Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SPEKTRA SENI

Senyum dalam tangis pelawak

Dunia komedi yang penuh tragedi bukti tidak mudah bikin orang ketawa
Jul 31, 2023 | 05:30 AM



Di sebalik gurau senda si badut dalam sarkas, ada kisah sedih yang disorok daripada pengetahuan ramai.

Di sebalik pelakon komedi cuba menghiburkan penonton di kaca televisyen, hatinya sebenarnya meronta dan dibelenggu dilema kerana pelbagai masalah peribadi yang datang bertimpa-timpa tanpa henti.

Dua senario itu bukanlah yang dibuat-buat dalam satu kisah fantasi. Sebaliknya, pengalaman saya mewawancara badut profesional daripada sarkas antarabangsa dan pelakon komedi tempatan atau seberang Tambak sentiasa penuh dengan cerita sedih ‘senyum dalam tangisan’.

Seorang badut Russia merantau jauh dan bertekad mengelilingi dunia setelah putus cinta dan terasa kebolehannya dalam bidang seni lain seperti lakonan dan nyanyian seakan-akan tidak dihargai hanya kerana wajahnya tidak setampan mana.

Pernah juga saya duduk lama mengamati perkongsian pelakon komedi yang hanya mampu tersenyum depan peminat dan bikin mereka ketawa berdekah-dekah sedangkan hatinya terluka kerana anak-anak yang mengabaikan amanah dan isteri yang tidak mempedulikannya kerana dikatakan sudah tidak lagi membawa hasil lumayan seperti dahulu.

“Apa boleh buat? Ini namanya cubaan! Kasihan...” jelas si pelawak yang cuba memujuk hatinya yang lara dan nasibnya yang malang (mengikut dialog filem P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapok dan Madu Tiga) dalam keadaan masih ingin bergurau. Tuhan sahaja yang tahu betapa peritnya hidupnya yang bak kais pagi makan pagi itu.


Apabila pelawak Bell Ngasri, 43 tahun, atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, dijulang sebagai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di Istana Budaya, baru-baru ini, banyak tanda tanya tentang kehidupan pelawak dan pelakon komedi muncul di fikiran.

Kebanyakan masa, kita sebagai penonton, abaikan golongan pelawak yang menjadi penawar duka lara, stres dan jenuh dengan keadaan sekeliling kita, kerana kita sibuk ‘terkejar-kejar’ artis cantik menawan atau pelakon ‘Abang Sado’ yang sasa dan ‘mencairkan’ hati.

Kalau baca kisah Bell yang menghambakan dirinya pada dunia lakonan selama 37 tahun walau awalnya berasa marah dengan ibu yang mendesaknya terus berlakon, boleh menitis air mata.

Banyak pengorbanan Bell yang mungkin terasa beliau hanya pelawak tempelan pada watak utama dalam sesebuah drama atau filem.

Peranan Bell kebanyakan masa adalah untuk menghilangkan gelisah penonton menerusi wajah selamba dan lakonan bersahajanya.

Beliau menyedari dengan ketinggiannya yang tidak seberapa atau bak pengakuannya dirinya itu ‘ketot’, susah nak cari makan sebagai artis. Sememangnya, orang banyak pandang paras rupa dan personaliti untuk mendorong diri mereka ‘melekat’ tonton pada program membabitkan seseorang artis.

Saya secara peribadi menganggap pelawak adalah antara orang paling bijak di dunia kerana tidak mudah berlawak. Jenaka anda perlu segar dan spontan. Kalau anda rasa ia kelakar tetapi penonton pula bak mengelamun atau tayang muka tak kuasa, alamat misi buat kelakar dan bikin ketawa penonton itu tidak menjadi.

Mengapa Kak Lina Pom Pom dan Rina Nose, dua pengacara Big Stage, dari Malaysia dan Indonesia itu boleh laku? Selain mampu menyanyi dengan baik dan berlakon secara selamba, mereka perlu tangkas wujudkan jenaka yang relevan, terkini dan tidak pernah dibayangkan orang.


Di Amerika, pelawak paling kaya-raya yang sudah mempunyai hasil pendapatan hampir AS$1 bilion ($1.3 bilion) adalah Jerry Seinfeld, Larry David dan Matt Groening. Semuanya sudah berusia tetapi masih ligat mencari rezeki.

Di Malaysia pula, pelawak diberi bermacam peluang menonjolkan diri sebagai pengacara, pelakon ‘pecah panggung’ ataupun diberi tawaran buat album baru. Ramai yang jadi deejay atau bintang filem yang buat anda tidak kering gusi seperti Nabil Ahmad, Johan Raja Lawak dan Zizan Razak.


Ketika ditemui baru-baru ini di sesi promosi filem Polis Evo 3, Zizan berkata harapannya adalah menaiktarafkan kedudukan pelawak daripada peraduan realiti demi membuktikan pelawak tidak harus dipandang sepi kerana boleh berlakon dan menyanyi sama baik atau lebih baik daripada artis lain.


Tetapi hakikat dunia memanglah semua yang nampak ketawa tidak sebenar-benarnya bahagia.

Terdapat paradoks ‘badut sedih’ yang mengaitkan secara ironi komedi dengan gangguan mental seperti kemurungan dan keresahan berlebihan.

Sesetengah pelawak memiliki ciri serupa iaitu rasa terpencil dan tidak dihargai dalam kehidupan seharian. Komedi pula dijadikan ruang untuknya membebaskan ketegangan, meluputkan rasa tertindas secara fizikal dengan melontarkan dialog komedi.

Beberapa siri eksperimen psikologi yang kali pertama diterbitkan pakar psikologi Seymour Fisher pada 1981 menunjukkan terdapat ciri-ciri khusus atau eksklusif pada pelawak yang tiada pada pelakon biasa.

Satu kajian berbeza oleh Kaufman dan Kozbelt yang berjudul The Tears of a Clown: Understanding Comedy Writers memberi takrifan bahawa sedang komedi bertindak sebagai mekanisme menangani masalah dan menyembunyikan trauma, ia juga mungkin boleh menggalak pelawak menggunakan humor sebagai satu cara membangun persahabatan dan diterima masyarakat sekeliling.


Saya tinjau kisah riwayat beberapa pelawak terkenal dunia seperti Charlie Chaplin dan Harold Lloyd – dua dalam ramai yang menghiburkan saya di kaca televisyen (menerusi keratan filem ‘bisu’) setiap kali tamat tugasan sekolah di peringkat sekolah rendah. Mereka tidak hidup senang bahkan wujud tragedi dalam perjalanan hidup mereka.

Chaplin meninggal dunia pada usia 88 tahun sekitar 1977 di Switzerland, pernah terjerat dalam ketagihan alkohol, melalui kehidupan berumah tangga yang tidak bahagia bahkan pernah terjerat dalam skandal menjadi ‘orang ketiga’.

Gara-gara marah kerana Chaplin menggoda isterinya, seorang lelaki tersilap menembak mati individu lain yang disangkanya Chaplin.

Mayat Chaplin dicuri dari tanah perkuburan dan hilang selama tiga bulan sebelum dikembalikan. Ia memang peristiwa yang tragik dan tidak pernah dibayangkan. Sungguhpun begitu, Chaplin tetap unggul dan dikenali ramai sebagai ikon dengan misai kontot dan topi ‘bowler’ serta tongkat dan pergerakan terkedek-kedek.

Lloyd yang meninggal dunia pada 1971 di Beverly Hills, California, pada usia 71 tahun, pernah kehilangan beberapa jari-jemarinya ketika menjalani sesi bergambar untuk promosi kerja seninya. Jari itu terbakar oleh ledakan bom kecil yang disangka tidak berbahaya.

Namun, tragedi dalam hidup Lloyd itu mungkin terluput daripada ingatannya kerana beliau hingga ke hari ini diingati sebagai pelawak filem ‘bisu’ Safety Last! (1923) yang tergantung pada jam menara bak di penghujung nyawa dalam filem ringkas yang dibintanginya.


Dunia komedi itu adalah dunia yang serius sebenarnya. Kebanyakan pelawak yang kelakar dan mempunyai peminat sebenarnya serius membina kerjaya mereka dan sanggup pecah kepala dan perah otak untuk menghasilkan dialog yang mencuit hati penonton.

Mungkin tiba masanya untuk dunia hiburan setempat membuka gelanggang pertandingan komedi atau mengusahakan bengkel komedi untuk dapatkan bakat-bakat baru bagi industri lawak jenaka mendatang.

Ramai budak kelakar masa kini yang tersorok dalam Instagram dan TikTok kerana kandungan banyak disajikan untuk tatapan generasi sebaya mereka.

Kita dibanjiri pelakon dan penyanyi muda tetapi bagaimana pula pelawak muda dengan ‘punch line’ yang akan sentiasa dikenang sampai bila-bila?


Pada zaman P. Ramlee, yang menariknya terdapat ramai pelakon pembantu atau ‘ekstra’ yang kita tidak ketahui identitinya tetapi ingat dialog dan gerak-gerinya.

Sebagai contoh, mak cik kurang pendengaran yang diingati sebagai isteri Pak Mat Tempe mahupun Hang Kebun yang kurus melidi dan benggali jaga dalam Seniman Bujang Lapok yang sempat menyindir tentang adab atau perangai tidak baik sesetengah orang Melayu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >