Topik diikuti
Pergi ke BHkuSenarai minyak wangi pilihan 2026 di S’pura
Senarai minyak wangi pilihan 2026 di S’pura
Senarai minyak wangi pilihan 2026 di S’pura
Minyak wangi merupakan sentuhan terakhir dalam rutin penampilan harian yang tidak dapat dilihat, namun kesannya jelas terasa.
Beberapa semburan kecil mampu menceriakan emosi secara serta-merta, selain meningkatkan keyakinan dan mengubah aura pemakainya mengikut haruman yang dipilih.
Meskipun botol ikonik seperti Chanel N°5 dan Miss Dior kekal diminati sejak berdekad lalu, kepelbagaian haruman baharu yang dilancar setiap bulan turut memberikan keterujaan yang tersendiri.
Jika anda terbuka untuk meneroka haruman baharu dan menambah koleksi minyak wangi anda, berikut adalah antara produk minyak wangi yang dilancar di Singapura pada 2026.
1. Dior Paradise
Koleksi terbaharu Dior untuk rangkaian eksklusif, La Collection Privee, diilhamkan daripada sebuah lokasi.
Dior Paradise, hasil ciptaan Encik Francis Kurkdjian, mendapat inspirasi daripada Chateau de La Colle Noire – estet mendiang Christian Dior di Provence, Perancis – tempat di mana ratusan pokok badam mekar berbunga pada setiap musim bunga.
Daripada mengutamakan haruman berunsurkan bunga, Encik Kurkdjian, mereka haruman ini berteraskan aroma badam pahit, dengan sentuhan bauan sitrus seperti oren Mandarin dan limau nipis yang segar sebelum beralih kepada keharuman biji ‘Tonka’ yang berkrim, serta sedikit haruman kayu lembut.
Hasilnya adalah haruman yang hangat tanpa terasa sarat, namun tetap manis dan tidak keterlaluan seperti pencuci mulut.
Harga: $310 untuk 50ml; $480 untuk 100ml; $705 untuk 200ml
2. Barenia Pleine Fleur oleh Hermes
Meskipun haruman berasaskan aroma pencuci mulut, yang dipanggil gourmand, mendominasi pasaran sejak beberapa tahun ke belakangan ini, Hermes terus memberi keutamaan kepada membangunkan haruman unik dalam dunia minyak wangi.
Dua tahun selepas memperkenalkan Barenia – haruman ‘chypre’ pertama daripada jenama ini – Hermes kini kembali dengan Barenia Pleine Fleur.
Minyak wangi jenis ‘chypre’ terkenal dengan aromanya yang mewah, anggun, sedikit sentuhan kayu, dan berasaskan alam semula jadi.
Asas ‘chypre’ dengan haruman kayu yang menjadi ciri khas Barenia kekal dipertahankan, namun kali ini ia diserlahkan lagi dengan sentuhan bunga teratai putih dan bunga oren, sekali gus memberikan bau lebih segar dan berkrim.
Harga: $229 untuk 60ml; $311 untuk 100ml; $311 untuk isian semula 125ml
3. Alta oleh Bottega Veneta
Minyak wangi mewah biasanya tidak berbau seperti bedak bayi atau ‘gelato’, tetapi di situlah Bottega Veneta menemui inspirasinya.
Koleksi terkini jenama itu, Alta, merangkumi 10 haruman jenis eau de parfum yang mengubah bauan biasa daripada kehidupan harian masyarakat Italy – daripada aiskrim ‘stracciatella’ hingga bedak ‘Borotalco’ – kepada haruman mewah.
Setiap haruman menggandingkan ramuan khas dari Italy dengan bahan dari serata dunia, seperti selasih bersama tumbuhan ‘vetiver’ Madagascar, oren merah bersama bunga ‘neroli’ Afrika Utara, atau bahan kulit Italy bersama vanila.
Diisi dalam botol boleh isi semula yang dihiasi corak ikonik, Alta merupakan pelancaran minyak wangi terbesar Bottega Veneta setakat ini dan menawarkan pendekatan seni pembuatan minyak wangi Italy yang lebih luas serta kreatif.
Harga: $410 untuk 100ml
4. Born in Roma Purple Melancholia Donna oleh Valentino Beauty
Bagaimana jika perasaan melankolik (hiba) itu sebenarnya mempunyai aroma yang harum?
Itulah idea di sebalik penghasilan haruman Born in Roma Purple Melancholia Donna, pelancaran terbaharu dalam koleksi produk wangian Valentino Beauty.
Haruman daripada jenis ‘chypre’ berbau buah ini menggandingkan kemanisan buah plum segar, bunga ‘osmanthus’ yang lembut, serta vanila Madagascar yang hangat – sekali gus membawakan profil bauan yang paling kaya dalam koleksi tersebut setakat ini.
Harga: $138 untuk 30ml; $193 untuk 50ml; $275 untuk 100ml
5. Atelier des Fleurs Mediterranean Essences oleh Chloe
Bawa diri anda menikmati keindahan pesisiran pantai Mediterranean yang menyegarkan menerusi peluasan rangkaian koleksi minyak wangi Atelier des Fleurs – yang kini menampilkan empat haruman baharu yang diilhamkan daripada warisan Mediterranean pengasasnya, Gaby Aghion.
Kekal berteraskan unsur tumbuh-tumbuhan, peluasan terbaharu ini menawarkan spektrum bauan yang pelbagai dan unik – haruman berunsurkan tanah dan kayu-kayuan (Sous les Pins); sitrus yang segar (Vert Soleil); kehangatan bunga-bungaan (Sable Lavande); serta aroma buahan (Plage du Figuier).
Harga: $215 untuk 50ml
