Pipi yang disolek dengan pemerah pipi (blusher) tebal telah sekian lama mendapat tempat dalam trend solekan, ini termasuk boyfriend blush, strawberry girl makeup, dan hangover blush, yang masing-masing pernah popular suatu ketika dahulu.

Bahkan, fenomena penggunaan pemerah pipi secara berlebihan ini menjadi sangat meluas sehingga muncul istilah ‘blush blindness’.

‘Blush blindness’ merujuk kepada keadaan apabila seseorang semakin terbiasa memakai pemerah pipi secara berlebihan, sehingga tidak lagi menyedari betapa tebal atau menonjolnya pemerah pipi yang digunakan.

Kini, keadaan tersebut mula berubah dengan kemunculan gaya ‘anti-blush’ yang mengutamakan penggunaan pemerah pipi secara lebih ringan.

Juru solek selebriti, Lasalle Lee, menggambarkan trend ini sebagai “pendekatan lebih lembut dan ringan”, menggunakan rona warna yang mirip dengan warna asli kulit.

Konsepnya mengutamakan ton warna merah jambu neutral atau salmon-nude, berbanding merah muda terang, merah jambu jingga ‘coral’, ataupun warna-warna dengan tahap kepekatan yang tinggi.

Kuncinya terletak pada kemasan yang ringan – penggunaan warna terlalu menyerlah atau solekan terlalu tebal berisiko mengembalikan gaya pemerah pipi tradisional atau menyebabkan solekan kelihatan tidak sekata.

Perubahan ke arah warna lebih lembut ini juga seiring dengan penampilan ‘clean girl’ dan gaya solekan minimalis yang popular di Korea Selatan.

Rona lembut yang kelihatan semula jadi ini sering digayakan oleh selebriti Korea termasuk Go Youn Jung, Kim Ji Won, dan Moon Ga Young, yang memadankan rona pemerah pipi lembut dengan penampilan kulit yang segar dan halus.

Menurut Lasalle, rona warna lebih lembut sentiasa menjadi pilihan kerana ia mampu menghasilkan kemasan yang kelihatan semula jadi tanpa menjadikan wajah kelihatan ‘berat’ dengan solekan.

Selepas bertahun-tahun warna-warna terang dan pekat menguasai dunia solekan, “perubahan memang tidak dapat dielakkan”, jelas Lasalle.

Aspek paling menarik mengenai trend terbaharu ini adalah ia tidak memerlukan sebarang penambahan produk baharu.

Menurut Lasalle, cara paling mudah untuk mengenakan gaya ‘anti-blush’ adalah dengan mencampurkan kontur cecair bersama pemerah pipi cecair kegemaran anda sehingga menghasilkan tona lembut yang sesuai dan mirip dengan warna kulit anda.

Tiada teknik penggunaan khusus yang diperlukan – cukup sekadar mengoles campuran berkenaan ke wajah seperti pemerah pipi biasa.

Dari segi kemasan pula, Lasalle mengesyorkan tekstur satin sebagai pilihan yang mudah dan menawan.

“Ia paling mudah digunakan,” kata Lasalle, kerana produk pemerah pipi dengan tekstur satin menghasilkan kemasan lembut serta anggun, yang seimbang antara kesan matte (kusam) yang malap dan kesan dewy (lembap) yang berkilat.

Walau bagaimanapun, kemasan yang ideal tetap bergantung pada jenis kulit dan cita rasa peribadi anda.

Dalam kata lain, gaya ‘anti-blush’ tidak bermaksud meninggalkan penggunaan pemerah pipi sepenuhnya, tetapi ia mengutamakan kecantikan semula jadi kulit dan menggunakan solekan secara ringan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti