Selepas 20 tahun menceburi bidang seni, sejurus bergelar juara pertandingan, Anugerah 2005, bakat Singapura, Hyrul Anuar, meraikan pencapaiannya dengan satu lagu Raya baru, Gara-Gara Raya.
Ini merupakan lagu Lebaran ketiga yang dirakamkannya selepas irama penuh emosi, Mengenang Pemergianmu, dan lagu kegemaran ramai, Dian Lebaran, bersama kolektif seni, AltoAura.
Menurut Hyrul yang dihubungi Berita Harian (BH), Gara-Gara Raya, dicipta khas bagi menarik perhatian generasi baru di samping mengekalkan tradisi yang dihargai.
Ia membawa pesanan ceria lagi bermakna mengenai adat dan keunikan masyarakat Melayu semasa menyambut Lebaran.
Lagu itu juga menghidupkan kembali melodi klasik rakyat Melayu, dengan susunan muzik yang menggabungkan unsur tradisional dan rentak kontemporari, menjadikannya karya penuh nostalgia tetapi segar.
“Selepas lagu berentak perlahan, Mengenang Pemergianmu, dan rentak joget dalam, Dian Lebaran bersama AltoAura, saya ingin hasilkan lagu Raya yang lebih menepati cita rasa muzik masa kini, namun masih menerapkan elemen kemelayuan.
“Saya dapat inspirasi daripada lagu Raya yang kerap dihasilkan oleh pemuzik muda di Malaysia yang gigih mengeluarkan lagu Raya setiap tahun, dengan bunyi yang lebih segar dan kreatif.
“Saya pun memang nak abadikan lagu Raya ini untuk anak-anak buah saya dengan pesanan agar mereka membesar dengan adab dan kefahaman tentang budaya kita beraya walaupun berbeza generasi.
“Sebab itu, saya sengaja selitkan kosa kata seperti cekak musang, teluk belanga, boria, tingkah laku dan sengketa, yang mungkin generasi kini pun kurang fahami,” jelas Hyrul, 38 tahun.
Menurut Hyrul, Gara-Gara Raya, sebenarnya sudah dihasilkan pada 2022, tetapi belum sempat dirakam kerana kesibukan Hyrul dalam program televisyen, Berani Nyanyi dan Kaki Nyanyi.
Pada akhir 2024, barulah beliau mempunyai kelapangan merakam serta memikirkan konsep video muzik dan promosi bagi lagu itu.
“Cuma, saya berharap sangat dapat menghubungi stesen radio atau media cetak dan digital di Malaysia, Brunei atau Indonesia bagi mempromosikan lagu ini,” tambahnya.
Ditanya tentang perbezaan antara lagu Raya lama yang malar segar, berbanding lagu Raya baru yang lebih ‘hip’ dan biasanya menjadi tular di aplikasi TikTok, Hyrul menjelaskan:
“Lagu-lagu dulu memang kuat dengan jati diri Melayu, di mana mesti ada lenggok nyanyian atau susunan muziknya yang menerapkan elemen kemelayuan.
“Sekarang ada juga yang cuba imbangi elemen tersebut sambil menerapkan elemen moden yang lebih segar.
“Itulah yang ingin saya kecapi supaya lagu ini boleh menepati cita rasa pelbagai lapisan masyarakat, merentasi generasi.
“Matlamatnya ialah menghasilkan lagu yang kekal relevan dengan peredaran zaman.
“Kalau susunan muzik dan lirik terlalu moden, bagi saya, ia kurang menimbulkan perasaan dan suasana untuk beraya.”
Video muzik yang Hyrul sajikan mempunyai konsep humor dan menghiburkan.
Ia diarah penyanyi tempatan, yang juga peserta Kaki Nyanyi, Haqim Mokhtar.
Lagu ini disusun dan diterbitkan pemuzik berbakat, Kazhendra Kas Kazan.
“Saya ingin memperlihatkan visi seni serta dedikasi Haqim dan Kazhendra dalam menghasilkan kerja seni yang dapat dinikmati oleh semua generasi,” ujar Hyrul.
Apakah pula lagu Lebaran yang sentiasa dekat di hati Hyrul?
Jawabnya: “Kepulangan Yang Dinanti, oleh Allahyarham Aman Shah adalah lagu ‘cari makan’ saya untuk segala persembahan Hari Raya.
“Dari kecil, saya juga sukakan lagu, Suara Takbir, oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ada semacam rasa kesedihan yang membuai perasaan dan menimbulkan suasana pagi Raya yang hening.
“Satu lagu terawal yang betul-betul mengimbangi muzik moden dengan tradisional adalah, Salam Dunia, oleh Datuk Dr M. Nasir.
“Saya gemarkan liriknya yang puitis tetapi sangat bermakna.”
Dalam pada itu, Hyrul menganggap 20 tahun dalam persada seni Singapura merupakan pengalaman yang membuka mata dan memperkasa dirinya di sebalik setiap cabaran yang dihadapi.
“Saya bermula sebagai anak seni yang sering dikatakan tiada pakej atau faktor X pada ketika itu.
“Namun, saya berusaha untuk kekal cekal. Walaupun setiap tahun wujud cabaran dan perubahan dalam sektor hiburan, saya teruskan misi agar kekal relevan dengan kemahiran dan keunikan sendiri.
“Ia bukan hanya tentang keupayaan bertahan, tetapi keperluan untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan selera penonton dan menghasilkan karya, baik dalam bidang muzik atau penulisan naskhah program televisyen. Mudah-mudahan, ia memberi impak.
“Saya hargai pengalaman dan proses mencipta kerja seni yang segar, relevan dan memberi kesan mendalam buat peminat dan masyarakat,” tambah Hyrul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg