Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adu bakat nyanyian bantu bakat cilik Arissa Zara baiki gred Bahasa Melayu

Sep 4, 2025 | 5:30 AM
Mayla arissa zara muhamed hairul, arissa zara, bakat cilik, penyanyi, pertandingan, perkembangan kanak-kanak
Mayla Arissa Zara Muhamed Hairul, atau dikenali sebagai Arissa Zara, bakat cilik yang pernah menjadi naib juara dalam pertandingan menyanyi, ‘Juara Mic Junior’ (Musim Kedua) yang disiarkan di Suria pada 2024. - Foto fail

Niat Cik Nurhafizah Abdul Rashid pada mulanya memasukkan anaknya, Mayla Arissa Zara Muhamed Hairul, atau dikenali sebagai Arissa Zara, ke adu bakat nyanyian adalah disebabkan penguasaan bahasa Melayu anak perempuan tunggalnya itu tidak begitu baik.

“Saya stres ketika itu dengan markah subjek Bahasa Melayu Zara, teruk sekali.

“Pernah dia dapat markah satu angka sahaja.

“Jadi, disebabkan Zara suka menyanyi, saya mengambil keputusan untuk masukkan dia dalam pertandingan nyanyian di Suria iaitu Juara Mic Junior (Musim Kedua) pada 2022 semasa dia berusia 10 tahun.

“Harapan saya pada waktu itu, ia dapat membantu anak saya membaiki penguasaan bahasa Melayunya,” cerita Cik Nurhafizah, 40 tahun, kepada Berita Harian melalui Zoom.

Ternyata langkah Cik Nurhafizah membuahkan hasil.

Gred bagi subjek Bahasa Melayu Arissa Zara saban tahun bertambah baik.

Bahkan, untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang Arissa Zara duduki pada 2024, dia mendapat gred AL4 (jumlah markah dalam lingkungan 75 hingga 79) bagi subjek Bahasa Melayu.

“Alhamdulillah… berkat bertanding, ia banyak membantu Zara membaiki penguasaan bahasa Melayunya.

“Manakan tidak, sepanjang pertandingan Juara Mic Junior, Zara perlu belajar menghafal dan memahami makna lirik lagu supaya dapat menyampaikannya dengan penjiwaan yang baik.

“Malah stesen televisyen turut memberi beliau peluang berlakon drama dan dia perlu belajar dan menghayati skrip.

“Ini semua secara langsung meningkatkan lagi keupayaan Zara menguasai bahasa Melayunya,” jelas Cik Nurhafizah.

Zara kini berusia 13 tahun dan sedang menuntut di Sekolah Menengah Spectra di Woodlands.

Selain pertandingan, Juara Mic Junior, yang mana beliau mendapat naib juara, Arissa Zara, anak ketiga empat beradik, juga aktif menyertai adu bakat menyanyi di sana-sini.

Dia pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan menyanyi, Talent@Raffles pada 2024.

“Saya rajin masukkan Zara dalam pertandingan nyanyian bukan disebabkan mahu dia menang, tetapi lebih kepada ingin mendapatkan maklum balas dan saranan daripada pengadil profesional, bagaimana Zara boleh asah lagi teknik nyanyiannya,” jelas Cik Nurhafizah, yang bertugas sebagai pengurus tadbir di sebuah syarikat pengeluaran.

Bagi Arissa Zara pula, dia berasa teruja pada waktu yang sama gemuruh apabila pertama kali menyertai Juara Mic Junior.

“Lama-kelamaan, rasa gemuruh itu mula hilang dan kini saya lebih berkeyakinan membuat persembahan di khalayak ramai,” kata Arissa Zara.

Namun dalam banyak pertandingan nyanyian yang Arissa Zara sertai, pengalaman bertanding dalam kategori terbuka GegarStar pada 2023 yang diadakan di Singapore Expo merupakan sesuatu yang tidak boleh dilupakan, apabila dia perlu bersaing dengan peserta lebih dewasa dan berpengalaman.

“Dalam kalangan peserta adu bakat GegarStar, saya seorang sahaja kanak-kanak.

“Di situ, Zara belajar banyak daripada peserta ‘otai’ yang lain dengan mendapatkan panduan berguna untuk membaiki lagi cara menyanyi.

“Zara juga menerima kata-kata perangsang daripada mereka untuk terus maju dalam bidang nyanyian,” ujar penyanyi cilik itu, yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan, GegarStar.

Cik Nurhafizah menambah segala duit kemenangan yang Zara dapat diserahkan kepada anaknya itu.

“Terpulang kepadanya apa dia hendak buat dengan duit kemenangannya itu kerana itu duit hasil titik peluhnya juga.

“Saya nak dia belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu, dia perlu usaha di atas kaki sendiri,” ujar Cik Nurhafizah yang tidak menafikan bahawa pergaulan Zara dengan orang dewasa sepanjang menyertai pertandingan nyanyian serta penglibatannya dalam kerjaya di kaca televisyen, membuatkan anaknya itu matang daripada usia sebenarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg