Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Sekampung’ bantu ibu bapa kurang daya penglihatan besarkan anak
Syukur dapat bantuan ahli keluarga; latih anak strategi keselamatan apabila main di luar
‘Sekampung’ bantu ibu bapa kurang daya penglihatan besarkan anak
Apabila Sharynda Naqib Nazarudin bermain basikal dekat flatnya di Tengah, dia tidak pergi jauh daripada ibunya yang duduk menunggu berdekatan.
Ibunya, Cik Siti Rossaliza Rosli, telah berpesan kepada kanak-kanak berumur lima tahun itu agar segera menyahut apabila namanya dipanggil.
Jika kanak-kanak itu tidak dapat melihat ibunya, dia mesti segera mencari.
Itulah strategi yang digunakan Cik Siti Rossaliza agar dapat menemani anaknya bermain di luar rumah, dalam keadaannya, dan suaminya, yang kurang daya penglihatan.
“Saya mahu Naqib mempunyai zaman kanak-kanak seperti kebanyakan kanak-kanak lain. Jadi saya ajar dia perkara ini, supaya kami dapat meluangkan masa bersama,” kata suri rumah itu.
Cik Siti Rossaliza, 47 tahun, dilahirkan dengan daya penglihatan normal namun disahkan mengalami glaukoma pada 2010.
Sejak itu, daya penglihatannya merosot sedikit demi sedikit sebelum hilang sepenuhnya pada 2014 ketika berumur 34 tahun.
Suaminya, Encik Nazarudin Abd Razak, 48 tahun, pula hilang daya penglihatan di mata kiri akibat glaukoma pada 2003 ketika berumur 25 tahun.
Lama-kelamaan, mata kanannya pula menjadi kabur dan kini cuma dapat melihat “bayang-bayang yang bergerak” sahaja.
Pasangan itu berumah tangga pada 2015 setelah berkenalan di Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD).
Melihat beberapa rakan mereka yang kurang upaya mempunyai anak, Cik Siti Rossaliza pun teringin mempunyai sekurang-kurangnya seorang cahaya mata sendiri.
Beliau juga mahu “memberi cucu” kepada kededua ibu bapa dan ibu bapa mentuanya.
“Kami tahu keterbatasan kami. Tapi pada masa sama, saya tahu ia tidak mustahil sebab kami ada kawan-kawan yang kededua suami isteri pun kurang daya penglihatan, yang ada anak. Ada yang ada satu, ada lebih dari satu. Jadi saya pun nak,” kata Cik Siti Rossaliza.
Beliau pernah hamil dua kali namun mengalami keguguran pada 18 minggu dan 28 minggu.
Sekembali daripada menunaikan umrah pada 2019 dengan BYSD, beliau hamil sekali lagi.
Pada Januari 2021, Cik Siti Rossaliza melahirkan anaknya melalui pembedahan Caesarean ketika kandungan berumur 32 minggu.
‘Satu kampung’ besarkan anak
Apabila Naqib pulang ke rumah selepas 39 hari di hospital, neneknya, Cik Siti Rapeah Badrun, yang memandikannya.
Cik Siti Rossaliza memberi susu dan menukar lampin.
Encik Nazarudin, yang bekerja enam hari seminggu sebagai tukang urut di Tanglin Mall, mendukung bayi itu.
“Susu Naqib, mak dan ayah saya yang buatkan, pasal kena pakai air panas dan perlu sukatan yang tepat. Saya dan suami ada cara untuk kami buat sendiri, tapi memandangkan ada orang yang boleh nampak, jadi kami minta tolong kepada mereka,” kongsi Cik Siti Rossaliza.
Sebelum Naqib masuk sekolah pada umur tiga tahun, neneknya membawanya ke rumah saudara-mara beberapa kali seminggu untuk mereka membaca buku kepadanya dan mengajarnya bermain bola dan basikal.
Kini, setiap Isnin hingga Khamis, Naqib tidur di rumah datuk dan neneknya di Choa Chu Kang memandangkan tajaka yang dihadirinya terletak berdekatan.
Ini kerana sebelum berpindah ke Tengah, Cik Siti Rossaliza bersama suami dan anaknya tinggal di flat orang tuanya.
Selepas sekolah pada Jumaat, Naqib bersama datuk dan neneknya pulang ke rumah Cik Siti Rossaliza.
Pada hujung minggu, kakak Encik Nazarudin akan membawa Naqib ke rumah orang tuanya di Bukit Panjang.
Adik Cik Siti Rossaliza selalu membawa kanak-kanak itu bersiar-siar seperti ke Gardens by the Bay atau berkelah di tepi pantai.
Bapa Cik Siti Rossaliza pula rajin membawa Naqib bermain basikal atau bermain di taman permainan dalam estet perumahannya.
Hargai bantuan keluarga
Cik Siti Rossaliza berkata beliau amat menghargai bantuan ahli keluarga dan saudara-maranya kerana beliau dan suami belum berani keluar bertiga bersama anak kecil mereka itu.
“Selain ke rumah ibu bapa mentua saya di Bukit Panjang, saya dan suami tak berani bawa Naqib keluar kerana dia masih kecil. Kalau masa Hari Raya kami ada keluar bertiga. Tetapi itu pun dari rumah, kami terus ke rumah saudara, dan kemudian terus pulang ke rumah,” kata Cik Siti Rossaliza.
“Buat masa ini, saya tidak mengharapkan Naqib membawa kami ke mana-mana. Kalau ada apa-apa masalah di tengah jalan, saya takut saya tak boleh menanganinya. Jadi lebih baik kalau kita keluar beramai-ramai, bersama keluarga sebelah suami atau sebelah saya,” tambahnya.
Cik Siti Rossaliza juga bersyukur ramai yang membantu membesarkan Naqib dan menjadi keluarga yang kanak-kanak itu perlukan.
“Mereka mengajar Naqib membaca sebab saya tak boleh membaca dalam cara yang Naqib perlukan. Dia suka baca buku cerita tapi saya tak boleh baca untuknya,” kata Cik Siti Rossaliza.
“Mereka bermain dengan dia, main bola, ajar dia macam mana nak kayuh basikal. Mereka bantu saya dan suami ajar Naqib perkara yang kami tidak mampu buat,” tambahnya.
Latih anak nyatakan keperluan
Tidak sekadar mengharapkan bantuan orang lain, Cik Siti Rossaliza dan Encik Nazarudin cuba sedaya upaya untuk terlibat dalam kehidupan anak mereka.
Di rumah, jika Naqib menangis, Cik Siti Rossaliza akan meminta kanak-kanak itu menerangkan dengan khusus apa yang diperlukannya.
“Kalau dia nangis, saya akan tanya kenapa Naqib menangis? Kerana sakit atau kerana sedih? Kalau dia tak beritahu, saya tak akan tahu. Kalau dia mahu saya ambilkan sesuatu, dia perlu beritahu sama ada barang itu ada di sebelah kiri atau kanan. Dia tidak boleh tunjuk atau kata ‘di situ’,” kongsi Cik Siti Rossaliza.
Pada waktu makan, beliau akan menawarkan anaknya sama ada mahu makan sendiri atau mahu disuap.
Tiba waktu mandi, Naqib biasanya meminta ayahnya memandikannya kerana itulah masa untuk mereka berdua bermain air bersama.
“Dengan saya, Naqib suka bermain kereta mainannya. Dia tolak kereta dan saya tahan. Dia pun nanti panjat di bahu saya. Itulah cara kami bermain bersama,” kata Encik Nazarudin.
Harapan untuk si kecil
Cik Siti Rossaliza menegaskan beliau dan suami mahu mempunyai cahaya mata bukan dengan harapan untuk anak itu menjaga mereka di masa hadapan.
“Ada orang di luar sana, mereka kata baguslah ada anak. Nanti anak dah besar, boleh bantu. Tapi saya akan jawab yang kami tak harapkan macam itu,” kata Cik Siti Rossaliza.
“Saya tak nak orang ingat yang, oleh kerana saya dan suami ada kekurangan, kita ada anak ini supaya anak dah besar boleh bantu kita. Kalau belakang hari dia ingat untuk bantu kita, Alhamdulillah. Tapi kalau dia dah besar, ada kehidupan sendiri, Alhamdulillah. Kita tak perlu nak ungkit,” tambahnya.
Harapan Cik Siti Rossaliza bagi anaknya adalah untuk kanak-kanak itu membesar menjadi seseorang yang ada rasa belas kasihan terhadap orang lain.
“Saya harap dia dapat terima, dapat berkawan dengan orang yang tak sesempurna dia, tak kira bangsa, agama mahupun latar belakang. Saya harap dia dapat mesra dengan semua orang dan dapat menyesuaikan diri dengan apa-apa keadaan pun. Dan dia bawa apa yang dia belajar sekarang ini sampai besar,” ujarnya.
“
Saya harap dia (Naqib) dapat terima, dapat berkawan dengan orang yang tak sesempurna dia, tak kira bangsa, agama mahupun latar belakang. Saya harap dia dapat mesra dengan semua orang dan dapat menyesuaikan diri dengan apa-apa keadaan pun. Dan dia bawa apa yang dia belajar sekarang ini sampai besar.”