Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Roziana Cindy bagai dibuai mimpi nyanyi karya Ade Govinda

‘Paling Sejati’ hanya luahan tentang cinta, tidak dijangka jadi hit semalaman
Dec 1, 2024 | 5:30 AM
Walaupun sudah lama tidak muncul dalam dunia hiburan tanah air, kelahiran single terbarunya, ‘Paling Sejati’ merupakan satu pencapaian besar buat penyanyi setempat, Roziana Cindy. Beliau merupakan penyanyi wanita Singapura pertama yang bekerjasama dengan Ade Govinda.
Walaupun sudah lama tidak muncul dalam dunia hiburan tanah air, kelahiran single terbarunya, ‘Paling Sejati’ merupakan satu pencapaian besar buat penyanyi setempat, Roziana Cindy. Beliau merupakan penyanyi wanita Singapura pertama yang bekerjasama dengan Ade Govinda. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Setelah sekian lama menyepi dalam bidang nyanyian, hatinya berkobar-kobar melancarkan single terbaru bersama penggubah lagu terkenal di Indonesia, Ade Govinda.

Begitulah perasaan yang menyelubungi jiwa penyanyi dan ejen hartanah, Roziana Cindy, 27 tahun, yang baru-baru ini mengeluarkan single berjudul, Paling Sejati, hasil ciptaan Ade pada 22 November.

Walaupun sudah lama tidak muncul dalam dunia hiburan tanah air, kelahiran single terbarunya merupakan satu pencapaian besar.

Beliau merupakan penyanyi Singapura pertama yang dapat bekerjasama dengan Ade, 40 tahun.

Roziana yang merupakan adik penyanyi Singapura, Didicazli, itu pernah menyertai peraduan pencarian bakat anjuran Mediacorp, Anugerah 2017, dan mengacara rancangan gaya hidup, #Urbanista, yang disiarkan di Suria pada 2018.

Kini, beliau ialah Pengarah Bahagian Bersekutu ERA Realty Network Pte. Ltd. selama hampir tiga tahun dan mengurus sepasukan ejen hartanah.

Ketika ditanya Berita Minggu (BM) mengenai kerjasama dengan Ade, Roziana dalam satu wawancara di ibu pejabat SPH Media pada 22 November, berkata:

“Tentunya, saya sangat seronok dan teruja dapat bekerjasama dengan Ade Govinda.

“Ia bagai mimpi menjadi kenyataan. Lagipun, seperti yang kita tahu, Ade mengeluarkan lagu-lagu yang kemudiannya menjadi hit dan tular di media sosial.

“Saya masih lagi dibuai mimpi sebenarnya. Kerjasama ini membuka peluang untuk saya ketengahkan selera muzik dan suara saya kepada masyarakat di dalam mahupun luar Singapura.

“Melalui lagu ini, saya ingin sampaikan perasaan saya melalui satu ungkapan cinta terhadap seseorang yang dicintai secara tulus.”

Roziana mengakui bahawa proses kerjasama bersama penggubah lagu tersohor itu memakan masa yang agak lama setelah mereka diperkenalkan menerusi seorang teman.

Setelah melewati beberapa sesi Zoom, beliau bertemu dengan Ade secara empat mata di Jakarta, Indonesia pada Ogos 2023 untuk membincangkan karya Paling Sejati secara lebih mendalam.

Enggan disorot bayang-bayang dan kejayaan abangnya, Didicazli serta ibunya, Siti Rusminah Jaafar (anggota kumpulan nasyid Al-Jawaher) dalam bidang nyanyian, Roziana giat memantapkan diri untuk menunjukkan keunikan suaranya melalui Paling Sejati.

“Pada awalnya, saya sempat meragukan kebolehan saya membawakan lagu ciptaan Ade. Ini merupakan kali pertama saya mengeluarkan lagu setelah enam tahun menyepi daripada bidang nyanyian.

“Terakhir kali saya mengeluarkan lagu pada 2018. Itu pun setelah menyertai Anugerah 2017.

“Namun, peluang sebegini tidak akan datang bergolek buat kali kedua. Jadi, saya meyakinkan diri untuk merebut peluang ini. Jika bukan sekarang, bila lagi ‘kan?   

“Saya tidak meletakkan sebarang jangkaan bahawa lagu ini akan hit seperti lagu Ade yang lain. Saya cuma ingin kongsikan kepada pendengar, bakat yang saya miliki.     

“Mungkin juga ciri suara saya lebih dekat dengan cita rasa masyarakat di Indonesia. Ia cenderung lembut ibarat suara yang ‘berbisik’ dan lebih selesa didengar tanpa unsur-unsur yang sengaja diada-adakan,” tambahnya.

Pengurus Roziana, Mast Hussein, turut menambah:

“Keserasian antara Roziana dengan Ade sangat hebat sehingga sudah dianggap seperti keluarga oleh beliau.”

Menurut Mast, Roziana seorang yang kuat semangat dan tidak mudah putus asa untuk mencapai impiannya.

Walau ditimpa pelbagai rintangan dalam kerjaya dan berseni, Roziana sanggup berkorban masa untuk mencapai kejayaan dalam bidang nyanyian di samping tanggungjawabnya sebagai ejen hartanah.

Bagi Ade pula, kerjasamanya dengan Roziana merupakan suatu pengalaman baru, apatah lagi beliau merupakan penyanyi Singapura pertama yang membawakan lagu ciptaannya.

“Selain pintar berbahasa Indonesia, kelebihan yang ada pada Roziana ialah warna suaranya yang bersifat husky (serak-serak basah) atau ‘berbisik’.

“Jika suaranya diasah dan dilatih lagi, saya pasti ia akan menjadi ‘senjata’ dalam karya muzik yang beliau hasilkan.

“Ia juga merupakan satu tantangan, kebanggaan dan pengalaman yang baru bagi saya apabila dapat bekerjasama dengan artis yang berasal dari Singapura sekali gus menyanyikan lagu ciptaan saya,” ulas Ade.        

Menyentuh tentang cabaran menghasilkan video muzik secara berdikari, Roziana mengulas:

“Disebabkan sesi penggambaran berlangsung di Jogjakarta, untuk ‘ngomong’ atau bertutur dalam bahasa Indonesia susah bagi saya kerana tidak begitu fasih. 

“Selain itu, untuk mencari gandingan tepat dan cocok untuk memainkan peranan sebagai ‘pacar’ (kekasih) saya dalam video muzik itu juga memakan masa yang lama dan tidak semudah yang dijangkakan.”

Mast pula berkata: “Kami sangat bersyukur kerana dibantu Ade untuk mencari syarikat penerbitan yang sesuai bagi penggambaran video muzik Paling Sejati.

“Selain itu, kami juga berterima kasih dengan Fatimah Mohsin yang menjadi penata busana Roziana dalam video muzik itu.”

Memandang ke hadapan, Roziana bersikap terbuka jika ada peluang untuk bekerjasama dengan penyanyi dari Indonesia dan berharap karyanya dikenang di Singapura, Indonesia mahupun Malaysia.

Video muzik Paling Sejati boleh ditonton di YouTube manakala lagunya pula boleh didengar di semua wadah penstriman digital.                                                                                                                                  

Apa kata Ade Govinda mengenai Roziana Cindy

“Selain pintar berbahasa Indonesia, kelebihan yang ada pada Roziana ialah warna suaranya yang bersifat husky atau ‘berbisik’. Jika suaranya diasah dan dilatih lagi, saya pasti ia akan menjadi ‘senjata’ dalam karya muzik yang beliau hasilkan.
Ade Govinda, pencipta lagu ‘Paling Sejati’ dari Indonesia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg