Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Bagi Encik Muhammad Hilmi Azman, 38 tahun, dan Encik Muhammad Amir Said Alkatiri, 35 tahun, mereka melihat pendedahan anak mereka kepada dunia pertandingan lumba pada usia yang muda mengajar mereka pentingnya usaha dalam mengejar kejayaan.
“Hendak berjaya bukan senang terutama dalam sukan.
“Ia memerlukan disiplin serta komitmen yang tinggi dan saya tegas mengenainya terutama dengan anak-anak saya,” jelas Encik Hilmi yang bertugas sebagai pengawal keselamatan.
Anak-anak Encik Hilmi, Az-zahra Imani Muhammad Hilmi, sembilan tahun, dan Muhammad Umar Adeen Muhammad Hilmi, tujuh tahun, aktif dalam sukan ‘push bike’ atau basikal imbang.
Bagi Encik Hilmi, disiplin dan komitmen perlu diutamakan, memandangkan Zahra dan Umar, yang bersekolah di Sekolah Rendah Greenwood, harus mengimbangi latihan serta tugasan sekolah hampir setiap hari.
“Pulang sahaja dari sekolah dalam 1.30 petang, Zahra dan Umar akan makan petang, bersihkan diri dan kemudian tidur untuk sekurang-kurangnya 30 minit.
“Selepas bangun, mereka buat kerja sekolah.
“Pada sebelah malam pula, dari 7.45 hingga 9 malam, ialah sesi latihan ‘push bike’ Zahra dan Umar bersama anggota Rafakidz yang lain di gelanggang Woodlands North Plaza.
“Rutin ini dilakukan setiap Isnin hingga Rabu dan pada Khamis, saya akan melatih mereka di rumah.
“Cuma hari Jumaat sahaja saya beri mereka kebebasan untuk buat apa yang mereka suka,” jelas Encik Hilmi.
Dalam masa yang sama, Encik Hilmi turut menitikberatkan pola makan dan tidur anak-anaknya.
“Walau sepadat mana jadual harian mereka, saya akan pastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi agar mereka kekal bertenaga dan fokus sewaktu latihan,” kongsi Encik Hilmi.
Encik Hilmi merupakan pengasas Rafakidz yang ditubuhnya pada awal 2024. Ia menawarkan latihan tidak formal kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Sejauh ini, kumpulan itu mempunyai hampir 40 anggota yang berusia dari dua hingga 10 tahun.
Di samping kededua anaknya, beliau turut menjadi jurulatih kepada sekumpulan kanak-kanak lain yang berusia dua hingga 10 tahun belajar bermain ‘push bike’.
“Hampir setiap hujung minggu, kami akan ke Malaysia untuk bertanding seperti di Johor dan Langkawi,” tambah Encik Hilmi.
Rakan beliau, Encik Muhammad, yang turut menghantar anaknya, Amr Muhammad Alkatiri, tujuh tahun, bertanding lumba ‘push bike’ hingga ke luar negara saban hujung minggu, berkata:
“Saya percaya menyertai pertandingan lumba dapat memberi manfaat kepada perkembangan anak saya dari segi fizikal dan mentalnya.
“Kalau dahulu, sebelum perlumbaan bermula, Amr akan menangis mungkin sebab berasa gementar melihat peserta yang lain, tetapi sekarang sudah tidak lagi (menangis).
“Dengan pendedahan kepada suasana pertandingan, Amr sudah pandai urus rasa gementarnya dan tahu apa hendak dilakukannya untuk menang.”
Kemenangan demi kemenangan yang diraih Amr, anak sulung dua beradik, membuatnya lebih berkeyakinan untuk terus mengecap kejayaan.
Bagi pelumba cilik Zahra, Umar dan Amr, mereka sangat teruja dan gembira apabila dapat berpeluang menyertai pertandingan lumba.
Ditanya apakah yang paling mereka suka apabila pergi bertanding, ketiga-ketiganya sebulat suara menyahut dengan nada riang:
“Dapat ramai kawan baru.”
Zahra pula menambah: “Pertandingan dapat membuka peluang kepada saya berlumba dengan peserta handal yang lain, yang lebih pantas, dan ini paling mencabar bagi saya sewaktu bertanding.”
Selain Malaysia, anggota Rafakidz turut berpeluang bertanding lumba di Bali, Indonesia dan Bangkok, Thailand.
“Sejauh ini, anak-anak kami sudah menyertai dalam sekitar 60 pertandingan sejak setahun yang lalu,” kongsi Encik Muhammad, yang merupakan seorang guru.
“Memang penat untuk saya, apatah lagi bagi Amr yang bersekolah di Madrasah Wak Tanjong di Sims Avenue.
“Setiap hari dia perlu bersiap awal kerana bas sekolah akan tiba di rumah kami di Woodlands sekitar 5.45 pagi untuk menjemputnya.
“Namun, disebabkan minatnya yang mendalam terhadap ‘push bike’ dan keyakinan saya bahawa kegiatan ini membawa banyak manfaat, kami sanggup mengharunginya bersama-sama,” ujar Encik Muhammad.
Bercerita mengenai pengalaman bertanding di luar negara, Encik Hilmi tidak menafikan peluang sebegitu membuka mata semua dari segi disiplin dan tahap profesionalisme pelumba cilik dari negara lain.
“Banyak benda sebenarnya dapat kita timba apabila bersaing dengan peserta dari pelosok dunia yang lain terutama dari China dan Jepun.
“Tahap disiplin dan komitmen pelumba cilik China dan Jepun memang terbaik. Mereka sangat fokus dan bersungguh-sungguh untuk menang.
“Baik sebelum mahupun sesudah pertandingan, mereka akan duduk diam-diam. Ini sesuatu yang anak-anak kita boleh contohi,” ujar Encik Hilmi.
Dalam pada itu, menyertai apa jua bentuk pertandingan turut mengajar si cilik untuk bersaing secara sihat dan menerima kekalahan dengan hati terbuka.
“Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah.
“Zahra, anak perempuan saya, seorang yang mempunyai daya saing yang tinggi.
“Pernah satu kali itu dia berasa sangat kecewa selepas kalah dalam pertandingan lumba.
“Sebagai orang dewasa, mungkin kita faham mengenai konsep menang kalah dalam pertandingan kerana ini semua adalah rezeki yang sudah tertulis.
“Bagi budak kecil, mereka mungkin belum matang dari segi fikiran untuk memahami konsep rezeki ini.
“Mereka cuma tahu untuk menang sahaja.
“Kalau kalah ibarat seperti dunia sudah berakhir,” kata Encik Hilmi.
Apabila ditanya kepadanya cara terbaik sebagai ibu bapa untuk memujuk si anak agar menerima kekalahan, nasihat Encik Hilmi:
“Yang utama sebagai ibu bapa, kita perlu menerima kekalahan dengan hati terbuka dahulu.
“Kita pun tidak perlulah berasa kecewa.
“Selanjutnya, pujuk si anak itu dengan memberikan kata-kata perangsang agar mereka tidak berputus asa untuk bangkit dan cuba lagi.
“Setiap kekalahan itu harus dijadikan pengajaran, kerana daripadanya, anak-anak dapat mengenal pasti kelemahan dan perbaikinya dan seterusnya meraih lebih banyak lagi kemenangan pada masa hadapan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg