Lebih banyak sekolah pasang lokar khas bagi pelajar simpan telefon bimbit

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak sekolah pasang lokar khas bagi pelajar simpan telefon bimbit

Lokar khusus untuk peranti mudah alih dan ia dikawal guru
Jan 15, 2026 | 5:30 AM

Lebih banyak sekolah pasang lokar khas bagi pelajar simpan telefon bimbit

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
lokar, sekolah, larangan telefon bimbit
Lebih banyak sekolah kini memasang lokar telefon bimbit di dalam bilik darjah supaya pelajar boleh menyimpan peranti mereka sepanjang waktu persekolahan. - Foto WE-LINKS

Kira-kira 10 sekolah menengah di Singapura menyatakan minat memasang lokar telefon bimbit pada akhir 2025 dan awal 2026, berdasarkan dokumen tender di portal pemerolehan tender pemerintah, GeBiz.

Mereka termasuk Sekolah Menengah Hillgrove, Sekolah Menengah Dunman, Sekolah Menengah Boon Lay, dan Sekolah Menengah Cedar Girls.

Tidak seperti lokar biasa yang boleh menyimpan barang seperti buku teks dan fail, lokar tersebut dikhususkan untuk peranti mudah alih dan biasanya dikawal guru.

Langkah itu menyusuli garis panduan baru diumum Kementerian Pendidikan (MOE) pada November 2025, yang melarang penggunaan peranti pintar seperti telefon dan jam pintar sepanjang hari persekolahan.

Garis panduan baru itu dipertingkat daripada garis panduan sebelum ini yang hanya melarang penggunaan peranti tersebut semasa waktu kurikulum biasa.

Di bawah peraturan lebih ketat yang berkuat kuasa mulai Januari 2026, pelajar sekolah menengah juga tidak dibenarkan menggunakan peranti pintar di luar waktu pelajaran – termasuk waktu rehat, waktu antara kelas, dan kegiatan kokurikulum (CCA).

Menurut pembekal perabot Wide-Links, ia telah membekal lokar telefon bimbit kepada lebih 40 sekolah di sini pada 2025.

Di samping itu, ia telah menerima permintaan daripada kira-kira lima sekolah mengenai pemasangan lokar telefon bimbit pada 2026.

Pengarah Pemasaran Wide-Links, Cik Christine Cheong, berkata sesetengah lokar tersebut boleh dikunci oleh pelajar menggunakan kunci atau kunci kombinasi, tetapi guru boleh mengaksesnya dengan kunci induk.

“Kebanyakan sekolah meletak lokar itu di luar pejabat am supaya ia senang dipantau. Ia juga lokasi yang mudah diakses pelajar.

“Ada sesetengah sekolah meletak lokar di dalam bilik darjah dan guru akan mengunci mereka. Ada lokar juga dipasang di dinding,” jelasnya.

Lokar yang dibekalkan Wide-Links biasanya diperbuat daripada keluli atau kayu, dengan ada mempunyai tingkap akrilik supaya guru boleh lihat sama ada telefon bimbit pelajar benar-benar disimpan, tambah Cik Cheong.

Menurutnya, kebanyakan sekolah mahu memasang lokar telefon bimbit kerana ingin mematuhi garis panduan yang dikeluarkan MOE baru-baru ini.

“Saya rasa ia mungkin lebih senang untuk pihak sekolah memantau penggunaan telefon bimbit pelajar jika telefon bibmit mereka disimpan,” ujar Cik Cheong.

Di samping itu, pengeluar perabot Asia Furniture Co Pte Ltd telah membekal lokar telefon bimbit kepada kira-kira lima sekolah sejak 2020.

Eksekutif jualan syarikat itu, Encik Chan Kok Seng, berkata mereka sedang menunggu keputusan tender bagi memasang lokar telefon bimbit di sekitar lima sekolah pada 2026.

“Pihak sekolah memberitahu kami mereka harap dengan menyimpan telefon bimbit pelajar di dalam lokar, ia dapat membantu mereka menjadi lebih fokus semasa belajar,” kongsinya.

Sama seperti Wide-Links, lokar yang dibekalkan Asia Furniture Co Pte Ltd, biasanya diperbuat daripada keluli dan mempunyai tingkap akrilik.

Menurut Encik Chan, keluli digunakan kerana ia kalis air, manakala akrilik digunakan untuk tingkap kerana ia kurang mudah pecah berbanding kaca, menjadikannya lebih selamat di persekitaran sekolah.

Kededua Cik Cheong dan Encik Chan menjangka lebih banyak sekolah akan memasang lokar telefon bimbit pada 2026.

Menjawab pertanyaan di Parlimen pada 13 Januari, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau, berkata pelajar tidak perlu memiliki atau menggunakan telefon bimbit bagi tujuan komunikasi kecemasan dengan ibu bapa.

“Sekiranya ibu bapa mempunyai pesanan segera untuk disampaikan kepada anak, mereka boleh menghubungi pejabat am sekolah,” ujarnya, sambil menambah pelajar juga boleh menghubungi ibu bapa menggunakan telefon di pejabat am.

Seorang bapa, Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin, 38 tahun, yang tiga anak lelakinya kini di peringkat sekolah menengah dan rendah, berkata beliau menyambut baik keputusan sesetengah sekolah untuk memasang lokar telefon bimbit.

“Ini adalah satu langkah baik kerana kanak-kanak boleh menumpukan perhatian dengan lebih baik di kelas,” ujar Encik Azimmi.

Cik Nurul Jannah Rahmat, 36 tahun, yang juga ibu kepada anak di peringkat Menengah 1, turut menyokong langkah itu kerana beliau percaya ia membantu menggalak kanak-kanak agar bergaul dengan rakan sebaya.

“Pada masa yang sama, ia membantu mengurangkan pendedahan kepada kandungan yang mungkin boleh bawa kepada kemudaratan,” ujar Cik Nurul Jannah.

Berita Harian sebelum ini melaporkan bahawa kemudaratan dalam talian seperti buli siber, pendedahan kepada pornografi, dan penyebaran maklumat palsu kini menjadi lebih sukar dikesan dan mudah diakses kanak-kanak dengan adanya kecerdasan buatan (AI).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg