Bagi Cik Jamaliah Abdul Rahim, 61 tahun, setiap detik bersama keluarga kini amat bermakna.

Sedang menjalani rawatan kemoterapi selepas kanser usus besar atau rektosigmoid berulang, beliau hanya mempunyai satu hajat, iaitu meluangkan masa berkualiti bersama suami serta tiga anaknya menerusi percutian di Mandai Banyan Tree.

Hajat itu menjadi kenyataan pada awal bulan Julai hasil usaha Ambulance Wish Singapura (AWS), sebuah badan amal yang membantu memenuhi hajat terakhir pesakit yang menghidap penyakit terminal.

Sejak ditubuhkan pada Mei 2019, AWS telah memenuhi 646 hajat dan memberi manfaat kepada lebih 9,800 individu, termasuk pesakit, ahli keluarga serta para sukarelawan.

Bagi meneruskan usaha itu, organisasi berstatus Institusi Bertaraf Awam (IPC) tersebut kini memperkenalkan kempen pengumpulan dana Cakes for a Cause, yang menghimpunkan 18 kedai kek tempatan dan lebih 40 pilihan kek artisanal pada 11 Julai.

Pengarah Eksekutif AWS, Cik Marya Malek, berkata idea menganjurkan acara itu tercetus daripada fenomena cake picnic yang semakin mendapat sambutan, sambil menggabungkan konsep tersebut dengan misi organisasi.

“Kami menganjurkan Cakes for a Cause kerana cake picnic merupakan sesuatu yang sedang terkenal dan kami melihatnya sebagai satu cara pengumpulan dana yang lebih kreatif serta mampu melibatkan masyarakat dengan lebih meluas.

“Moto kami ialah Fulfilling Wishes, Celebrating Lives. Kek sering menjadi sebahagian daripada sambutan kehidupan dan saat-saat istimewa pesakit kami. Di situlah wujudnya persamaan antara acara ini dengan apa yang kami lakukan setiap hari,” tambahnya lagi.

Menurut beliau, hasil jualan tiket acara itu disalurkan bagi menampung kos operasi dan program memenuhi hajat pesakit.

Beliau menambah, AWS tidak menjalankan penilaian kewangan terhadap pesakit kerana memahami cabaran yang dihadapi mereka ketika melalui fasa penjagaan akhir hayat.

Dalam kalangan 18 pembuat kek yang mengambil bahagian ialah Bites & Crumbs Dessert, sebuah perniagaan bakeri tempatan yang diasaskan oleh Cik Fatin Suhaila Rosle pada 2015.

Cik Fatin berkata beliau tidak terfikir begitu lama untuk menyertai inisiatif tersebut kerana pernah mengambil bahagian dalam beberapa acara cake picnic sebelum ini dan percaya makanan mampu menyatukan masyarakat.

“Sebagai pembuat kek, saya suka bagaimana acara seperti ini membawa orang ramai bersama-sama, dan ia menjadi lebih bermakna apabila mengetahui ia menyokong satu tujuan yang begitu penting.

“Kami percaya setiap orang boleh memainkan peranan dalam membantu masyarakat. Penyertaan ini mungkin kecil, tetapi kami berharap ia dapat menyumbang kepada sesuatu yang jauh lebih besar,” katanya kepada Berita Harian.

Untuk acara itu, beliau membawa dua perisa khas, Honey Orange Pecans dan Pandan Calamansi Crunch, yang dipilih kerana rasanya ringan serta sesuai dikongsi dalam suasana santai.

Menurut beliau, Bites & Crumbs sendiri bermula dengan semangat memberi kembali apabila pernah menganjurkan kempen kutipan dana untuk sebuah rumah kebajikan kanak-kanak melalui jualan kek.

“Sebagai pembuat kek, kami biasanya menjadi sebahagian daripada detik paling menggembirakan dalam hidup seseorang. Namun makanan juga mempunyai keupayaan memberi keselesaan dan menghubungkan manusia ketika melalui saat yang suka,” luah Cik Suhaila.