SUBANG JAYA: Seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad, 83 tahun, gagal menahan sebak apabila usaha mendapatkan semula hak cipta empat filem terbitan syarikat penerbitannya, Sarimah Film Production yang didakwa diambil individu terkenal sejak 37 tahun lalu, selesai.
Empat filem itu adalah Dia Ibuku, Detik 12 Malam, Jejak Bertapak dan Kabus Tengahari.
Terharu dengan bantuan kerajaan, Sarimah turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi pencetus usaha itu digerakkan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri.
“Saya tidak dapat membalas budi. Cuma Allah yang mampu membalasnya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi, Cik Teo Nie Ching, di kediamannya, pada 14 Mac.
Program Ziarah Seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.
Sarimah mengaku hampir patah semangat apabila semua usaha yang dilakukan bagi mendapatkan semula hak cipta filem terbabit sebelum ini, menemui jalan buntu.
“Apabila lihat Finas dan Karyawan bersemangat untuk bantu selesaikan isu ini, saya kembali yakin usaha ini akan berhasil.
“Sebaik dimaklumkan pihak pengedar bersetuju untuk menyerahkan kembali hak cipta filem itu, dua minggu lalu, saya terus tergamam.
“Saya tidak henti-henti luah rasa syukur kepada Allah kerana penantian selama 36 tahun berakhir dengan berita gembira,” ujarnya.
Sementara itu, Cik Teo memberi jaminan semua filem terbabit akan dikembalikan kepada Sarimah, tidak lama lagi.
Tambahnya, pihaknya turut mempertimbangkan pemberian royalti kepada Sarimah.
“Kami akan kaji perkara ini. Secara dasarnya, syarikat terbabit bersetuju jika filem dapat ditayangkan di RTM, sedikit royalti boleh disalurkan kepada Sarimah.
“Namun, butiran lanjut akan diteliti pihak berkaitan,” katanya.
Cik Teo berkata syarikat pengedar terbabit sudah menyerahkan salinan format HDD kepada Finas untuk tujuan restorasi sebelum diberi kepada Sarimah.
Selain itu, syarikat pengedar itu akan memberi sagu hati kepada Sarimah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau dalam industri perfileman negara.
Pada Februari 2024, Sarimah dilapor mahu seorang penerbit terkenal mengembalikan pita asal empat filem iaitu Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengahari yang diambil sejak 37 tahun lalu, sebelum beliau menutup mata buat selama-lamanya.
Sarimah, yang juga ibu enam cahaya mata itu, mendakwa, pita asal empat filem terbabit yang disifatkan amat bermakna, diambil seorang penerbit pada hari kematian suaminya, Allahyarham Yusof Majid pada 1988.
Sarimah turut mendakwa, individu terbabit memungkiri janji memulangkan empat filem berkenaan kepadanya.
IBU BIKIN FILEM DENGAN KERINGAT, AIR MATA
Anak kelima Sarimah, Yusarima Yusof, 54 tahun, bersyukur perjuangan ibunya yang mahu mendapatkan semula hak cipta empat filem terbitannya, berjaya, selepas hampir empat dekad mencuba.
Yusarima berkata keempat-empat filem terbabit sangat bermakna buat ibunya.
“Keempat-empat filem itu dihasilkan dengan keringat dan air mata. Semua perkara ibu buat sendiri termasuk daripada pengurusan, kewangan dan kerja penerbitan.
“Saya juga lihat betapa kecewanya ibu apabila empat filem itu gagal dikesan dan tiada siapa tahu mengenainya. Tidak mahu melihat ibu bersedih, pada 4 Februari tahun lalu (2024), saya hantar e-emel kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memohon bantuan,” katanya.
Yusarima mengaku menangis sebaik diberitahu hak cipta empat filem terbitan Sarimah Film Production itu bakal diserahkan kepada ibunya.
“Saya tidak bekerja dan tidak boleh beri ibu apa-apa. Jadi, inilah jalan akhir yang saya boleh lakukan untuk menggembirakannya. Apabila dapat tahu berita gembira itu, saya menangis kerana dapat tunaikan hasratnya,” katanya.
Sementara itu, Azmir berkata, beberapa siri pertemuan diatur dengan pihak yang menyimpan empat filem Sarimah, dalam usaha mendapatkan semula hak milik harta intelek itu.
“Kami hubungi Media Prima Berhad (MPB) kerana merasakan syarikat itu pasti ada simpan rekod atau senarai pengedar filem yang ditayangkan.
“Ini langkah bijak kerana dengan bantuan MPB, kami dapat senarai syarikat yang menjadi pengedar keempat-empat filem terbabit.
“Selepas beberapa kali berbincang dan syarikat terbabit menyedari filem itu milik seorang ikon dalam industri perfileman tanah air, mereka setuju untuk menyerahkannya kepada Finas untuk tujuan pendigitalan.
“Syarikat terbabit juga bersetuju dengan saranan untuk memberi sagu hati kepada Sarimah,” katanya.
Tambah Azmir, kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan isu filem Sarimah itu didorong amanat yang pernah disuarakan pelakon filem Madu Tiga itu sebelum ini.
“Apabila Sarimah minta dikembalikan semula pita asal filem itu, bukanlah sebab hendak buat duit.
“Sebaliknya, sebelum beliau pergi, biarlah hak cipta hasil kerjanya itu berada di bawah jagaan keluarganya. Sarimah juga mahu apa yang dilakukannya itu menjadi contoh kepada artis lain,” katanya.
Sementara itu, Freddie menganggap isu filem Sarimah sebagai permasalahan negara dan perlu diselesaikan segera.
“Biarpun pada peringkat awal, kami sukar dapatkan gambaran apa yang terjadi akibat tiada butiran terperinci dan rujukan, kami tidak putus asa.
“Hasil perbincangan yang berlarutan beberapa bulan, syarikat terbabit akhirnya bersetuju untuk menyerahkan kembali hak cipta kepada pemilik asal. Cuma perkara dibuat atas budi bicara, bukan berdasarkan undang-undang,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg