Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambil menyelam minum air... cinta sejoli berputik di lautan

Kasih dua benua suami isteri, Adib dan Ashley, bertaut susulan satu kejadian cemas di selatan Pulau Komodo
Jan 4, 2026 | 5:30 AM
Cik Ashley Benson dan Encik Adib Mattar menyelam di Crystal Bay di Nusa Penida, Bali pada 2023.
Cik Ashley Benson dan Encik Adib Mattar menyelam di Crystal Bay di Nusa Penida, Bali pada 2023. - Foto ihsan ASHLEY BENSON

‘Sambil menyelam minum air’... pepatah ini lebih daripada sekadar kiasan buat Cik Ashley Benson dan Encik Adib Mattar, kedua-duanya 38 tahun.

Ia sebenarnya merakamkan kisah cinta pasangan ini yang bertemu jodoh melalui sukan selam.

“Ada sedikit insiden cemas. Alat pernafasan terlepas daripada mulut saya ketika kami menyelam. Saya mula menyedut air, bukannya udara.

“Kami sudah dilatih untuk berdepan kecemasan, jadi saya perlu gunakan alat pernafasan rakan selam. Dan beliau (Ashley) berada di sisi untuk menyelamatkan nyawa saya,” kata penjawat awam itu, menceritakan kembali ekspedisi selam pertama mereka.

Pengembaraan di selatan Pulau Komodo pada 2019 itu adalah secara berkumpulan, dan Cik Ashley, warga Amerika, salah seorang pesertanya.

Sebelum itu, mereka berdua, yang masing-masing berpengalaman menyelam, pernah bersua di sebuah ekspo selam Asia yang menghimpunkan pelbagai vendor sukan itu.

Sejak peristiwa tersebut, Encik Adib dan Cik Ashley semakin akrab dan akhirnya mendirikan rumah tangga pada tahun 2020.

Cik Ashley Benson dan Encik Adib Mattar berkunjung ke Nusa Penida, Bali, Indonesia pada 2023.
Cik Ashley Benson dan Encik Adib Mattar berkunjung ke Nusa Penida, Bali, Indonesia pada 2023. - Foto ASHLEY BENSON

Tidak hairanlah kegiatan menyelam menjadi sebahagian penting dalam perancangan percutian mereka. Malah, bulan madu mereka juga di Maldives, yang dikenali sebagai ‘syurga’ penyelam.

“Pengalaman di Maldives paling tidak dapat dilupakan kerana itu kali pertama saya menyelam bersama jerung dan pari ‘manta ray’. Ada beberapa tapak selam dengan arus sangat kuat... mujur isteri saya seorang yang ‘pro’ jadi saya boleh ikutinya sekali!” cerita Encik Adib sambil tertawa.

Sementera Encik Adib mempunyai pensijilan penyelam penyelamat yang membolehkan beliau mengendalikan kecemasan di dasar laut, Cik Ashley pula memegang pensijilan lebih tinggi iaitu Master Scuba Diver Trainer dan sudah menyelam lebih 500 kali.

Menambah lagi, Cik Ashley yang merupakan pakar penjagaan haiwan di Singapore Oceanarium, berkata:

“Saya sudah ke Maldives dua kali sendirian, dan ia destinasi paling saya gemari. Jadi, amat ‘cool’ dapat membawa beliau ke sana dan menunjukkan mengapa saya sangat suka menyelam di sini.”

Cik Ashley Benson melihat ubur-ubur laut ‘spotted jelly’ di pulau Kakaban di Kalimantan, Indoneisa.
Cik Ashley Benson melihat ubur-ubur laut ‘spotted jelly’ di pulau Kakaban di Kalimantan, Indoneisa. - Foto ASHLEY BENSON

Yang pasti, kegiatan menyelam bukan sekadar mengeratkan hubungan mereka, malah menuntut mereka untuk saling bergantung, terutama di dasar laut.

Contohnya, di Maldives, pasangan itu mengikuti arus atau ‘drift diving’ di Miyaru Kandu, kawasan yang terkenal dengan jerung ‘whitetip reef’ dan ‘grey reef’.

‘Shark Channel’ ini lebih sesuai untuk penyelam mahir. Arusnya kuat, memaksa penyelam berpaut pada terumbu untuk melihat jerung.

“Jika anda gagal berpaut, anda akan dihanyutkan ke lautan terbuka. Ia sangat istimewa, namun menggerunkan kerana anda perlu handal sebagai penyelam... jadi saya hanya berpaut pada Ashley!” katanya.

Sejauh ini, pasangan itu telah mengembara ke empat negara bersama untuk menyelam: Maldives, Indonesia, Thailand, dan Sweden.

Secara individu, Encik Adib telah menyelam di tiga negara sementara Cik Ashley meneroka 12 negara.

Encik Adib Mattar telah menyelam di tiga negara secara berasingan.
Encik Adib Mattar telah menyelam di tiga negara secara berasingan. - Foto ASHLEY BENSON

Berkongsi mengapa kegiatan menyelam sesuatu yang cukup istimewa, Cik Ashley berkata:

“Saya suka perasaan berada di bawah air...mungkin kedengaran pelik, tetapi saya suka mendengar terumbu karang, ikan-ikan dan ia seolah-olah anda sedang buru ‘harta karun’. Sangat seronok untuk mencari benda baru dan anda sentiasa pelajari sesuatu yang baru, tidak kira tentang kemahiran anda atau tentang alam sekitar.”

TAPAK SELAM YANG DISARANKAN:

  1. Batu Bolong di Taman Nasional Komodo, Indonesia (terumbu karang yang berwarna-warni, kehidupan marin yang sangat banyak dan arus mencabar)
  2. Manta Ridge di Raja Ampat, Indonesia (boleh nampak ikan manta, arus kuat)
  3. Miyaru Kandu, Maldives (selam ikut arus atau ‘drift diving’, boleh nampak jerung jenis ‘whitetip reef’ dan ‘grey reef’)
  4. Great White Wall di Fiji (dinding menegak diselaputi karang lembut berwarna putih, membuatkan ia kelihatan seperti salji jatuh di bawah air)
  5. Pulau Gato (kawasan perlindungan marin, banyak yang boleh dilihat) dan Kimud Shoal (boleh nampak jerung jenis ‘thresher’) di Malaspascua, Filipina
  6. W.I.T. Shoal di St. Thomas, US Virgin Islands, Amerika Syarikat (sisa kapal karam pada waktu malam)
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg