Pernahkah anda bertanya kepada anak tentang hari persekolahannya, tetapi dia hanya menjawab, “Bosan”?
Ramai ibu bapa sering berdepan jawapan sebegini, lantas tertanya-tanya: Mengapa ia berlaku dan apakah yang boleh dilakukan untuk membantu?
Penting untuk kita fahami mengapa anak mungkin berasa bosan di sekolah.
Berikut beberapa kemungkinan yang wajar difikirkan.
Rasa bosan di sekolah adalah lumrah.
Perjalanan menuntut ilmu anak-anak tidak selalunya mudah atau sekata. Ada masanya proses belajar mereka pesat bergerak, ada masa rentaknya perlahan.
Maka, dalam tempoh tertentu, mereka pasti akan berasa jemu.
Kajian menunjukkan secara purata, pelajar berusia 14 hingga 15 tahun dilaporkan bosan hampir separuh masa mereka di kelas.
Pelajar yang lebih muda pula berasa bosan sekitar sepertiga dari masa di sekolah.
Tambahan pula, satu tinjauan terhadap 412 pelajar berusia 15 hingga 16 tahun mengenai perasaan mereka mendapati kebosanan adalah emosi yang paling kerap disebut.
Hal ini membimbangkan kerana penglibatan emosi sangat penting agar pelajar dapat belajar dengan berkesan.
Mungkin sebilangan guru perlu merangka pelan pembelajaran yang lebih merangsang, dan mencari jalan bersama pelajar untuk meningkatkan motivasi serta penglibatan mereka.
Mengumpul maklum balas dan bekerjasama dengan pelajar bagi mengurangkan kebosanan dalam bilik darjah boleh membantu sebahagian guru.
Disebabkan teknologi, generasi muda hari ini membesar dalam zaman mereka jarang sekali berasa bosan pada waktu lapang.
Keadaan itu boleh menjadi cabaran kepada guru, yang kebiasaannya mahu menggalakkan pelajar berfikir, merenung, dan membuat refleksi.
Namun, kajian turut mendedahkan faktor seperti hubungan guru-pelajar yang akrab; persekitaran bilik darjah yang selamat dan menyokong; serta mengaitkan pembelajaran dengan konteks dunia sebenar yang relevan dengan hidup pelajar, selalunya berkesan mengurangkan emosi negatif seperti kebosanan.
Semakin besar kawalan yang dirasakan pelajar terhadap proses belajar mereka, semakin tinggilah tahap motivasi untuk belajar.
Namun, kandungan pelajaran hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan gambaran.
Jika kebosanan anak anda tertumpu pada satu subjek atau kelas, ia mungkin berpunca daripada kandungan pelajaran.
Namun, sekiranya rungutan anak merangkumi semua kelas dan sekolah, dan prestasi akademiknya juga kian merosot, anda perlu pertimbangkan punca lain.
Ini mungkin melibatkan masalah pembelajaran tersembunyi, seperti disleksia dan diskalkulia (kesukaran matematik), atau masalah pendengaran dan penglihatan.
Anak juga mungkin seorang pelajar pintar, iaitu mereka belajar jauh lebih pantas daripada rakan sebayanya.
Jika anda mengesyaki sebarang kemungkinan itu, berbincang dengan doktor dan guru anak.
Apabila anak kecil berkata bosan, mungkin sebenarnya mereka sedang bergelut untuk mengenal pasti dan meluahkan rasa yang lebih rumit, seperti sedih atau risau.
Oleh itu, fikirkan jika ada masalah dengan rakan di taman permainan, atau isu emosi lain yang menghimpit si anak.
Tekanan sebegitu boleh memenuhi fikiran mereka semasa di dalam kelas, sekali gus mengganggu tumpuan terhadap pelajaran.
Dengan membantu anak memahami dan meluahkan emosi, kita membekalkan mereka dengan kemahiran mengurus pengalaman dengan lebih baik.
Anak yang cekap bersosial dan emosi lebih cenderung mencapai hasil positif dalam hubungan dan akademik, membawa manfaat kepada ibu bapa, guru, dan sekolah secara keseluruhan.
Berbincanglah secara terbuka dengan anak anda.
Tanya soalan lebih khusus tentang hari mereka, bukan sekadar “bagaimana sekolah hari ini?”.
Antara soalan yang ibu bapa boleh tanyakan ialah:
– Apakah perkara paling menarik yang kamu pelajari hari ini?
– Boleh ceritakan sesuatu yang kamu nikmati di sekolah hari ini?
– Adakah apa-apa yang membuatkan kamu berasa kecewa atau bosan hari ini?
– Apakah yang kamu harap boleh diubah tentang hari kamu?
– Dengan siapa kamu bermain hari ini?
– Apakah maklum balas yang kamu terima daripada guru hari ini?
Cuba fahami apa yang sebenarnya dimaksudkan anak anda apabila mereka mengatakan sekolah membosankan, dan bila mereka paling kerap berasa demikian.
Anda juga boleh pertimbangkan untuk membuat penilaian bagi mengenal pasti kemungkinan kesukaran pembelajaran, serta memeriksa penglihatan dan pendengaran mereka.
Selidiki sama ada terdapat masalah dengan rakan atau kebimbangan yang tersembunyi di sebalik tingkah laku tersebut.
Jika anak anda sangat cemerlang dari segi akademik, bincangkan perkara ini dengan pihak sekolah.
Anak anda mungkin layak menjalani penilaian lanjut dan menerima sokongan pengayaan pembelajaran.
Cari cara untuk mengaitkan apa yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan dan minat anak anda sendiri.
Akhir sekali, fikirkan bagaimana anda boleh mengukuhkan hubungan anak dengan gurunya, dan berbincanglah juga dengan guru tersebut.
Guru anak anda mungkin boleh membuat penyesuaian kecil yang dapat menyokong motivasi dan penglibatan anak anda dalam pembelajaran.
Amanda Bourgeois ialah Penyelidik poskedoktoran di UQ Learning Lab, Universiti Queensland, Australia; manakala Annemaree Carroll ialah Profesor Psikologi Pendidikan di Universiti Queensland, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg