Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sharifah Zarina bak ditusuk ‘Dawai’ dikritik sumbang

Berpendapat telah lakukan yang terbaik dan tetap bangga dengan nyanyian
Nov 24, 2023 | 05:30 AM



Baru-baru ini, tular di aplikasi media sosial TikTok, video penyanyi Malaysia, Sharifah Zarina menyanyikan lagu Dawai semasa satu persembahan Konsert Ini Baru Bintang 4.


Kelihatan banyak komen negatif warganet yang mengecam cara penyanyi yang terkenal dengan lagu, Langit Ketujuh.


Rata-rata mereka berasa nyanyian Zarina, 42 tahun, sumbang dan beliau telah memilih lagu yang salah untuk dibawakan pada konsert itu. 

Lagu Dawai merupakan lagu runut bunyi rasmi (OST) bagi filem Indonesia, Air Mata di Ujung Sajadah, yang asalnya dinyanyikan Fadhilah Intan.


Video lagu tersebut mempunyai 21 juta tontonan di YouTube. 

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Zarina berkongsi beliau tetap berpuas hati dengan persembahannya pada malam itu.


Walaupun kali terakhir muncul membuat persembahan pada 2021 bagi rancangan Famili Duo, Zarina berpendapat beliau telah melakukan yang terbaik dan bangga dengan nyanyiannya.


“Saya telah pergi kelas vokal selama empat sesi sebelum membuat persembahan itu untuk mengasah nyanyian saya. Saya telah lama tidak menyanyi walaupun di rumah. 

“Saya membuat persembahan pada konsert itu kerana menghormati undangan daripada saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM),” ujar beliau yang merupakan naib juara Bintang RTM 1999.


Zarina, yang juga alumni peraduan realiti, Gegar Vaganza (Musim Pertama) berkongsi bahawa pemilihan lagu Dawai itu merupakan pilihan beliau sendiri dan atas perbincangan dengan guru vokal beliau.


“Saya meminati lagu tersebut dan saya inginkan kelainan. Saya perlu nyanyikan dua lagu dan lagu, Langit Ketujuh merupakan lagu yang keluar 18 tahun lalu.


“Lagu-lagu yang saya sering nyanyikan merupakan lagu yang agak lama, jadi saya mahukan sesuatu yang berbeza,” kongsi Zarina, ibu tiga anak.

Menurutnya, beliau kini tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian dan lebih memberi tumpuan kepada perniagaan makanan iaitu syarikat katering, Thals Food and Catering.

Maka itu, beliau tidak termakan dengan komen-komen warganet. 

“Saya bukan hendak memasuki pertandingan atau mewakili Malaysia. Warganet beri komen seakan saya masih aktif dalam industri muzik. 

“Mengapa hendak bandingkan saya dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Dayang Nurfaizah yang turut serta dalam konsert itu? Saya tidak mahu bersaing dengan sesiapa,” ujar Zarina. 

Konsert Ini Baru Bintang bertujuan meraikan bakat-bakat yang tercipta menerusi rancangan realiti di saluran RTM sempena penjenamaan semula Bintang RTM 2024.


Mengulas tentang komen negatif warganet, Zarina berkata beliau telah membalas komen-komen yang mengecam persembahannya.

“Saya akan membalas komen-komen yang tidak sopan kerana tidak tahu seberapa tinggi ilmu warganet tersebut tentang muzik.

“Jika saya ingin tunjukkan bakat, saya boleh gunakan platform media sosial saya untuk membuat video nyanyian,” kata beliau. 

Zarina yang kali terakhir mengeluarkan lagu, Pernah Bahagia pada 2019, berkata beliau tiada perancangan untuk mengeluarkan lagu baharu.


Beliau turut berkongsi bahawa beliau juga tiada perancangan untuk membuat ‘comeback’ sebaliknya memberi dorongan kepada anaknya, penyanyi, Athalia Buswani yang kini di bawah naungan Universal Music Malaysia.

Namun, Zarina telah menerima tawaran berlakon bagi drama 13 episod yang bakal ditayangkan di TV3 Malaysia.


“Saya turut memikirkan jikalau saya ada masa untuk menjalani penggambaran selama 45 hari kerana sibuk dengan perniagaan yang saya mulakan sejak 2008.

“Namun saya menerima tawaran itu kerana ia sesuatu yang berbeza daripada apa yang saya pernah lakukan,” ujar beliau.

Beliau berasa kejadian tersebut akan dijadikan pengalaman baginya.

Ia memberinya gambaran bagaimana warganet zaman kini berbanding dahulu. 

Bergerak ke hadapan, Zarina akan memikirkan setiap undangan nyanyian yang ditawarkan. Beliau akan berunding dengan pihak penerbitan atau penganjur tentang lagu yang sesuai beliau bawakan di atas pentas. 

Zarina turut berkongsi dengan BH yang beliau tidak terganggu dengan gelaran ‘one-hit wonder’ disebabkan kejayaan hanya satu lagu sahaja iaitu Langit Ketujuh ciptaan Dr Azmeer sepanjang kerjayanya.


“Saya tidak kisah jika dilabel ‘one-hit wonder’ atau artis sendu. Saya tidak termakan dengan kata-kata warganet. Ia tidak mematahkan semangat saya kerana saya berusaha dan bekerja keras sendiri,” kata beliau. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >