Peminat Raja Bollywood, Shah Rukh Khan, pastinya teruja menantikan bintang itu kembali ke layar perak dengan meminjamkan suaranya dalam filem versi Hindustan, Mufasa: The Lion King.
Beliau membawa watak utama sebagai singa bernama Mufasa dalam filem yang akan ditayangkan pada 20 Disember.
Bagaimanapun, Shah Rukh, 59 tahun, lebih teruja mempromosikan filem itu kerana ia bak projek keluarga, yang turut melibatkan anak-anaknya.
Aryan, anak sulungnya yang berusia 27 tahun, akan meminjamkan suaranya pada watak Simba, manakala anak bongsunya, AbRam, 11 tahun, akan menghidupkan watak Mufasa semasa kecil.
Di Instagram, Shah Rukh berkongsi pengalamannya bekerja dengan anak-anaknya dalam projek istimewa itu.
Sebelum tayangan filem dibuat di serata pawagam dunia, pihak Walt Disney Studios telah berkongsi beberapa klip video Shah Rukh membincangkan plot filem itu dan pengalaman menjayakan projek berkenaan.
“Saya tak sangka kededua anak saya mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam projek ini yang memerlukan mereka meminjamkan suara mereka pada watak-watak singa ini.
“Pada usia muda, mereka sudah bersedia belajar sesuatu yang sulit dalam dunia perfileman,” ujar Shah Rukh tentang pembabitan Aryan dan AbRam.
Shah Rukh juga mendapati Aryan lebih lancar bertutur dalam bahasa Hindi sebab dididik dengan bahasa tersebut dari kecil, berbanding AbRam yang lebih selesa berbahasa Inggeris di rumah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg