Ramadan di Singapura tidak lengkap tanpa bazar yang meriah, menyatukan masyarakat dalam semangat kebersamaan, makanan dan perayaan.
Bazar yang dipenuhi dengan makanan jalanan yang lazat serta minuman menyegarkan ini menjadi tradisi yang dihargai.
Ia menjadi tempat yang popular untuk keluarga berbuka puasa, rakan-rakan saling berkumpul untuk makan malam dan juga penggemar makanan yang ingin mencuba pelbagai hidangan menarik.
Antara yang terkenal adalah Bazar Kampong Gelam, yang menampilkan lebih daripada 120 reruai, dengan 80 daripadanya khusus untuk makanan dan 40 lagi mempamerkan vendor runcit.
Bazar itu menawarkan gabungan cita rasa tradisional dan ciptaan kontemporari yang pasti memikat pengunjung.
Gerai Golden Bao memperkenalkan hidangan snek jalanan dari Sichuan, China, yang tular, diinspirasikan daripada roti Shaobing – roti bulat diisi dengan daging lembu atau ayam cencang, daun bawang dan bawang merah, kemudian digoreng hingga warna keemasan.
“Kami menghabiskan tiga setengah minggu untuk proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) sebelum melancarkan (hidangan ini) di acara pertama kami anjuran MakBesar pada Januari,” kata Encik Rashid Rahim, salah seorang pengasas Golden Bao.
Jenama ini turut disokong oleh rakan kongsi, Encik Suhari Mustaffa, Encik Nazareen Muslim, Encik Hamizan Shah, Cik Hanisa Kosno, Cik Nina Zazali, serta selebriti dan pelawak Malaysia, Shuk Sahar.
“Sambutan sangat menggalakkan dan sejak itu, kami telah memperbaiki resipi.
“Kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai Bazar Kampong Gelam,” tambahnya.
Encik Suhari, pemilik bersama Golden Bao yang juga pengasas restoran The Shakehouse, menekankan tumpuan mereka pada perisa.
“Orang ramai akan membandingkan pau kami dengan yang lain, tetapi kami memberi tumpuan kepada apa yang kami suka makan.
“Versi kami mempunyai campuran rempah-ratus dan kepedasan sos minyak cili,” jelas Encik Suhari.
Walaupun penampilannya ringkas, membuat roti bukanlah perkara mudah.
“Doh mesti elok sebelum kami boleh gulung dan goreng. Jika teksturnya salah, ia memang sukar untuk gulung,” tambah Encik Rashid.
– Reruai: MS17 dan MS18
– Harga: Satu roti daging, $10; dua roti daging, $18; satu roti ayam, $9; dua roti ayam, $16; sos minyak cili, $1
Pengasas bersama Sumego, Encik Muhammad Ridzwan Shah dan Encik Muhammad Ruzaini Jaffar, kedua-duanya tidak asing dengan industri makanan dan minuman (F&B).
Mereka telah bertahun-tahun di kedai minuman terkenal, Broti, sebelum menceburi perniagaan burger.
“Kami mahu mencipta sesuatu yang unik, iaitu burger dengan sos sumsum.
“R&D mengambil masa tiga bulan dan kami mencuba resipi berbeza dengan keluarga kami sebelum menyempurnakannya,” kata Encik Ridzwan.
Hidangan lain yang ditawarkan termasuk Sweden, bebola daging dengan jem kranberi dan sos perang, serta Chimmy, burger yang dihidangkan dengan sos chimichurri (campuran bawang putih, minyak zaitun dan herba parsli) untuk memberikan rasa yang menyegarkan.
“Kami mengekalkan menu yang ringkas untuk memastikan kualiti.
“Cita rasa Melayu cenderung kepada rasa yang lebih kaya, jadi kami memastikan sos kami mempunyai rasa yang lebih menonjol,” tambah Encik Ridzwan.
– Reruai: BS5
– Harga: Classic, $12.50; Swedish, $11.50; Chimmy, $11.50; dan Sumego, $13.50
Pemilik jenama teh tarik terkenal, Tarik, Sheikh Ali Redha, kini menceburi arena makanan dengan hidangan pasta blok keju atau cheese wheel, iaitu pasta yang digaulkan dalam lekuk blok keju berbentuk bulatan, di reruai yang dinamakan Gohed Gostan.
“Kami tertarik melihat konsep ini di Dubai Global Village tahun lepas (2024) dan memutuskan untuk membawanya ke Singapura,” kata Sheikh Ali Redha.
Tiga pilihan pasta mereka ialah, Tandoori Chicken, Seafood Arrabbiata dan Creamy Steak Carbonara, yang disediakan segar dan secara langsung sebelum digaul dalam blok keju yang diimport dari Australia.
“Yang paling laris ialah carbonara, tetapi kegemaran saya ialah, Tandoori Chicken.
“Hidangan itu berkrim dengan sedikit rempah masala, sesuatu yang anda tidak akan temui di tempat lain,” tambahnya.
Hidangan lain yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi termasuk pasta laksa dan tomyam.
– Reruai: K31
– Harga: $12 untuk setiap hidangan pasta
Pemilik Smashed, Encik Kaleemullah Saffarullah dan Encik Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed, terkenal dengan hidangan burger smashed mereka, dengan daging yang ditekan dan dipadatkan di atas pemanggang sehingga ia membentuk lapisan yang garing di luar.
Pada 2025, Smashed memperkenalkan hidangan baru, taco – roti leper dari Mexico yang biasanya diisi dengan daging.
“Taco kami mengandungi campuran rempah Mexico dan Melayu dan ia mengambil masa dua bulan untuk menyempurnakan sos istimewa kami dan sebulan lagi untuk mendapatkan tekstur tortilla (roti leper) yang kami mahukan,” jelas Encik Kaleemullah.
Dua pilihan taco tersedia buat pelanggan – Taco Signature dijual pada harga $12 untuk dua keping, dan versi Avokado dijual pada $14 untuk dua keping.
“Kami tidak mahu membebankan pelanggan dengan terlalu banyak pilihan.
“Rasanya seimbang dan tortilla direka untuk digandingkan dengan 70 gram isi daging lembu,” tambahnya.
Smashed juga telah bekerjasama dengan jenama tempatan, SGFR, untuk menyediakan minuman, piña colada (susu nanas) eksklusif, yang hanya boleh didapati di bazar dan cawangan Baghdad Street mereka.
“Ia seperti minuman ais krim – sejuk dan menyegarkan.”
Smashed turut mempunyai kedai di Baghdad Street bagi mereka yang ingin menikmati burger Smashed.
– Reruai: K37
– Harga: Taco Signature, $12; Taco Avokado, $14; minuman piña colada SGFR, $4
Croissant Tarik memanfaatkan trend media sosial dengan sos coklat yang melimpah dan ‘tarikan’ keju yang panjang.
“Saya melihat trend ini di TikTok ketika saya menghadapi cabaran kewangan.
“Saya memang suka kroisan, jadi saya menggabungkan trend itu dengan minat saya,” kata pemilik Croissant Tarik, Encik Kai Emilio.
Selepas berbulan-bulan melakukan R&D, mereka melancarkan perisa seperti Red Velvet, Nutty Pistachios dan Kinder Bueno.
“Perisa terlaris kami ialah Ferrero Rocher, tetapi kegemaran saya ialah Kinder Bueno,” kata adik Encik Kai, Encik Koji Izaack, yang juga menguruskan operasi kedai.
Pastri kroisan dipanggang dengan keju di dalamnya, menghasilkan tekstur rangup dan keju yang cair.
Sos coklat kemudiannya dituangkan di atasnya, sebelum ditaburkan dengan tambahan (topping) pilihan.
– Reruai: K40
– Harga: Red Velvet, $13; Nutty Pistachios, $14; Kinder Bueno, $15
Matcha Klasik adalah cetusan idea, Encik Muhammad Hamirun Salihudin, seorang jurulatih papan selaju yang kini bergelar usahawan matcha di bazar Kampong Gelam.
“Tahun lalu (2024), saya dan isteri melancong ke Jepun dan mencuba pelbagai jenis matcha.
“Dari situlah saya mencadangkan untuk memulakan perniagaan ini,” katanya.
Menggunakan serbuk matcha atau teh hijau dari Jepun, mereka menawarkan enam jenis minuman, termasuk Matcha Mango ($8), Matcha Dark Chocolate ($7.50) dan Ceremonial Grade Matcha Latte ($9.50).
“Matcha latte yang baik bergantung pada kualiti serbuk.
“Kami tidak tahu tentang penggredan matcha sehingga pembekal kami menjelaskannya.
“Kini, kami mendapatkan gred yang terbaik,” jelas Encik Hamirun.
Baginya, minuman matcha yang terbaik bergantung pada mutu serbuk matcha yang digunakan.
Sambutan yang diterima sangat positif, dengan ramai pelanggan menghargai matcha sebagai alternatif kopi.
Semua minuman matcha diperbuat dengan susu oat daripada jenama Oatside bagi menyerlahkan perisa matcha.
– Reruai: K40 (bersebelahan Croissant Tarik)
– Harga: Matcha Latte, $7; Matcha Strawberry, $8; Matcha Earl Grey, $7.50; Matcha Caramel, $7.50
Isnin hingga Ahad, 2 petang hingga 11 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg