Sedang ketersambungan dan kemudahan pengangkutan terus dipertingkat di rantau ini, warga Singapura kini mempunyai lebih banyak pilihan destinasi untuk melancong sambil membeli-belah keperluan Ramadan dan Hari Raya.
Selain memandu ke Johor Bahru yang sememangnya popular dalam kalangan warga Singapura, mereka yang ingin ke Kuala Lumpur (KL) kini turut mempunyai pilihan alternatif dengan menaiki khidmat tren elektrik (ETS) dari Johor Bahru ke KL.
Sementara itu, destinasi yang memerlukan pengunjung menaiki pesawat seperti Jakarta dan Bandung juga semakin popular, didorong besar pengaruh media sosial.
Perjalanan antara kedua-dua kota tersebut turut dipermudahkan dengan adanya kereta api laju Whoosh, yang memendekkan masa perjalanan kepada hanya 45 minit dengan kelajuan maksimum 350 kilometer sejam.
Perjalanan sejauh 140 kilometer antara Jakarta dengan Bandung itu sebelum ini mengambil masa kira-kira tiga jam dengan kereta api biasa.
Menurut peniaga Indonesia yang ditemui Berita Minggu (BM), semakin ramai warga Singapura kini berkunjung ke sana.
Kepelbagaian pilihan serta harga yang lebih berpatutan antara faktor utama yang menarik pembeli ke bandar-bandar di Indonesia, berdasarkan tinjauan BM.
Selain ‘port’ popular di Jakarta seperti Thamrin City, Tanah Abang dan Grand Indonesia, Bandung turut menampilkan pilihan beli-belah yang pelbagai seperti Pasar Baru.
Malah, terdapat kedai tekstil seperti Alla Moda Textile & Tailor yang mampu menyiapkan baju Raya dalam masa 24 jam.
Di Malaysia, ibu negara Kuala Lumpur terus menjadi tarikan buat warga Singapura yang ingin ‘makan angin’ sambil berbelanja.
Kemudahan pesawat, bas dan kini perkhidmatan ETS yang membawa pengunjung terus ke nadi kota bandaraya Kuala Lumpur, menjadikan jaraknya terasa lebih dekat dan berbaloi.
Merentasi jarak 330 kilometer, perjalanan empat jam setengah dari Johor Sentral ke Kuala Lumpur Sentral tidak terasa lama, malah nyaman dengan sajian pemandangan panorama alam semula jadi sepanjang laluan.
Kuala Lumpur kekal unggul sebagai hab fesyen busana Melayu, menawarkan spektrum pilihan daripada helaian tradisional klasik sehingga ke rekaan kontemporari.
Di sana, pembeli bebas meneroka variasi harga bermula dengan pengalaman tawar-menawar yang menjimatkan di Jalan Tar atau Kenanga Wholesale City, sehinggalah ke koleksi premium yang eksklusif di pusat beli-belah seperti The TRX Exchange, Pavilion atau lebih mesra bajet, One Utama, Alamanda dan KL East Mall. Pelbagai pilihan kuih-muih juga terdapat di sana menjelang Ramadan.
Kekuatan ibu kota itu sebagai destinasi beli-belah tidak dapat disangkal; dianggarkan hampir 40 peratus (atau 700 atau lebih) daripada pusat beli-belah di seluruh Malaysia tertumpu di Kuala Lumpur dan persekitarannya, menjadikannya syurga buat peminat fesyen tanah air.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg