Topik diikuti
Pergi ke BHkuRuang membaca hibrid baharu dibuka di City Square Mall
Ruang membaca hibrid baharu dibuka di City Square Mall
Satu ruang baru untuk orang ramai meneroka buku fizikal dan buku elektronik (e-buku) telah dilancarkan di pusat beli-belah City Square Mall di Little India bagi menggalakkan masyarakat agar lebih kerap membaca.
Dalam satu kenyataan media, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) berkata ia telah bekerjasama dengan penyedia dan pembaca e-buku, Rakuten Kobo, untuk melancarkan sebuah ruang hibrid yang dinamakan ‘Nod Sit-n-Read’.
Ruang di tingkat tiga pusat beli-belah itu beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam hingga 11 April 2027.
Di situ, pengunjung boleh meneroka e-buku menggunakan peranti pembaca e-buku Kobo yang disediakan.
Mereka juga boleh membaca buku fizikal terpakai milik NLB di kawasan tempat duduk khas dan sudut bacaan yang disediakan.
Peranti pembaca e-buku itu menawarkan petikan daripada koleksi digital yang telah dipilih khas, dengan harapan dapat mendorong pembaca meneroka genre dan kandungan baru.
Menurut NLB, sekiranya pengunjung menemui bahan bacaan yang menarik minat mereka, mereka boleh meminjam e-buku tersebut secara penuh melalui aplikasi NLB Mobile, dan meneruskan pembacaan menggunakan peranti peribadi mereka.
Buku fizikal terpakai juga disediakan untuk semua peringkat usia dan boleh dibawa pulang tanpa perlu melalui proses peminjaman.
Bagaimanapun, NLB menggalakkan orang ramai memulangkan buku-buku tersebut supaya orang lain turut berpeluang membacanya.
NLB menambah inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk menggalakkan budaya membaca di Singapura dan membina sebuah negara yang cintakan ilmu melalui inisiatif ReadSG.
Usaha itu dilaksanakan dengan menjadikan kegiatan membaca lebih menarik, mudah diakses dan sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif NLB, Cik Melissa Tam, berkata:
“Dengan membawa ruang, ‘Nod Sit-n-Read’ ke lokasi yang sering dikunjungi orang ramai seperti City Square Mall, kami mengubah ruang biasa menjadi sudut bacaan yang mesra dan menarik, tempat orang ramai boleh menemui buku serta menikmati pembacaan yang menyeronokkan di mana-mana sahaja mereka berada.”
Pengurus Besar Rakuten Kobo Asia, Encik Julian Chou, pula berkata:
“Dengan menggabungkan peranti pembaca e-buku Kobo dengan koleksi NLB, pengunjung berpeluang meneroka pengalaman membaca secara digital dan mengetahui bagaimana sebuah buku yang baik boleh menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka.”
Satu lagi ruang, ‘Nod Sit-n-Read’ turut dilancarkan di pusat beli-belah Anchorpoint di Alexandra Road.
Ruang itu menyediakan majalah terpakai untuk dibaca dan diteroka, serta sebuah kiosk Browse-n-Borrow yang membolehkan pengunjung mengambil bahan bacaan yang telah ditempah.
Kemudahan itu disediakan sementara Perpustakaan Queenstown yang terletak berhampiran menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.
Ruang. ‘Nod Sit-n-Read’, telah dibuka secara berperingkat sejak Ogos 2025 dan setakat ini telah menerima kunjungan seramai 400,000 orang secara keseluruhan.
ReadSG, sebuah gerakan membaca kebangsaan selama lima tahun yang dilancarkan NLB pada 6 September lalu, bertujuan menggalakkan orang ramai membaca sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari.