Apabila lagu baru Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Sejarah, muncul di wadah digital pada 13 November, ia bagaikan satu petanda biduanita yang disegani ramai di Nusantara ini telah mencipta sejarah buat generasi pelapis penghibur di rantau ini.
Selepas dua penyanyi hebat dalam industri muzik Melayu, Allahyarhamha Puan Sri Saloma dan Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini, dinobatkan sebagai Biduanita Negara, kini giliran Siti, 45 tahun, pula dijulang selaku Biduanita Negara.
Beliau menerima penghormatan itu di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada 13 November dalam acara Anugerah Seni Negara, yang dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Selain piala, Siti menerima wang tunai RM30,000 ($8,996) dan kain songket watikah serta status sebagai Seniman Tamu daripada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia, pada majlis gemilang itu.
Sudah sampai masanya penyanyi dengan banyak lagu ‘hit’ seperti Percayalah, Aku Cinta Padamu, Jerat Percintaan dan Biarlah Rahsia itu dianugerahkan kedudukan setinggi ini.
Saloma menerima penghargaan Biduanita Negara pada 1978 manakala Sharifah Aini pula meraihnya pada 2006.
Ini bermakna sepanjang 18 tahun tiada penyanyi wanita yang menerima sanjungan dan pengiktirafan sebagai pemberi khidmat seni bermutu buat industri hiburan Malaysia.
Ia amanah besar yang Siti, ibu dua anak berusia enam dan tiga tahun, syukuri dan tidak pernah terfikir akan terima dalam kerjayanya selama hampir tiga dekad ini sejak menerima piala juara Bintang HMI pada 1995.
Kerana itu, beliau sebak tatkala menerima anugerah yang dianggap paling besar pernah diperolehinya.
Di fikiran, muncul ingatan pada arwah bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail, yang menjadi penggerak nadinya dalam dunia seni. Inilah insan yang banyak berkorban dan mendorongnya dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang seni.
“Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail, yang sering mengibaratkan saya seperti Bunga Melur iaitu lagu kegemaran arwah.
“Saya sentasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Siti turut menukil bait-bait lirik lagu Bunga Melor, dendangan asal Tan Sri P. Ramlee:
“Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana...walau kering tak bercahaya bunga melur...baumu memikat jiwa...”
Siti melihat anugerah Biduanita Negara ini bukan sekadar pengiktrafan kepada pencapaian kerjaya seninya.
Selebihnya, ia merupakan penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air.
“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
“Kepada Allah, saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik,” tambah Siti.
Siti juga menyifatkan seni bukan sahaja sebagai platform mengetengahkan bakat dan menempa nama tetapi menghubungkan dan menyatukan tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.
Beliau juga berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormat, dijaga serta dihargai kerana ia adalah warisan yang perlu dipelihara.
Apa pula makna Sejarah buat penciptanya dari Indonesia, ‘maestro’ muzik, Erwin Gutawa dan penulis lirik yang merupakan anaknya, Gita Gutawa?
Menurut Erwin, lagu itu dicipta khusus buat Siti sambil beliau membayangkan suara lunak biduanita itu dan personalitinya yang berhemah.
Erwin juga meminta Gita menulis lirik tentang seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.
Siti juga bersyukur dapat bekerjasama dengan Erwin dan Gita.
“Lagu ini menyentuh emosi saya apabila saya menyanyikannya.
“Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ katanya.
Sejarah juga mendapat sentuhan Orkestra Simfoni Czech yang memainkan irama lagu ini yang membawa anda pada satu jalan kenangan, sebagai peminat Siti yang mengamati evolusi seni dan kematangannya yang kian bertambah dari tahun demi tahun.
Dari seorang gadis Kuala Lipis, Pahang, Siti kini nama besar yang menjadi inspirasi ramai penyanyi selepasnya. Tahniah Datuk Seri Siti Nurhaliza atas gelaran Biduanita Negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg