Pelayaran santai kini bukan lagi dianggap satu aktiviti eksklusif untuk mereka yang memiliki kapal layar sahaja. Malah, sesiapa pun kini boleh menyewa kapal layar untuk beriadah di hujung minggu bersama keluarga dan teman-teman.

Menurut beberapa pengendali kapal layar atau lebih dikenali sebagai yacht, aktiviti ini semakin mendapat perhatian sejak pandemik Covid-19 melanda disebabkan keterbatasan perjalanan ke luar negara.

Tarikan laut luas

Bagi pemilik dan pengendali kapal layar Waga Mari, Kapten Martijn Piket, 55 tahun, kebebasan di tengah lautan merupakan daya penarik utama.

“Di lautan luas, pelanggan kami boleh berenang, berkayak, boleh juga bawa makanan sendiri dan menikmati suasana santai, jauh dari pandangan orang untuk sekurang-kurangnya lima jam. Ini adalah tarikan utama pelayaran seperti ini,” kata kapten yang berasal dari Belanda itu.

Kapten Martijn menerima sekitar 3 hingga 4 tempahan pada setiap hujung minggu yang merangkumi pelanggan keluarga, korporat, dan mereka yang inginkan kelainan. Malah, pada musim cuti sekolah akan datang, beliau bakal menganjurkan pelayaran khas yang padat dengan aktiviti sukan laut untuk remaja berusia sembilan hingga 15 tahun.

Mengimbau pengalaman lalu, Kapten Martijn berkongsi satu detik indah: “Antara kenangan manis yang telah disaksikan Waga Mari adalah apabila kami diminta membuat persiapan untuk hari lamaran. Kami bertungkus-lumus menyediakan tempat, termasuk memasangkan layar dengan tulisan besar ‘Will You Marry Me?’, menjadikannya satu detik romantis yang tidak mudah dilupakan.”

Kemudahan dan kapasiti

Kapal layar Waga Mari dilengkapi dengan pelampung, kayak, bilik tidur, bilik mandi, serta dapur kecil yang lengkap. Penumpang juga boleh memilih untuk berehat di ruang makan tertutup atau di ruang terbuka.

Perkhidmatan ini biasanya dibahagikan kepada dua sesi:

Sesi Pagi: Pilihan popular bagi peminat sukan laut.

Sesi Petang: Pilihan bagi mereka yang ingin menikmati keindahan senja dan matahari terbenam.

Setiap perjalanan biasanya mengambil masa antara empat hingga lima jam. Dari segi kos, harga bergantung kepada jumlah penumpang dan saiz kapal. Waga Mari boleh menampung sehingga 25 orang dan aktiviti lain seperti Jet Ski juga boleh disewakan jika ada permintaan.

Pilihan untuk kumpulan besar

Untuk kumpulan yang lebih besar, Pengurus Pembangunan Perniagaan dari Valencia Yachts, Encik Khairol Azhar, 33 tahun, menawarkan tiga katamaran yang boleh memuatkan sehingga 42 penumpang, serta sebuah Star of the Sea Mega Yacht bagi kapasiti sehingga 120 orang.

Valencia Yachts menawarkan katamaran luas, sepanjang 47 kaki seperti ‘Maximum 2’ yang boleh menampung sehingga 42 orang sesuai untuk acara yang melibatkan lebih ramai orang seperti sambutan hari jadi.
Valencia Yachts menawarkan katamaran luas, sepanjang 47 kaki seperti ‘Maximum 2’ yang boleh menampung sehingga 42 orang sesuai untuk acara yang melibatkan lebih ramai orang seperti sambutan hari jadi. - Foto VALENCIA YACHTS
Katamaran menawarkan kestabilan yang lebih baik, ruang yang jauh lebih luas, serta draf yang lebih cetek untuk berlabuh lebih dekat ke pantai, berbanding dengan kapal layar kecil.
Katamaran menawarkan kestabilan yang lebih baik, ruang yang jauh lebih luas, serta draf yang lebih cetek untuk berlabuh lebih dekat ke pantai, berbanding dengan kapal layar kecil. - Foto VALENCIA YACHTS

“Kapal layar kami telah menjadi lokasi untuk pelbagai acara: aktiviti korporat, sambutan hari jadi, malah perkahwinan. Selain privasi yang terjamin, tetamu boleh berhibur dengan karaoke dan barbeku sambil menikmati angin laut,” jelas Encik Khairol.

Walaupun tempahan hujung minggu lebih padat, operasi tetap berjalan pada hari biasa. Namun, beliau turut mengingatkan:

“Berhati-hatilah dengan pengendali yang menawarkan harga murah untuk kapasiti besar. Kapal yang kecil mungkin mengehadkan pergerakan dan menjejaskan keselesaan anda.”

Pengalaman pelanggan dan kos

Cik Rozita Klaseboer, 53 tahun, seorang pelanggan setia, amat menggemari udara segar dan bayu laut.

“Saya pernah membawa keluarga dan teman-teman ke sini. Ini adalah aktiviti unik di Singapura yang sering saya sarankan. Mereka yang mencintai alam semula jadi pasti akan menghargai saat-saat mentari terbenam,” ujarnya.

Mengenai soal harga, Cik Rozita menjelaskan: “Jika pergi bersendirian, memang mahal. Tetapi, jika dikongsi, setiap orang hanya perlu membayar sekitar $160... menjadi lebih dimampui dan boleh dilakukan sekali-sekala.”

Cik Rozita Klaseboer rasa nyaman apabila mengikuti pelayaran bersama keluarga atau teman-teman.
Cik Rozita Klaseboer rasa nyaman apabila mengikuti pelayaran bersama keluarga atau teman-teman. - Foto Ihsan ROZITA KLASEBOER

Pengembaraan ‘Bespoke’ yang Mewah

Bagi mereka yang mempunyai bajet lebih besar, Pengarah Globus Odyssey, Encik Adli Yashir Kuchit, menjelaskan bahawa syarikatnya tertumpu kepada pengembaraan bespoke (tempahan eksklusif) mengikut kehendak pelanggan.

“Kami merealisasikan apa sahaja yang diinginkan pelanggan,” katanya. Antara permintaan yang pernah diuruskan termasuklah membawa klien ke Bintan untuk bermain golf, menganjurkan lamaran dengan pertunjukan bunga api di luar perairan Singapura, serta majlis akad nikah diikuti penginapan bermalam di atas kapal.

Menurut Encik Adli, kos bagi perkhidmatan eksklusif ini boleh bermula sekitar $5,000 untuk sesi empat jam, dan boleh mencecah hingga $50,000 bagi acara yang benar-benar istimewa.

Info Tempahan

Waga Mari Yacht Charters, Kapten Martijn Piket: 96406311 (Untuk pelayaran santai sehingga 25 orang)

www.wagamari.com/pages/holiday-camps

Valencia Yachts Encik Khairol Azhar: 8022-3691 (Untuk kumpulan 40 orang ke atas)

www.valenciayachts.com

Globus Odyssey Encik Adli Yashir: 9430 8505 (Untuk tempahan khas korporat dan lain-lain)

https://www.globusodyssey.com