Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Semangat Haryani Othman berkobar ‘besarkan’ jangkauan MakBesar

Jerih payah tangani isu mental terubat apabila menang Anugerah Mice bagi karnival GrandBite@Sentosa
Aug 17, 2023 | 05:30 AM



Beberapa bulan lalu, bakat setempat Haryani Othman dicalonkan bagi Anugerah Pelakon Terbaik Dalam Watak Komedi pada Pesta Perdana 2023, sesuatu yang dianggap pencapaian untuknya setelah lama tidak muncul di kaca televisyen.

Suatu ketika dahulu, nama Haryani, 44 tahun, memang sinonim dengan watak komedi bahkan di alam realiti juga, beliau adalah seseorang yang santai lagi suka bergurau senda dan menjadi penghibur teman-teman sekeliling.

Bagaimanapun, dalam satu wawancara Berita Harian (BH) bersama Haryani, beliau menjelaskan bahawa tumpuannya kini ke arah tugasnya selaku pengurus pemasaran dan pembangunan perniagaan di firma guaman setempat IRB Law LLP di samping mengendalikan syarikat penganjur acara dan pengurusan artis MakBesar Pte Ltd bersama dua rakan niaganya, Encik Firdaus Faisal dan Cik Lina Liyana Samsi.


Haryani juga menyedari banyak yang perlu dilengkapi dalam soal ukhrawi lantas mengambil serius usaha memperkasa dirinya dalam ilmu pengetahuan agama sebagai bekalan akhirat. Justeru, kegiatan seninya diperlahankan.

Sebagaimana katanya: “Selepas berhijrah dan berumur sedikit, saya kurang bergiat dalam seni. Mungkin jika ada peluang, saya ingin lebih mengacara atau mungkin nak buat komedi solo ataustand-up comedytentang kehidupan saya selepas berhijrah. Sebab ia adalah perjalanan yang agak melucukan.


“Fokus saya memang lebih kepada kerjaya saya di firma guaman, melihat MakBesar kian membangun dan semakin besar serta meneruskan pengajian saya dalam Sijil Pengajian Islam... mudah-mudahan saya dapat teruskan hingga ke peringkat ijazah. Doakan ya.”

Beliau, dalam pada itu, bersyukur, gembira dan bangga apa yang diusahakannya dengan Encik Firdaus dan Cik Lina membawa kepada pengiktirafan Anugerah Acara Pengguna Tahunan Terbaik di Anugerah Industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (Mice) yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran (Saceos) untuk meraikan sumbangan dan pencapaian penggiat Mice.

MakBesar menang bagi inisiatif menganjurkan karnival mesra Muslim, GrandBite@Sentosa.

“Kemenangan ini sangat bermakna sebab orang ingat kerja kita senang. Saya boleh katakan untuk menganjurkan acara pada skala ini memerlukan kami mengorbankan masa yang banyak. Basah keringat dan berjurai air mata sebab kami bergerak sebagai pengusaha yang baru bertapak dan tidak dijangka boleh berjaya.

“Calon lain bagi kategori ini sungguh hebat. Kami hanya syarikat kecil dengan tiga penggerak yang menggunakan duit penat lelah sendiri. Kini, kami mempunyai tujuh kakitangan dan kian berkembang.

“Anugerah yang diperolehi ini adalah bukti kerja keras daripada semua anggota pasukan. Firdaus dan Lina khususnya gigih mengendalikan segalanya tanpa tidur!” jelas Haryani.

Beliau juga sebak mengenangkan sewaktu Grandbite@Sentosa diadakan tahun lalu, dirinya jatuh sakit manakala seorang yang rapat dengan dirinya sedang bertarung nyawa.

“Acara itu menjadi satu titik hitam dalam sejarah kehidupan saya. Ia menjejas saya. Seisi pasukan perlu menangani dengan kondisi saya itu dan mereka perlu membereskan acara yang sangat besar. Apabila menang, kami menangis teresak-esak sebab rasa berbaloi sangat perjuangan kami bertiga sebagai sebuah syarikat kecil,” tambah Haryani.

Sebelum ini, Encik Firdaus pernah memenangi Anugerah Usahawan, Persatuan Perdagangan dan Perusahaan (ATC), ATC Entrepreneur 100, pada acara anugerah syarikat kecil dan sederhana, SME500.


“Kami memang menghadapi banyak cabaran. Dua rakan niaga saya, Firdaus dan Lina, mempunyai keluarga yang besar. Mereka mempunyai tanggungjawab keluarga, nak kendalikan perkembangan bisnes MakBesar... saya pula ada kerjaya sendiri dan kami semua perlu bersaing dalam industri dan membahagikan masa antara kerja dengan keluarga. Memang payah sebab kami pun perlukan masa peribadi.

“Tambahan pula, saya perlu menangani masalah kesejahteraan minda saya. Apabila masalah kesihatan minda kembali mengganggu tahun lalu dan awal tahun ini, bebanannya Tuhan sahaja yang tahu.

“Bagaimanapun, segalanya dapat dimudahkan dengan keyakinan pada Allah. Alhamdulillah, saya gembira dengan perkembangan kerjaya saya. Lina dan Firdaus pun mempunyai anak-anak yang berjaya di madrasah. Allah permudahkan urusan kami. Ada hikmah di sebalik setiap cabaran dan kami saling mendorong satu sama lain,” jelas Haryani.

Gerai sementara di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi serta Our Tampines Hub (OTH) yang dipanggil Arcade diperkenalkan sewaktu pandemik.


“Apa yang kami pelajari adalah perlu amanah, ikhlas dan peka tentang kebajikan pengendali gerai di acara anda. Kalau mereka tak senang hati, hati kami pun lagilah tak tenang.

“Jangan bersendiri apabila berdepan dengan masalah. Pastikan anda ada sistem sokongan dan rakan kerja atau pasukan yang utuh. Keluarga pula dijadikan tunggak. Tak boleh malas dan lemah,” kata Haryani.

Pada 18 hingga 20 Ogos, MakBesar meneruskan misi niaga mereka bagi acara Grand Emporium yang berlangsung di Singapore Expo Hall 5B, antara 10 pagi dengan 10 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >