Bagi kebanyakan pelancong, niat mengembara ke luar negara tentu sekali untuk menimba pengalaman baharu, menghayati suasana berbeza, mahupun mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam.
Namun bagi sesetengah daripada mereka, lain pula ceritanya. Tanpa disangka, bibit-bibit cinta berputik antara mereka dengan pelancong yang turut berasal dari negara lain.
Ibarat meraih bonus, bukan sahaja mereka pulang ke tanah air dengan pengalaman kembara baharu, malah berjaya menemui pasangan hidup.
Di Singapura, perkahwinan merentas kewarganegaraan merangkumi lebih daripada satu dalam tiga perkahwinan.
Menurut laporan tahunan Sorotan Penduduk 2025 yang dikeluarkan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), perkahwinan merentas kewarganegaraan berbeza merangkumi 37 peratus daripada perkahwinan kewarganegaraan sama.
Perangkaan ini kekal stabil sejak pembukaan semula sempadan, menjadikan ia setara dengan tempoh sebelum pandemik Covid-19, di mana pergerakan antara negara berbeza disekat sebagai sebahagian langkah mengawal penularan virus.
Mengulas tentang topik bercinta apabila mengembara, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Lunch Actually, Cik Violet Lim, yang mempunyai lebih 21 tahun pengalaman dalam menangani kes percintaan berkata beliau percaya ia lebih mudah untuk jatuh cinta ketika mengembara kerana orang ramai biasanya lebih tenang dan terbuka.
“Apabila kita berada jauh daripada rutin harian dan tanggungjawab, tahap tekanan kita secara semula jadi akan menurun – dan ini menjadikan kita lebih mudah didekati serta lebih terbuka kepada pengalaman baru.
“Pengembaraan juga mencetuskan semangat ingin tahu, rasa teruja, dan rela mencuba perkara baru. Tenaga positif ini menjadi tarikan, dan ia mewujudkan suasana yang sempurna untuk hubungan mula terjalin,” katanya.
Beliau menambah bahawa pengalaman bersama yang dicipta, sama ada meneroka bandar baru, mencuba makanan tempatan, atau mengharungi cabaran kecil, membina ikatan dengan lebih pantas berbanding dalam kehidupan seharian.
Ditanya sama ada teknologi memainkan peranan, Cik Lim akui bahawa ia telah mengubah landskap kenal suai, menjadikan ia lebih mudah bagi seseorang bertemu orang lain daripada pelosok dunia berbeza, antaranya menerusi aplikasi dating, media sosial, rangkaian profesional atau masyarakat dalam talian.
“Berbanding dengan masa lalu, di mana perkenalan banyak bergantung pada pertemuan secara kebetulan, surat-menyurat, atau kenalan dalam komuniti sendiri, wadah digital masa kini telah menghapuskan halangan tersebut.
“Hanya dengan satu ‘swipe’ atau klik, anda boleh bersembang dengan seseorang yang berada di seberang dunia – dan panggilan video menjadikannya terasa seolah-olah sedang bertemu secara bersemuka,” ujarnya.
Menurut tinjauan Berita Minggu (BM), beberapa aplikasi dating juga membuka peluang kepada penggunanya berkenalan dengan orang daripada negara berbeza.
Contohnya, di aplikasi Bumble, pengguna boleh menggunakan ‘filter’ atau penapis yang menentukan jarak pengguna lain yang turut menggunakan aplikasi tersebut.
Justeru, seseorang boleh memilih untuk melihat profil pengguna lain dalam jarak sehingga 160 kilometer jauh.
Malah, aplikasi dating juga boleh digunakan tatkala pengembara sedang melancong di negara lain.
Berikut tiga pasangan yang berjaya mendirikan rumah tangga bersama, sekali gus menjawab soalan ‘bagaimana mereka bertemu’ pasangan mereka yang berasal dari negara lain.
Sibuk melihat telefon bimbitnya, beliau tiba-tiba disapa seorang lelaki Jerman dengan soalan: “Sedang menunggu mesej seseorang ke?”
Cik Diana Jumaat, yang waktu itu sedang bercuti di Pulau Perhentian di Terengganu, Malaysia cukup tahu bahawa itulah cara halus untuk mendapat tahu sama ada beliau sudah berpunya.
Keesokan malam, Cik Diana bertembung dengan pengembara solo itu di restoran yang sama.
Sudah terpikat, mereka duduk di tepi pantai sambil bersembang berjam-jam lamanya.
"Saya masih ingat bulan penuh di langit malam memancarkan cahaya sangat cerah.
“Sayangnya, saya perlu pulang keesokan pagi tetapi beberapa hari kemudian, beliau datang melawat saya di Singapura.
“Beliau pun bertemu dengan ibu saya buat pertama kali, dan saya memperkenalkannya sebagai seorang kawan,” ujar pengurus acara yang menceritakan tentang percutian pada 2012 itu.
Dari sekadar ‘kawan’, pasangan itu akhirnya mendirikan rumah tangga pada 2018, sekali gus mengadakan majlis di dua negara, Singapura dan Jerman.
Suami Cik Diana, Encik Hendrik Stautmeister, kini 42 tahun, turut memeluk agama Islam.
“Saya selalu mendapati bahawa budaya dan bahasa lain adalah menarik kerana saya sering kembara solo. Apa yang penting buat saya ialah bertemu dengan seseorang yang saya benar-benar rasa terdapat ikatan. Senang apabila berbual dengan beliau, dan kami mampu saling menghargai tahap kelucuan satu sama lain.
“Yang menarik, beliau kadangkala boleh tahan pedas lebih baik berbanding dengan saya!” kongsi Cik Diana, 37 tahun.
Sepanjang tujuh tahun lalu, Cik Diana berpindah ke Cologne dan Husum di Jerman selama lima tahun sebelum bertukar angin ke Chiang Mai, Thailand di mana beliau bertapak selama dua tahun.
Kini, beliau dan Encik Hendrik tinggal di Singapura dan merancang berada di sini buat jangka masa panjang.
“Berpindah negara tentu sekali sukar, terutamanya dari segi emosi. Meninggalkan keluarga, terlepas sambutan hari jadi dan majlis perhimpunan adalah antara cabaran paling sukar saya perlu tempuh.
“Kadang-kadang saya ada rasa rindu dan sedih kerana tidak dapat hadir bersama mereka di Singapura. Namun itulah perkara yang saya harus terima apabila saya membuat keputusan untuk bernikah dengan seseorang daripada negara lain,” katanya.
Warga Singapura, Cik Leeza Malek Frank, pada 2016 sedang bekerja di Shenyang, China, sebagai seorang guru bahasa Inggeris kepada kanak-kanak kecil berusia 18 bulan hingga empat tahun.
Memandangkan beliau di negeri orang, Cik Leeza pun memuat turun aplikasi dating Badoo atas saranan rakannya, dengan niat dapat berkenalan dengan orang baru.
Yang melucukan, hal tersebut berbeza buat warga Jerman, Encik Mario Frank, 44 tahun – kini suaminya – malah sesuatu yang tidak disengajakan.
Menceritakan kepada BM tentang peristiwa pada 2016 itu, Cik Leeza, 34 tahun, berkata:
“Mario ingin mendapatkan Baidu, enjin carian, tetapi tak sengaja muat turun Badoo (aplikasi dating).
“Saya berada di kawasan di mana beliau sedang menginap dan muncul di dalam radarnya. Kami berdua pun ‘swipe’ kanan.
“Kami berbual di WeChat dan berjumpa untuk makan malam sebelum beliau pulang ke tanah airnya, Jerman.”
Setelah hati masing-masing ditambat, pasangan tersebut mengekalkan hubungan jarak jauh mereka dengan melancong sambil mengambil kesempatan bertemu satu sama lain.
Untuk melepaskan rindu, mereka ulang-alik dari Singapura dengan Jerman, selain mengembara ke Hainan, Shenzhen, Hong Kong, Bali, Turkey, Italy, Austria dan Switzerland.
Mereka kemudian mendirikan rumah tangga pada 2019 dan kini dikurniakan dua cahaya mata.
“Kami kini menetap di tepi Tasik Constance di selatan Jerman. Tempatnya memang sangat indah, walaupun cara hidup di sini sangat berbeza berbanding di Singapura,” ujar suri rumah itu.
Tujuannya berkunjung ke Singapura bukan sekadar suka-suka tetapi atas tuntutan kerja.
Tanpa disangka, lawatan kerjanya itu berubah menjadi peluang beliau semai bibit-bibit cinta dengan seorang warga Singapura yang berbangsa Melayu.
Waktu itu, Cik Eve Sewell, perlu mengendalikan persidangan yang diadakan di sebuah sekolah antarabangsa – tempat kerja Encik Muhammad Kazly Kas Kazan.
Keadaan memaksa mereka untuk bekerjasama rapat kerana Encik Kazly pada waktu itu perlu menyokong keperluan audio visual persidangan tersebut.
“Kami ibarat ‘terperangkap’ bersama. Dalam seminggu, kami kerap bertemu dan saya pun dapati kami agak serasi.
“Di akhir kunjungan saya, saya terdapat masa terluang dan beliau membawa saya melawat tarikan pelancong di daerah Clarke Quay,” ujarnya yang kini pengurus pemasaran kanan.
Setelah Cik Eve pulang ke tanah airnya di Britain pada 2012, mereka berdua sering berhubung, malah mengambil kesempatan bertemu di negara lain seperti Thailand, Kemboja, Vietnam, Indonesia, Malaysia, New Zealand dan Perancis.
Mengulas tentang hubungan jarak jauh, Cik Eve berkata:
“Saya sibuk sangat dengan kerja pada waktu itu, terasa seolah-olah saya tidak ada masa untuk jalinkan hubungan. Justeru mempunyai hubungan jarak jauh menepati jadual pekerjaan saya.
“Cuma cabarannya adalah untuk mengatasi perbezaan waktu – lapan jam. Namun ia lebih seronok kerana anda tak rasa bosan!”
Pada 2016, Cik Eve dan Encik Kazly yang kini 39 tahun dan 45 tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga anak.
Kini menetap di Singapura dan telah diberi kewarganegaraan Singapura, Cik Eve berkata beliau masih sedaya upaya mempelajari bahasa Melayu dan menyesuaikan diri kepada budaya Singapura.
Malah, pos yang dimuatnaiknya di Instagram ‘angmohmakcik’ mengenai perjalanannya belajar bahasa Melayu telah mencuri banyak perhatian di media sosial.
“Kami sangat berbeza, bak kekata Inggeris, ‘opposites attract’. Mungkinkah sebab itu hubungan kami kekal menarik kerana setiap hari kami saling belajar perkara berbeza daripada budaya kami yang sangat berlainan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg