjung boleh menghayati persekitaran masjid yang indah semasa solat, bazar Ramadan yang meriah pada waktu malam, dan semangat kemasyarakatan yang kuat semasa berbuka puasa.

“Ini mencipta pengalaman yang sangat berbeza berbanding dengan melancong di luar Ramadan, di mana tumpuan lebih kepada persiaran umum dan bukannya menghayati kerohanian,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg