Topik diikuti
Pergi ke BHkuBedak hijau jawapan kepada masalah kemerahan kulit
Bedak hijau jawapan kepada masalah kemerahan kulit
Bedak hijau jawapan kepada masalah kemerahan kulit
Huda Beauty, jenama kosmetik popular yang diasaskan oleh Huda Kattan, kini melancarkan bedak tabur berwarna hijau susulan ‘setting powder’ rona merah jambu, ungu, dan biru,
‘Setting powder’ adalah kunci rahsia kosmetik untuk memastikan solekan cecair dan krim kekal sempurna di wajah.
Jenama dari Dubai, Amirah Arab Bersatu (UAE) ini menampilkan ‘Easy Bake Loose Baking & Setting Powder’ dengan rona hijau pudina berinspirasi ‘matcha’.
Sama ada kerana namanya, ‘Matcha Milk Cake’, sesuai dengan minuman yang sedang popular, atau rupanya yang menawan serba hijau, produk ini menarik perhatian meluas di alam maya sejurus pelancarannya pada 12 Mac, lapor majalah Fzine.
Walaupun bedak hijau kelihatan luar biasa, ia tidak sepelik yang disangka.
Warna hijau sebenarnya berkuasa meneutral rona merah pada kulit. Jika masalah kemerahan sering melanda wajah, produk ini mungkin jawapan yang anda cari.
Namun, timbul persoalan: Adakah bedak hijau ini benar-benar satu keperluan untuk semua?
Jawapan mudahnya, ia bergantung pada kehendak kulit anda.
Berikut panduan aplikasi bedak hijau Huda Beauty untuk memastikan wajah kekal menawan, jauh daripada rupa kehijauan watak popular teater muzikal Wicked, kisah latar belakang The Wizard of Oz yang terkenal dengan figura berwarna hijau.
CARA GUNA BEDAK ‘MATCHA MILK CAKE’
1. Menutup kemerahan kulit yang ketara
Bagi pemilik kulit sensitif seperti rosasea, atau wajah yang mudah meradang dan melecet, anda pasti memahami keajaiban magis pembetul warna serta penyamar noda rona hijau.
Rahsianya terletak pada teori warna: Merah dan hijau adalah pasangan pelengkap yang duduk bertentangan antara satu sama lain di dalam roda warna.
Apabila rona bertentangan ini bertindih, ia secara semula jadi meneutralkan kemerahan, sekali gus mengimbangi rona kulit agar kelihatan lebih sekata.
Inilah prinsip asas yang diaplikasikan dalam inovasi bedak tabur terkini keluaran Huda Beauty ini.
Jika wajah anda sering kemerahan dan anda mendambakan kemasan yang tampak semula jadi atau ‘matte’, bedak hijau ini adalah huraian tepat.
Walau bagaimanapun, memandangkan rona ‘Matcha Milk Cake’ ini bersifat cerah, ia paling ideal buat mereka yang memiliki rona kulit putih gading hingga sederhana.
2. Selaraskan rona solek yang kurang sempurna
Pernahkah rona bedak asas atau penyamar noda kegemaran anda terasa terlalu hangat?
Bedak tabur hijau ini adalah huraian mudah.
Ia bertindak meneutral rona kemerahan, memastikan solekan anda sepadan dengan rona kulit sebenar.
Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membolehkan anda terus menggunakan produk kesayangan tanpa rasa membazir.
Ini ialah cara terbaik menjimatkan wang dan anda juga tidak perlu membuang produk kegemaran tersebut.
3. Menyamar cacat cela dan tekstur kulit
Jika wajah anda dilanda jerawat kemerahan atau tekstur kulit yang sering kelihatan meskipun dengan solekan, bedak hijau ini adalah penyelamat rahsia.
Bedak ‘setting’ hijau Huda Beauty menambah lapisan pembetulan warna yang menakjubkan.
Rumusan istimewanya bukan sahaja menyamarkan liang pori dan menghaluskan tekstur kulit, malah asas pencerahannya turut meratakan rona wajah.
Anda akan menikmati kemasan sempurna tanpa perlu menyapu bedak asas atau penyamar noda yang tebal – tiada lagi solekan yang terasa berat.
4. Memadam kemerahan wajah
Mengikut prinsip teori warna, sapuan nipis bedak hijau ini pada wajah dan leher mampu menyamarkan kemerahan kulit dengan berkesan. Ia amat sesuai untuk kemasan segera di luar.
Namun, perlu diingat, peminat Huda buat masa ini masih perlu membawa bekas bersaiz penuh kerana versi mini mudah alih belum dilancarkan.
5. Ideal untuk solekan ringan
Bedak ‘Matcha Milk Cake’ ini direka untuk mereka yang memilih solekan senipis mungkin, jauh daripada tekstur bedak asas yang tebal.
Jika anda menggemari penampilan ringan tetapi masih ingin membetulkan rona kemerahan dan menyamarkan cela, ia adalah huraian kecantikan terkini yang tepat.
Ia menawarkan fungsi tiga-dalam-satu: ‘Mengunci’ solekan, menghaluskan tekstur kulit, dan meneutral rona merah, sekali gus memastikan rutin kecantikan kekal ringkas dan menawan.
