Meskipun berada di dalam rumah atau bangunan, penggunaan krim pelindung matahari tetap penting.
Ini kerana cahaya dalaman, termasuk cahaya biru daripada telefon pintar dan skrin, boleh mempercepat penuaan kulit.
Seorang lelaki berusia 50-an tahun mengalami peningkatan pigmentasi atau melasma (tompok-tompok coklat kehitaman) pada wajah walaupun bekerja dari rumah.
Beliau jarang keluar dan meluangkan kebanyakan masa di dalam rumah dengan langsir tertutup.
Pakar perunding kanan dermatologi di Pusat Kulit Nasional, NHG Health, Dr Eugene Tan, merawat pesakit itu semasa pandemik Covid-19 dan mendapati lelaki itu menghadiri mesyuarat dalam talian Zoom untuk tempoh yang panjang.
“Dia menggunakan lampu cincin (ring lamp) terang untuk menerangi wajahnya ketika mesyuarat video kerana bilik kerjanya tidak cukup terang,” kata Dr Tan.
“Saya jelaskan melasma (pada wajahnya) mungkin disebabkan pendedahan berpanjangan kepada cahaya biru yang dipancarkan lampu tersebut,” kata Dr Tan.
Doktor Estetik, Dr Harvey Ho, yang juga Pengasas dan Pengarah Perubatan, di Skinscape Clinic, berkata masalah paling lazim yang sering ditemuinya dalam amalan perubatan ialah masalah pigmentasi, lapor The Straits Times (ST).
Pigmentasi merujuk kepada keadaan kulit menjadi lebih gelap akibat pendedahan kepada radiasi.
Menurut Dr Ho, beliau masih kerap melihat kes sebegitu walaupun semakin ramai pekerja bekerja di dalam ruang tertutup dalam bangunan serta lebih peka mengenai perlindungan daripada cahaya matahari.
“Kini, penuaan dan kerosakan kulit bukan lagi semata-mata disebabkan oleh pendedahan kepada sinaran ultraungu (UV), sebaliknya sangat berkemungkinan berpunca daripada gabungan cahaya biru dan pendedahan kepada skrin (peranti teknologi),” katanya.
Doktor Estetik dan Pengarah Perubatan di Cambridge Medical Group, Dr Shirley Kwee, berkata individu yang bekerja di dalam bangunan juga masih memerlukan krim pelindung matahari bagi melindungi kulit.
Sesetengah individu bekerja di pejabat yang tingkapnya tidak dilengkapi perlindungan khas untuk menapis sinaran UV daripada cahaya matahari.
Seperti diketahui, sinaran UV boleh merosakkan kulit dan, sekiranya terdedah untuk jangka masa lama, boleh meningkatkan risiko barah kulit.
“Ramai menganggap semua terlindung di Singapura, namun cahaya matahari masih boleh menembusi bangunan,” kata Dr Kwee.
Pencahayaan pendarfluor (fluoresen), yang digunakan di dalam bangunan juga mengeluarkan haba serta sinaran UV pada tahap rendah, yang mampu mempercepat proses penuaan kulit.
Selain itu, terdapat juga risiko pendedahan berpanjangan kepada sinaran cahaya biru daripada telefon pintar, tablet, komputer riba dan skrin komputer.
Cahaya biru diketahui menjadi punca masalah seseorang susah tidur serta penyebab keletihan mata apabila seseorang menggunakan peranti digital.
Namun, kesan cahaya biru terhadap kulit masih kurang difahami.
Menurut Dr Tan, cahaya biru yang merupakan sebahagian daripada spektrum cahaya yang boleh dilihat, dipancarkan oleh matahari serta sumber cahaya lain.
Ini termasuk lampu pendarfluor seperti lampu cincin yang digunakan oleh pesakit beliau yang berdepan masalah melasma.
Beliau menambah, peranti digital hanya memancarkan cahaya biru pada dos amat rendah – sekitar 100 hingga 1,000 kali lebih rendah berbanding cahaya biru daripada matahari.
Pendedahan jangka pendek kepada cahaya biru daripada peranti dilihat tidak memburukkan masalah kulit sedia ada, kata Dr Tan, merujuk kepada kajian yang diterbitkan, Jurnal Akademi Dermatologi Amerika, pada 2020.
Kajian itu mendapati pendedahan kepada cahaya biru daripada skrin komputer selama lapan jam sehari selama lima hari tidak meningkatkan pigmentasi kulit atau memburukkan melasma sedia ada.
Namun, tiada penyelidikan yang mengkaji kesan jangka panjang pendedahan cahaya biru daripada peranti digital, tambah Dr Tan.
“Ada kemungkinan pendedahan terkumpul selama beberapa bulan atau tahun boleh meningkatkan tekanan oksidatif pada kulit,” katanya.
Para doktor turut melaporkan peningkatan masalah kulit yang didapati berpunca daripada pencahayaan di dalam bangunan, termasuk daripada peranti digital.
Dr Ho sering melihat tanda seperti kulit kusam, dehidrasi, pigmentasi serta kedutan di sekitar bahagian mata dan leher.
“Keadaan ini sebahagian besar berpunca daripada pendedahan kepada cahaya biru, namun ia juga boleh disebabkan oleh postur badan yang tidak baik, tekanan oksidatif dan kurang tidur,” katanya.
Menurut Dr Tan, pendedahan kepada cahaya biru boleh dihadkan dengan menggunakan mod gelap (dark mode), mengurangkan tahap keterangan skrin serta menggunakan pelindung skrin dengan penapis cahaya biru.
Beliau turut menyarankan amalan 20-20-20 bagi mengurangkan keletihan mata – iaitu selepas setiap 20 minit menghadap skrin, rehat selama 20 saat dan pandang objek dengan jarak 20 kaki atau sekitar enam meter dari anda.
Dr Ho turut menyarankan penggunaan pelembap berasaskan seramida (ceramide) bagi menguatkan lapisan pelindung kulit dan mengurangkan risiko alahan kulit, akibat pendedahan kepada cahaya biru.
Selain itu, Dr Kwee mengesyorkan penggunaan krim pelindung matahari yang dapat menghalang cahaya biru, seperti krim berwarna (tinted), yang mengandungi bahan mineral seperti oksida besi, zink oksida atau titanium dioksida, yang berfungsi memantulkan cahaya biru.
“
“Keadaan ini (kulit kusam dan pigmentasi di bahagian mata atau leher) sebahagian besar berpunca daripada pendedahan kepada cahaya biru, namun ia juga boleh disebabkan oleh postur badan yang tidak baik, tekanan oksidatif dan kurang tidur.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg