Berbanding filem ‘superhero’ atau adiwira lain yang mendapat ulasan bagus dengan tanda jempolan oleh media dan penonton, Blue Beetle meraih reviu campuran dengan ada yang amat menyukainya manakala ada pula menganggapnya sebagai karya merapik.
Ketepikan segala unsur yang tidak masuk akal, imej janaan komputer (CGI) yang kurang sempurna dan aspek jalan cerita yang mendukacitakan. Penulis secara peribadi tertarik pada beberapa isu sosial yang disisipkan seperti perbezaan status sosial orang kaya dan orang miskin khususnya daripada masyarakat Amerika Latin yang dipinggirkan dan diabaikan dalam bermacam perkara meliputi pendidikan, pekerjaan dan perumahan.
Ditambah dengan jejaka Mexico yang dijadikan wira dalam filem ini dan paparan keluarganya yang kaya jiwa, lasak dan telah melalui pelbagai rintangan hidup, Blue Beetle bersifat inklusif dan berdiri di bumi nyata untuk ketengahkan wujudnya penilaian berdasarkan warna kulit hingga ke hari ini.
Sesiapa sahaja mampu menjadi wira tanpa mengira bangsa, kedudukan sosial dan latar belakang keluarga. Bahkan, penulis juga sukakan kata-kata mutiara ibu si wira, Rocio Reyes, sebagai membakar semangat anaknya di kala ia hampir remuk-redam dek tekanan sekeliling. Katanya: “Gunakan kesakitan yang anda rasa dan ubahnya menjadi satu kuasa (luar biasa).”
Blue Beetle adalah filem adiwira Amerika yang berdasarkan watak komik DC, Jaime Reyes, diterbitkan DC Studios dan The Safran Company serta diarahkan Angel Manuel Soto. Naskhah filem ke-14 daripada kerja seni studio DC Extended Universe (DCEU) ini ditulis Gareth Dunnet-Alcocer.
Pelakon muda Sepanyol, Xolo Maridueña, 22 tahun, yang mula dikenali dalam siri Netflix, Cobra Kai, dipilih sebagai wira bernama Jaime Reyes atau Blue Beetle. Gandingan serasinya adalah Bruna Marquezine, pelakon Brazil berusia 28 tahun, yang lebih dikenali sebagai mantan temanita pemain bola terkenal Neymar. Marquezine menerajui watak usahawan muda dengan banyak rahsia, Jenny Kord.
Apa yang menarik adalah kehadiran pelakon mapan Susan Sarandon sebagai antagonis bernama Victoria Kord yang berdendam terhadap anak saudaranya Jenny dan mendiang bapanya yang mewarisi harta dan perniagaan keluarga. Sarandon berjaya mewujudkan impak pada emosi tegang yang dibawa wataknya dalam setiap pertelingkahan, penganiayaan dan muslihat yang dipaparkan.
Pada awal filem, penonton hanya disajikan dengan cerita biasa pemuda Mexico bernama Jaime yang lulus jurusan praundang-undang dari Universiti Undang-Undang Gotham dan ghairah pulang ke pangkuan keluarganya di Palmera City.
Dalam kegembiraannya itu, dia terpaksa berdepan dengan berita buruk keluarganya dihalau dari rumah mereka kerana masalah kewangan dan bapanya diserang penyakit jantung. Adik Jaime, Milagro, mengajaknya bekerja bersamanya di rumah usahawan kaya Victoria.
Bagaimanapun, mereka berdua dibuang kerja kerana masuk campur dengan pertelingkahan keluarga antara Victoria dengan Jenny. Jaime yang tertawan dengan kejelitaan Jenny lebih teruja apabila Jenny atas rasa ihsan ingin memberinya pekerjaan di Kord Tower pada keesokan hari.
Bagaimanapun, Jaime tidak menduga usahanya ke syarikat itu akan mengubah hidupnya buat selama-lamanya apabila diserahkan Jenny dengan bahan rahsia berupa hasil peninggalan kuno dalam bentuk kumbang biru yang dibekukan dan dijaga rapi sebagai bahan bioteknologi perang bernama Scarab.
Apabila sampai di rumah, Jaime melanggar pesanan Jenny untuk tidak membuka kotak burger yang berisi Scarab atas desakan keluarganya. Apabila kumbang itu disentuh, Scarab bergerak dan melekat pada tubuhnya sehingga Jaime bertukar menjadi adiwira bersut kulit kumbang yang mengganas, memiliki kuasa luar biasa dan dipanggil Blue Beetle.
Daripada situlah, kembara Jaime bermula di mana antara tugasnya adalah menyelamatkan Jenny dan keluarganya daripada menjadi mangsa tentera Victoria yang tangkas dan ganas. Jaime bagaikan dirasuk semangat kumbang yang bernama Khaji-da.
Dia perlu menentang pengawal keselamatan Victoria, Carapax, yang tubuhnya sudah diserap dengan teknologi perang di mana tenaganya itu luar biasa kuat. Ia persis beberapa tentera bergabung dalam satu tubuh manusia.
Bermacam teknologi ciptaan baru yang diketengahkan dalam Blue Beetle, sama seperti francais filem James Bond. Ia membayangkan dunia futuristik yang dilalui manusia dengan kecerdasan buatan (AI) begitu berleluasa penggunaannya. Ada jam bijak yang menjadi rebutan keluarga Kord untuk menguasai segalanya. Ada juga tangan raksasa halimunan yang mampu menjangkau barangan jauh atau memberi tamparan dengan kuasa pukulan maut.
Dalam meneliti Blue Beetle, penulis bukan sahaja melihat isu kelas sosial yang memisahkan manusia bahlan pertelingkahan keluarga yang boleh berlaku kerana tamak haloba ataupun perihal harta dan perniagaan walaupun air dicencang takkan putus.
Victoria bertungkus lumus membantu bapanya membangun perniagaan tetapi apabila bapanya meninggal dunia, adiknya Ted pula diserahkan dengan syarikat warisan dengan nilai berbilion dolar, hanya kerana beliau anak lelaki.
Kerana marah dan kecewa, Victoria bertukar menjadi wanita pendendam dengan niat membinasakan dunia. Misi syarikat melancar teknologi untuk membantu manusia diubah menjadi wadah mencetus peperangan yang membinasakan.
Blue Beetle bagi penulis tetap memberi kesan dari segi pesanan tentang kemanusiaan dan erti kekeluargaan.
Jenny yang kaya tetapi tandus kasih sayang keluarga, misalnya, mengagumi Jaime yang hidup susah tetapi dikelilingi kasih sayang keluarga. Manakala kekayaan dan kuasa pula tidak harus dibiarkan bermaharajalela sehingga menjatuhkan orang lain serta memusnahkan manusia. Sebaliknya, ia boleh dijadikan jentera membangun semangat saling berihsan yang kian diabaikan dalam dunia masa kini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg