Selepas berjaya dalam bidang pertanian, selebriti dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor, kini dalam proses meneroka penternakan ikan tilapia menggunakan teknologi bioflok.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin,58, berkata, projek itu yang dilaksanakan menerusi pembiayaan Agrobank, dibina di kawasan ladangnya yang terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang.
Menurutnya, kolam bioflok yang dibangunkan secara moden dan sistematik serta mesra alam biasanya berbentuk bulat seperti kolam renang dan digunakan untuk membela ikan dalam persekitaran yang terkawal, lapor Sinar Harian.
“Sebelum ini, saya ada juga membuat penternakan lembu dan kambing tetapi hanya secara kecil-kecilan. Kali ini, saya akan memberi tumpuan kepada penternakan ikan tilapia dengan kaedah bioflok.
“Insya-Allah, dalam masa sebulan lagi saya akan bermula dengan 50 buah kolam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi Temu bual Radio: Di Sebalik Kaca TV, Personaliti Sebenar dan Figura Umum, di sini baru-baru ini.
Bioflok adalah sejenis sistem akuakultur yang menggunakan bioteknologi mikrob untuk meningkatkan keberkesanan dan penggunaan makanan ikan.
Bintang filem Memoir Seorang Guru itu yakin projek berkenaan dapat memberi pulangan yang stabil dan berterusan kerana ikan air tawar tersebut adalah antara pilihan utama pengguna di Malaysia.
“Tilapia ini semua orang makan. Kalau ikut pasaran sekarang, permintaan sentiasa ada. Tambahan pula, dengan sistem bioflok, kita boleh hasilkan ikan dalam masa empat bulan sahaja berbanding kaedah biasa yang ambil masa lebih lama,” katanya, yang turut merancang untuk memasarkan hasil ternakan itu di pasar raya ST Rosyam Mart miliknya nanti.
Selain itu, Rosyam juga merancang untuk membangunkan sebuah pusat kecemerlangan di kawasan sama, bagi memberi peluang kepada golongan muda yang berminat dalam bidang pertanian dan perikanan mendapatkan latihan dan pendedahan secara langsung.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg