Pelakon Bollywood, Shilpa Shetty, memang lantang bersuara dan tahu apa yang ingin disampaikan kepada media agar orang ramai berusaha mengambil tahu tentang perkembangannya dari masa ke masa.

Shilpa, 48 tahun, tidak pernah rasa tertekan dengan tuntutan trend terkini dalam dunia perfileman dan tahu dirinya sudah bekerja keras untuk mencapai status yang boleh dibanggakan di Bollywood.

Menerusi satu wawancara majalah Filmfare, Shilpa yang dikenali kerana tubuh langsing dan ketangkasannya menari, berkongsi tentang visinya kini setelah berhenti seketika daripada dunia perfileman selama lapan tahun.

Soalan (S): Kita lihat lakon anda dalam filem yang memuaskan hati seperti ‘Sukhee’ dan ‘Indian Police Force’. Apakah yang membawa pada peralihan ini?

Shilpa: Pilihan yang saya buat adalah berdasarkan apa yang ditawarkan kepada saya.

Saya memilih filem terbaik daripada beberapa filem yang ditawarkan kepada saya. Jadi bukannya saya ditawarkan peranan yang hebat sebab pihak penerbitan mahu saya menjayakannya.

Tapi memandangkan saya masih lagi bertahan selama 30 tahun dalam dunia seni, mungkin saya telah melakukan sesuatu yang baik sehingga diingati hingga hari ini.

Kadangkala ada yang terlupa saya pernah berlakon dalam filem, Dhadkan, Phir Milenge, Life in a Metro dan Apne. Justeru, saya telah membawakan banyak peranan dalam kerjaya saya sebelum saya berehat selama lapan tahun atas pilihan saya sendiri.

Justeru, memandangkan saya kini kembali, ia adalah fasa menarik bagi saya sebagai artis kerana kandungannya kini berbeza. Penontonnya juga berlainan. Saya juga melihat pelakon wanita diberi peranan lebih penting dan berisi kini.

Dahulu, sesebuah filem perlu dijual sebagai filem wirawati atau filem seni sebelum wanita ditonjolkan. Keadaan kini berbeza apabila ada kesaksamaan.

S: Apakah percutian lapan tahun buatkan anda risau tentang kehilangan sesuatu dalam pekerjaan?

Shilpa: Saya hidup hari demi hari dengan niat yang ikhlas. Saya gembira saya tidak lagi terlibat dalam industri perfileman.

Saya beralih pada televisyen. Selagi ramai mengenali saya sebagai Shilpa Shetty, pelakon filem, saya gembira penonton televisyen juga menghargai kemahiran saya.

Saya buat macam-macam, untuk televisyen, radio dan wadah penstriman. Saya juga siapkan bahan untuk YouTube dan memiliki aplikasi saya sendiri.

Anda boleh cintai atau benci saya tetapi anda tidak boleh ketepikan saya. Saya ada di mana-mana.

S: Anda dikenali kerana kecergasan anda. Bagaimana ia membantu dalam babak aksi ‘Indian Police Force’?

Shilpa: Kecergasan saya adalah satu-satunya perkara yang membantu saya dalam filem ini.

Ada banyak babak aksi dan saya tidak dibenarkan menggunakan pelakon aksi nekad untuk menggantikan saya.

Pengarah, Rohit Shetty, tahu kebolehan saya. Saya buat segalanya sendiri. Saya sepak terajang dalam beberapa babak aksi hingga patah kaki.

S: Bayangkan perkara ini. Apakah yang anda akan beritahu kepada diri anda yang lebih muda?

Shilpa: Ini soalan yang menarik. Saya masih muda! Saya kekalkan apa yang saya percayai bahawa apa yang berlaku hari ini adalah yang terbaik dan ada hikmahnya.

Hiduplah seperti hari ini hari terakhir dalam hidup anda. Tuhan tahu yang terbaik.