Seorang bekerja sebagai cef, dan seorang lagi memang tukang masak handalan yang biasa menerima tempahan kenduri atau majlis kahwin - bayangkan kededuanya tinggal bersebelahan dan dapat menikmati hidangan masing-masing terutama semasa musim perayaan.
Begitulah kehidupan berjiran penuh mesra yang dibina Cik Komathi Manivasan, 44 tahun, dan Cik Zaiton Ahmed, 67 tahun, di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Sengkang West.
Budaya dan kepercayaan yang berbeza bukan penghalang, malah memperkayakan lagi pengalaman hidup mereka sebagai jiran dan contoh kehidupan rakyat Singapura yang harmoni dan saling menghormati.
Baru-baru ini, Cik Komathi menunjukkan cara membuat muruku kepada jirannya itu. Cik Zaiton, yang pakar memasak dan membuat kuih, teruja dapat belajar resipi baru.
“Saya ada darah campuran India, tapi saya tak pernah belajar buat muruku. Komathi juga pandai masak, dan pada Deepavali, beliau akan kongsi makanan dengan keluarga kami,” kata nenek 16 cucu itu.
Cik Komathi juga berkongsi bahawa beliau amat gemar rendang dan kuih puteri salat yang dibuat Cik Zaiton.
Menerangkan makna di sebalik perayaan Deepavali, Cik Komathi berkata ia bukanlah tahun baru untuk orang Hindu, tetapi adalah keramaian yang melambangkan “kemenangan terang atas kegelapan, kebaikan atas kejahatan, dan pengetahuan atas kejahilan”.
“Pada pagi perayaan, kami biasanya akan memberi anak-anak kami baju baru, dan kemudian kami akan ziarah keluarga terdekat. Rumah kami juga dihiasi dengan lampu-lampu atau lilin mengikut tema perayaan cahaya ini,” kata Cik Komathi, ibu dua orang anak.
Sejak berpindah ke estet perumahan Anchorvale hampir 10 tahun lalu, anak sulung Cik Komathi, yang pada waktu itu baru berumur enam tahun, dan cucu Cik Zaiton sering bermain bersama dan dari situlah terjalin hubungan rapat kededua jiran sebelah rumah itu.
“Kami senang dengannya kerana beliau rajin menyapa kami jika ternampak di luar rumah. Mereka sekeluarga sangat ramah. Memang susah nak cari jiran yang baik,” ujar Cik Zaiton.
Sambil tersenyum, Cik Komathi mencelah: “Kami juga sering ikuti acara yang diadakan untuk kanak-kanak di Kelab Masyarakat Anchorvale, dan saya sendiri sekarang seorang sukarelawan akar umbi dan kerap terlibat dalam aktiviti kaum India di sini sejak enam tahun lalu.”
Pada 6 November akan datang, Cik Komathi dan kumpulan relawannya akan mengadakan konsert Deepavali untuk penduduk Sengkang West.
“Kami adakan aktiviti untuk beberapa kumpulan etnik India di sini - seperti Tamil, Telegu, Malayalam, Kannada - dan ini adalah untuk satukan kaum-kaum India yang berbeza dalam satu keramaian,” terang Cik Komathi, sambil berkata tiket-tiket untuk acara itu telah habis dijual.
Acara yang akan berlangsung dari 5 petang hingga 9 malam itu akan diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian, aktiviti melibatkan penduduk dan kanak-kanak, selain jamuan makanan India.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg