Gaya hidup ‘nomad digital’ sering menjadi suatu yang diidam-idamkan ramai, malah dipandang sebagai aturan ideal untuk mencapai keseimbangan kehidupan bekerja. Selain manfaat yang diraih nomad digital Singapura yang dihubungi Berita Minggu (BM) mendedahkan bahawa ketidakstabilan, sempadan kerja dan kehidupan yang tidak jelas, antara cabaran yang perlu diatasi.
Bayangkan diri terjaga daripada lena dek kicauan burung, bunyi air mengalir yang menenangkan, dan pancaran cahaya keemasan matahari terbit yang menyinari permukaan sungai.
Dari sebuah tapak perkhemahan terpencil di Malaysia, komputer riba dibuka, satu per satu e-mel dibaca, grafik dilakar dan keperluan pengekodan laman web klien dipenuhi.
Tatkala letih, mata memandang kehijauan di sekeliling, serta merta merehatkan minda.
Demikian secebis gambaran kehidupan warga Singapura, Encik Fajar Siddiq, 40 tahun, yang menggelar dirinya sebagai nomad digital – mereka yang bekerja menggunakan peranti digital sepenuhnya sekali gus membolehkan mereka mengembara ke mana-mana sahaja.
Apa yang menambah kepada kemanisan itu adalah beliau berada di sisi isterinya, Cik Noor Asyikin Muhamad Saer, 36 tahun, seorang warga Malaysia.
Sejak berkahwin pada 2022, pasangan ini, yang kedua-duanya mengendalikan agensi sendiri yang menawarkan perkhidmatan digital, telah mengembara dari tempat ke tempat sambil bekerja dari jarak jauh, tanpa terikat kepada pejabat fizikal.
Encik Fajar merupakan pengasas agensi Euphorya, yang menawarkan huraian kreatif digital antaranya melibatkan e-dagang dan sofwe, sementara Cik Noor Asyikin pengasas Bynoorwa, yang menawarkan khidmat rekaan bagi penjenamaan.
Sejauh ini, pasangan tersebut telah menjejakkan kaki di tujuh tapak perkhemahan di Semenanjung Malaysia - hanya dengan menggunakan kereta Perodua Axia yang diubahsuai dengan menambah khemah di bumbung kereta.
Selain itu, mereka telah memandu sejauh Thailand, meneroka destinasi seperti Hat Yai, Phatthalung dan Krabi.
Memandangkan isterinya warga Malaysia, Encik Fajar berkata tahun pertama merupakan yang paling penting buat perkahwinan mereka yang merentasi kewarganegaraan kerana perlunya untuk saling berkenalan keluarga masing-masing.
“Dengan laptop kami, kami pergi dari tempat ke tempat - utara ke selatan Malaysia, ulang alik Singapura dengan Malaysia. Ini sememangnya sukar dicapai jika salah satu daripada kami memegang pekerjaan sepenuh masa,” ujarnya.
Malah, Encik Fajar berkongsi bahawa isterinya berhenti pekerjaan sepenuh masa sebagai pereka grafik sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
Bezanya, Encik Fajar pula sudah terbiasa dengan kehidupan digital nomad sejak 2008, yang membolehkan beliau mengembara ke hampir seluruh Asia Tenggara (kecuali Kemboja, Laos dan Myanmar) sambil bekerja dari jarak jauh.
“Pada tahun pertama, kami sibuk mengenali keluarga masing-masing. Setelah tahun kedua, kami pun melancong bersama, singgah dari hotel ke hotel, dan baru-baru ini pula kami memutuskan untuk berkemah. Sehingga kini, ia terasa bak bulan madu yang tiada penghujung.
“Lagipun, mengembara bersama merupakan salah satu cara untuk benar-benar mengenali pasangan anda,” katanya.
Buat masa ini, Encik Fajar memegang Pas Kunjungan Sosial dan tinggal di Puncak Alam, Selangor sambil menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka untuk siap pada 2028.
Ditanya mengapa kehidupan nomad digital sesuatu beliau inginkan, Encik Fajar berkongsi bahawa beliau mengalami sentakan sewaktu tempoh Covid-19 apabila dirinya didiagnos dengan kencing manis dan keletihan yang melampau atau ‘burnout’.
Kejadian itu membuat beliau merenung kembali apa erti kehidupan, dan percaya bahawa kehidupan ‘nomad digital’ cara terbaik untuk beliau menikmati pinjaman waktu singkat di dunia ini.
“Selain mengisi kerohanian dari dan mendekatkan diri kepada Allah, mengembara dapat meluaskan lingkungan anda dan bertemu ramai orang baru, sekali gus membolehkan anda mengenali latar belakang dan cara kehidupan mereka.
“Contohnya, saya belajar cara menangkap begitu banyak ikan apabila saya pergi memancing di kampung. Saya belajar bercakap loghat utara di Kedah.
“Saya juga dapat berkunjung dari masjid ke masjid, belajar budaya dari 12 hingga 13 negeri di Malaysia termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Perak, Penang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.
Bagaimanapun, Encik Fajar mengakui bahawa di sebalik manfaat yang diraih sebagai ‘nomad digital’, terdapat juga cabaran yang perlu diatasi, antaranya dengan menetapkan batas antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi.
“Antara cabaran terbesar ialah memastikan diri terus berdisiplin sambil anda bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
“Justeru anda perlu sentiasa mengimbangi kerja dengan kegiatan pengembaraan,” ujar Encik Fajar sambil berkata beliau akan membahagikan masa untuk memastikan tempoh tertentu ditumpukan sepenuhnya kepada pekerjaan.
Sememangnya, menjadi nomad digital bukanlah suatu yang boleh dicapai semalaman, malah ia bertahap, dan yang penting adalah visa yang digunakan.
“Pada mulanya, ramai yang mungkin sekadar ingin melancong ke negara berbeza buat sementara waktu kerana ingin teroka tempat baru, nikmati makanan enak dan sebagainya.
“Namun lama kelamaan, ada yang sedar mereka letih kerana alami ‘visa run’ (keadaan yang merujuk kepada amalan keluar dari sesebuah negara buat sementara waktu, biasanya ke negara berdekatan, dengan tujuan untuk memperbaharui tempoh sah visa pelawat atau visa pelancong).
“Justeru, mereka mungkin mahu tinggal di sana buat tempoh lebih lama sehingga beberapa tahun, lantas memerlukan visa yang berbeza.
“Jadi lakukan kajian supaya dapat memahami visa berlainan negara berbeza,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg