Walaupun sering dikaitkan dengan kesesakan dan kos yang tinggi, musim panas tetap menawarkan peluang percutian berbaloi buat pelancong Singapura.

Kuncinya adalah perancangan yang bijak, demikian laporan Smarter Summer oleh Skyscanner.

Dengan 91 peratus rakyat Singapura merancang untuk melancong, dan 35 peratus masih gigih mencari tawaran terbaik, permintaan perjalanan jelas kukuh.

Ini membuka ruang lebar untuk penjimatan, asalkan dirancang dengan teliti.

Menurut Encik Brendan Walsh, Pakar Trend Perjalanan dan Destinasi Skyscanner, dalam persekitaran global yang semakin kompleks, perancangan awal dan strategik menjadi semakin penting.

“Di tengah gelombang perubahan, menyemak harga semasa dan kekal fleksibel dari segi masa serta destinasi adalah kunci untuk mendapatkan nilai terbaik.

Gabungan bijak antara pilihan syarikat penerbangan dengan lapangan terbang boleh merangka perjalanan yang paling sesuai.

Paling utama, pelancong diseru agar sentiasa mengikuti maklumat terkini dan nasihat perjalanan sebelum membuat sebarang tempahan,” katanya.

Dalam konteks ini, “musim panas” merujuk kepada tempoh percutian tahunan dari Jun hingga Ogos, yang bertepatan dengan cuti sekolah di rantau ini, serta jadual percutian sebahagian sekolah antarabangsa.

Laporan tersebut turut menggariskan beberapa strategi utama untuk membantu pelancong berjimat sepanjang musim ini.

Merancang masa perjalanan

Walaupun 18 peratus pelancong terikat dengan cuti sekolah atau komitmen lain, peluang untuk mendapatkan tambang lebih murah tetap ada.

Skyscanner mendapati minggu yang bermula 10 Ogos menawarkan nilai penerbangan terbaik.

Ini menunjukkan bahawa biarpun semasa musim puncak, masih terdapat tempoh tertentu yang lebih berpatutan.

Malah, destinasi popular juga boleh menjadi lebih murah, bergantung pada masa perjalanan anda.

Kos kekal kebimbangan utama

Hampir 59 peratus pelancong mengakui harga penerbangan merubah rancangan mereka, memaksa ramai untuk menimbang semula atau mengubah suai perjalanan.

Walau bagaimanapun, 42 peratus berpendapat, kelonggaran tarikh dan destinasi boleh membantu mengurangkan kos.

Destinasi yang menawarkan nilai hebat dan berdekatan dari Singapura, termasuk Langkawi (sekitar $127), Krabi (sekitar $173) dan Cebu (sekitar $224).

Trend ke arah destinasi kurang sesak

Semangat meneroka destinasi yang belum dijejaki melonjak, dengan 76 peratus pelancong — dan 83 peratus Gen Z — berminat mengunjungi tempat yang asing bagi rakan atau keluarga.

Lebih separuh mencari lokasi yang lebih tenang dan kurang sesak.

Pilihan alternatif yang disarankan termasuk Johannesburg, Venice dan Urumqi, lokasi yang kurang menjadi tumpuan, namun menjanjikan pengalaman yang kaya dan berbeza.

Cabaran percutian berkumpulan

Merancang percutian bersama-sama kekal menjadi tugas yang membebankan.

Sebanyak 58 peratus menganggapnya lebih memeningkan daripada merancang perkahwinan, dan 56 peratus menyatakan ia lebih rumit daripada memulakan pekerjaan baharu.

Isu utama ialah menyelaraskan tarikh perjalanan (40 peratus) dan menguruskan pilihan pengangkutan, penginapan dan aktiviti yang pelbagai (31 peratus).

Bagi memudahkan perancangan ini, Skyscanner mencadangkan penggunaan penapis hotel untuk menyesuaikan pilihan penginapan kumpulan, meliputi harga, susun atur bilik, kemudahan dan pilihan pembatalan percuma.

Ke manakah anda ingin bercuti pada musim panas ini? (Mengikut dapatan laporan Smart Summer oleh Skyscanner)

5 Destinasi paling popular

1. Bangkok, Thailand

2. Tokyo, Jepun

3. London, United Kingdom

4. Bali, Indonesia

5. Seoul, Korea Selatan

5 Destinasi paling mesra bajet

1. Langkawi, Malaysia

2. Ipoh, Malaysia

3. Krabi, Thailand

4. Cebu, Filipina

5. Medan, Indonesia

Destinasi menarik yang ‘kurang’ dikunjungi

1. Johannesburg, Afrika Selatan

2. Gold Coast, Australia

3. Venice, Italy

4. Urumqi, China

5. Stockholm, Sweden